Topic followed successfully
Go to BHkuIsu jawatan Ketua Pembangkang PN tidak timbul buat masa kini
Isu jawatan Ketua Pembangkang PN tidak timbul buat masa kini
Jawatan hanya relevan semasa sidang Dewan Rakyat, jamin pelantikan selesai sebelum Jun
Isu jawatan Ketua Pembangkang PN tidak timbul buat masa kini
KOTA BHARU: Isu pelantikan Ketua Pembangkang bagi Perikatan Nasional (PN) tidak timbul ketika ini kerana jawatan itu tidak mempunyai fungsi di luar persidangan Parlimen.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata jawatan itu hanya relevan semasa persidangan Dewan Rakyat, di mana Ketua Pembangkang memainkan peranan rasmi dalam perbahasan dan urusan Parlimen.
“Isu pelantikan Ketua Pembangkang PN tidak timbul kerana Ketua Pembangkang tidak mempunyai fungsi buat masa ini,” katanya, menjawab kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berkata bahawa parti komponen PN itu kecewa dengan Majlis Tertinggi (MT) PN, kerana belum membuat pelantikan Ketua Pembangkang baharu.
Bagaimanapun, Datuk Takiyuddin mengakui pelantikan Ketua Pembangkang itu kekal sebagai perkara penting dan memberi jaminan ia akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Beliau berkata Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, juga baru-baru ini memberi bayangan isu itu akan diselesaikan secepat mungkin.
“Sudah tentu ia akan diselesaikan sebelum persidangan akan datang, yang dijadualkan pada Jun.
“Jika dapat diselesaikan lebih awal, itu lebih baik,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia pada 6 April.
Terdahulu media Malaysia pada 5 April melaporkan Bersatu kecewa dengan Majlis Tertinggi PN kerana belum membuat pelantikan Ketua Pembangkang baharu.
Tan Sri Muhyiddin berkata walaupun beliau sudah menghantar surat cadangan pelantikan jawatan itu sebelum ini, hingga kini belum ada tindakan diambil.
Isu mengenai kedudukan Ketua Pembangkang bangkit selepas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipecat daripada partinya pada 13 Februari lalu.
Datuk Hamzah dilantik sebagai Ketua Pembangkang selepas PN tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, pada November 2022.
Bagaimanapun, selepas Ahli Parlimen Larut (Perak) itu dipecat daripada Bersatu, Tan Sri Muhyiddin mempertikaikan kewajaran untuk mengekalkan beliau sebagai Ketua Pembangkang, dengan alasan Datuk Hamzah tidak menganggotai mana-mana parti lagi.
Tan Sri Muhyiddin dan Bersatu turut mendesak Pengerusi PN yang menggantikan beliau, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, agar menyegerakan pertukaran Ketua Pembangkang.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Datuk Takiyuddin, berkata PN masih belum menerima sebarang permohonan daripada Datuk Hamzah untuk menyertai gabungan itu.
Beliau berkata sejak meninggalkan Bersatu, Datuk Hamzah tidak menjadi ahli mana-mana parti dalam gabungan itu.
“Setakat yang kami tahu, beliau tidak berada dalam mana-mana parti.
“Sehingga hari ini, tiada petunjuk beliau telah menyertai mana-mana parti dalam PN.
“Sesiapa yang mahu berada dalam PN mestilah berada dalam salah satu daripada empat parti,” katanya.
Beliau berkata ketika ini, PN hanya dianggotai empat parti komponen iaitu Bersatu, PAS, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
“
“Isu pelantikan Ketua Pembangkang PN tidak timbul kerana Ketua Pembangkang tidak mempunyai fungsi buat masa ini,”
