SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Johor kekal pengeluar utama durian, pekebun kecil diperkasa

Johor kekal pengeluar utama durian, pekebun kecil diperkasa

Peruntukan RM1 juta untuk penjenamaan durian dan nanas pada 2026
Mar 25, 2026 | 2:18 PM

Johor kekal pengeluar utama durian, pekebun kecil diperkasa

Johor, durian, pengeluar utama
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata Johor mencatat pengeluaran sebanyak 169,287.57 metrik tan durian setahun. - Foto fail

JOHOR BAHRU: Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pengeluar utama durian negara dengan keluasan ladang lebih 15,000 hektar serta hasil tahunan melebihi 169,000 metrik tan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata negeri itu merekodkan kawasan tanaman durian seluas 15,224.49 hektar dengan 14,263.16 hektar daripadanya sudah berhasil.

Menurut beliau, Johor mencatat pengeluaran sebanyak 169,287.57 metrik tan setahun dengan Batu Pahat menjadi penyumbang terbesar sebanyak 51,795.19 metrik tan.

“Ini diikuti Tangkak dengan 43,985.15 metrik tan dan Segamat sebanyak 30,732.05 metrik tan,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 Mac.

Beliau menambah, pekebun kecil turut memainkan peranan penting sebagai penyumbang kepada pengeluaran durian negeri itu.

Menurutnya, pada 2025, Johor mempunyai seramai 1,469 petani dan pengusaha durian, termasuk 117 orang yang berusia bawah 40 tahun.

Datuk Zahari berkata pelbagai inisiatif strategik telah disediakan kerajaan negeri bagi memastikan Johor kekal sebagai pengeluar utama durian di Malaysia.

“Antaranya termasuk peruntukan sebanyak RM1 juta ($323,306) pada 2026 bagi program penjenamaan buah durian dan nanas Johor,” katanya.

Beliau berharap usaha itu dapat meningkatkan nilai produk tempatan serta memperkukuh kedudukan Johor dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

“Pekebun kecil seperti ini juga perlu terus disokong agar industri durian Johor terus berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

Pada 29 Julai 2025, Datuk Zahari dilaporkan berkata kerajaan Johor melihat sektor penanaman durian sebagai teras utama ekonomi pertanian yang selari dengan sasaran pengeluaran buah-buahan lebih 900,000 tan metrik setahun menjelang 2027 secara berperingkat-peringkat.

Menurutnya, selain Musang King dan Black Thorn yang sering menjadi pilihan, durian kampung juga tidak kurang hebatnya dari segi rasa, dan menjadi kegemaran ramai.

Johor diiktiraf sebagai negeri pengeluar buah-buahan utama di Malaysia dengan hasil tahunan melebihi 739,000 tan metrik setahun, dan durian adalah antara hasil utama yang menyemarakkan pasaran tempatan dan eksport.

Pada 2024 sahaja, Johor menghasilkan kira-kira 189,787 tan metrik durian, meliputi kawasan seluas 19,179 hektar dan disumbangkan oleh lebih 34,000 pengusaha kecil dan besar di seluruh negeri itu.

“Negeri Johor turut menyumbang sebahagian besar kepada jumlah eksport durian negara yang mencecah 13 juta kilogram (kg) bernilai kira-kira RM339 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 7.2 juta kg durian dieksport ke Singapura melalui pintu keluar Johor,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg