SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Johor perangi ajaran sesat, video tular cetus kebimbangan

Johor perangi ajaran sesat, video tular cetus kebimbangan

Tiga ditahan sebar ajaran sesat, hina institusi diraja Johor; kandungan video sentuh sensitiviti agama, Raja Melayu dan ibadah solat
Apr 1, 2026 | 3:36 PM

Johor perangi ajaran sesat, video tular cetus kebimbangan

Johor, ajaran sesat, video tular cetus kebimbangan
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid. - Foto fail

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mempergiat usaha membanteras ajaran sesat susulan penularan beberapa klip video dan risalah yang didakwa mengandungi fahaman bercanggah dengan akidah Islam sejak minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, menegaskan pihak berkuasa memandang serius perkembangan tersebut.

Ia bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi merosakkan akidah umat Islam.

“Sejak 27 Mac, beberapa klip video telah tular, didapati mengandungi ajaran menyimpang dan mengelirukan,” ujar beliau dalam satu kenyataan pada 31 Mac.

Menurut beliau, seorang individu yang menggelarkan diri sebagai ‘Ratu Nur Putri Ratu Balqis’ turut melontarkan dakwaan melampau.

IA termasuk mengaku diri sebagai ‘Ruhul Qudus, Ruhul Amin, Raja Muhammad atau alam nyata aku dahulu Muhammad Putra Aminah’.

Individu itu turut dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu.

Dalam masa yang sama, beliau mendedahkan pihak berkuasa turut menerima aduan berhubung penyebaran ajaran, ‘God, The Mother’ yang didakwa sesat.

“Ajaran ini dipercayai disebar melalui risalah kepada orang awam di sebuah pusat beli-belah di Kulai pada 26 Mac lalu,” katanya.

Susulan itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) melalui Mesyuarat Penuh Kali Ke-293 bertegas sebarang ajaran yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, aliran Asya’irah dan Al-Maturidiah wajib dibanteras.

Encik Mohd Fared berkata tindakan bersepadu telah digerakkan melibatkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membendung isu itu.

“Tindakan ini menyusul Mesyuarat Membanteras Ajaran Menyimpang pada 30 Mac, dan kita tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa sahaja yang cuba menyebarkan fahaman menyeleweng,” tegasnya.

Beliau menambah, siasatan lanjut sedang berjalan mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298, 500 dan 505(b) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata pegawainya telah menahan dua wanita dan seorang lelaki tempatan, berusia antara 17 dengan 49 tahun, ekoran penyebaran kandungan berunsur hasutan, fitnah dan penghinaan terhadap agama Islam serta institusi diraja Johor melalui akaun TikTok ‘ratunurputribalqis’.

Beliau menjelaskan, tindakan diambil selepas pihaknya menerima laporan pada 29 Mac daripada seorang lelaki tempatan yang mengesan video tersebut.

Hasil semakan mendapati kandungan video itu sarat dengan dakwaan tidak berasas serta menyentuh sensitiviti agama dan institusi negara.

Posting tersebut mengandungi unsur hasutan, fitnah dan penghinaan terhadap agama Islam, Perdana Menteri Malaysia, institusi diraja Johor, institusi agama serta Ketua Polis Johor,” katanya.

Antara kandungan yang dikenal pasti termasuk dakwaan bahawa Sultan Johor, Tengku Mahkota Johor serta Perdana Menteri mendapatkan nasihat daripada individu berkenaan dalam penyediaan teks ucapan.

Individu terbabit turut didakwa memfitnah Sultan Johor dengan membuat tuduhan berkaitan penyimpanan dokumen pengenalan diri bagi tujuan tertentu yang dikaitkan dengan ajaran dibawanya.

Malah, kandungan itu turut mengandungi tuduhan bahawa Jabatan Agama Islam Negeri Johor terlibat dalam salah laku dan rasuah.

Lebih membimbangkan, video tersebut turut menyentuh perkara berkaitan ibadah apabila mendakwa solat fardu akan kembali kepada dua rakaat manakala solat sunat satu rakaat.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan menjalankan operasi dan menahan ketiga-tiga suspek di Taman Saujana, di sini.

“Hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan juga didapati negatif,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg