KUALA TERENGGANU: Hajat seorang penjawat awam untuk membeli mangga harumanis tak kesampaian apabila wang dalam akaunnya sebanyak RM38,090 ($12,260) lesap selepas mengisi butiran peribadi melalui pautan yang diberikan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata mangsa berusia 54 tahun membuat laporan Polis di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira 11 malam 27 April, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Katanya, mengikut laporan diterima, mangsa berada di pejabatnya di bandar raya ini apabila terlihat iklan jualan buah mangga harumanis di laman Facebook sebelum menghubungi nombor tertera di situ.

“Mangsa kemudian menekan pautan yang diberikan dan mengisi butir-butir maklumat perbankan termasuk nombor akaun bank, kata kunci dan nombor kad bank di belakang kad.

“Selepas mengisi butiran peribadi itu, mangsa kemudian mendapati terdapat pemotongan wang daripada akaun banknya sebanyak tujuh kali.

“Wang berkenaan dimasukkan ke dalam tiga akaun bank berbeza hingga mangsa kerugian sebanyak RM38,090,” katanya.

Asisten Komisioner Azli berkata mangsa yang menyedari dirinya tertipu dengan sindiket penipuan pembelian mangga harumanis itu kemudian membuat laporan polis dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, sehingga hari ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu merekod empat kes membabitkan penipuan pembelian mangga harumanis dalam talian dengan nilai kerugian keseluruhan kira-kira RM70,000.

“Sindiket menggunakan modus operandi iaitu melalui kaedah menekan pautan (link) sebelum menjerat mangsanya,” katanya.