Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor pantau projek rakyat, pastikan manfaat sampai ke lapangan
Johor pantau projek rakyat, pastikan manfaat sampai ke lapangan
Johor pantau projek rakyat, pastikan manfaat sampai ke lapangan
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mempercepat pelaksanaan projek prasarana rakyat apabila pembinaan jambatan berkembar di Kampung Sri Muar, Kulai, dilaksana dengan peruntukan RM500,000 ($160,907) bagi meningkatkan keselamatan dan kemudahan harian penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata projek itu diluluskan menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Bukit Permai dan kini dipantau secara rapi bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Menurutnya, lawatan ke tapak projek dilakukan bagi memastikan setiap keputusan kerajaan negeri tidak hanya terhenti di atas kertas, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan nyata di lapangan.
“Setiap kelulusan dibuat berdasarkan keutamaan jelas terutama melibatkan aspek keselamatan, sosial dan kesejahteraan rakyat.
“Kita bukan sekadar mendengar, tetapi bertindak segera bagi memastikan rakyat tidak terus berdepan risiko dan kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 April.
Peruntukan berkenaan tambah beliau, telah diluluskan oleh Pejabat Menteri Besar Johor dan projek itu dijangka bermula pada suku ketiga 2026 dan bakal siap pada akhir tahun.
Datuk Mohd Jafni berkata kekuatan ekonomi negeri termasuk pencapaian pelaburan yang memberangsangkan membolehkan kerajaan menyalurkan semula hasil kepada rakyat melalui projek pembangunan seperti itu.
Menurut beliau, pembangunan prasarana bukan sahaja menjamin keselamatan, malah merancakkan kegiatan ekonomi setempat serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Johor.
“Apabila infrastruktur diperkukuh, ia memudahkan pergerakan, merangsang ekonomi dan memberi kesan langsung kepada mutu hidup rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri turut memperkenalkan pelbagai penambahbaikan dalam sistem pelesenan perniagaan bagi memudahkan urusan peniaga di seluruh Johor.
Sesi libat urus bersama peniaga dan pemain industri yang diadakan di Majlis Bandaraya Johor Bahru menjadi wadah penting untuk mendengar cabaran sebenar di peringkat akar umbi.
Menurutnya, antara inisiatif utama ialah pelaksanaan lesen perniagaan tidak berisiko yang boleh diluluskan dalam tempoh 24 jam.
“Langkah ini mempercepatkan proses memulakan perniagaan dan membantu peniaga menjana pendapatan dengan lebih pantas.
“Selain itu, transformasi pendigitalan lesen turut dilaksanakan secara berperingkat bagi membolehkan permohonan, semakan dan pembayaran dibuat secara dalam talian dengan lebih mudah dan telus,” katanya.
Beliau menambah, usaha itu selari dengan aspirasi Johor sebagai negeri bijak yang menekankan penggunaan teknologi dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan.
Jelasnya, kerajaan Johor akan terus meneliti setiap pandangan yang dikemukakan bagi memastikan dasar dan daya usaha yang dilaksana benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta memperkukuh ekonomi negeri.
