KUALA LUMPUR: Seorang inspektor polis didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 16 April atas percubaan membunuh seorang anggota polis trafik dengan melanggar menggunakan kereta pada 10 April lalu.

Tertuduh, Muhammad Kamal Raj Shanmugam Abdullah, 40 tahun, tidak merekodkan pengakuan kerana perlu menjalani pemeriksaan mental.

Dia didakwa menghidap skizofrenia.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid, memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama 30 hari untuk pemeriksaan mental di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Kamal Raj, didakwa melanggar anggota polis trafik itu pada 10.47 malam di Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Lumpur, dalam cubaan membunuh.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda, atau sehingga 20 tahun jika menyebabkan kecederaan, lapor laman web, Buletin TV3.

Peguam tertuduh, Encik G Nanda Goban, memaklumkan anak guamnya menghidap skizofrenia sejak 2024.

Keadaan tertuduh, kata peguam, sebelum ini terkawal, namun kejadian itu dipercayai berlaku setelah tertuduh menghentikan rawatan.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Muhammad Kamal Raj, turut menghadapi tujuh pertuduhan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Tiada pengakuan turut direkodkan selaras dengan perintah mahkamah agar tertuduh menjalani pemeriksaan mental.

Majistret Syazwani Yasmyn Tuan Roslan, turut mengarahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia selama 30 hari untuk pemeriksaan mental.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan bagi kedua-dua pertuduhan, dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Mei dan 9 Jun.

Dalam kejadian pada 10 April, mangsa, Konstabel Roslan Salleh, 27 tahun, dilanggar dari belakang ketika mengawal lalu lintas di petak kuning Jalan Sultan Yahya Petra, menghala ke Pusat Latihan Polis.

Mangsa cedera di tapak tangan kanan, belakang kepala dan rusuk, sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Pemandu kenderaan itu melarikan diri tanpa berhenti, namun, suspek berjaya diberkas polis pada 13 April.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata suspek dikesan menghidap skizofrenia dan sedang bercuti sakit khas, selain berada dalam proses dibersarakan atas saranan Lembaga Perubatan.