Bagi sesetengah penggemar, raja buah berharga mahal seperti Musang King sebelum ini hanya mampu dipandang dari jauh kerana harganya di luar kemampuan, mencecah RM80 ($25.36) sekilogram.
Situasi sama dirasai oleh penggemar durian, Encik Alimi Ismail, 38 tahun.
Namun, rezeki menyebelahi Encik Alimi yang bekerja di kedai makan apabila harga Musang King di Lembah Klang kini jatuh, malah ada yang serendah RM8 sekilogram.
Peluang keemasan ini dimanfaatkan beliau untuk membeli sendiri raja buah itu bagi dinikmati seisi keluarga.
“Bukan tidak pernah rasa durian Musang King, tetapi untuk membelinya sendiri memang tidak pernah dan saya berfikir berkali-kali kerana harganya yang mahal.
“Sebelum ini pernah majikan belanja makan Musang King di kedai.
“Tetapi kali ini rezeki saya ternampak promosi di Ezy Durian yang menjual durian Musang King semurah RM8 sekilogram. Jadi saya tidak lepaskan peluang membelinya untuk beri isteri dan anak-anak merasa,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) di cawangan Ezy Durian yang terletak di Bangi, Selangor.
Suri rumah Cik Zawiyah Mohd Noor, 54 tahun, pula berkata: “Ini mungkin jualan Musang King paling murah pernah saya jumpa. Teruja hendak beli kerana selalu harganya tidak termampu.”
Tinjauan BH di premis menjual durian itu mendapati, pemiliknya, Encik Khairul Anwar Mohamadiah, 45 tahun, menjual Musang King pelbagai gred dan saiz daripada serendah RM8 sekilogram sehingga RM22 sekilogram untuk yang paling tinggi.
Jualan murah itu turut diadakan di semua tujuh cawangan Ezy Durian di sekitar Lembah Klang iaitu Shah Alam, Batu Caves, Putrajaya, Ampang dan Cheras, selain Bangi.
Encik Khairul Anwar menjelaskan, lambakan Musang King di kebun durian sejak lebih tiga minggu lalu membolehkannya menjual durian jenis itu pada harga terendah.
“Kebiasaannya lambakan Musang King ini hanya seminggu, tetapi kali ini sudah tiga minggu masih belum habis,” katanya kepada BH, sambil menyatakan bekalan diperoleh dari kebun di Pahang, Johor dan Perak.
Menurut Encik Khairul Anwar, beberapa faktor menyebabkan berlaku lambakan durian kali ini antaranya cuaca yang menyebabkan musim durian tertunda, selain hubungan baik dengan pekebun dan jumlah pembelian yang tinggi.
“Musim durian lazimnya dua kali setahun iaitu sekitar Jun dan Disember dengan Jun adalah pengeluaran terbesar durian.
“Tetapi untuk 2025, pengeluaran buah paling besar pada Disember kerana pada Jun lalu, durian kurang menjadi.
“Sepanjang tujuh tahun menjalankan perniagaan durian, inilah kali pertama harga Musang King betul-betul menjunam,” katanya.
Pada musim kali ini, Encik Khairul menjual durian Musang King serendah RM8 sekilogram bagi saiz baby (kecil) hingga paling tinggi RM22 sekilogram, berbanding lebih RM30 sekilogram untuk gred terbaik sebelum ini.
Walaupun durian Musang King berharga RM8 sekilogram itu bersaiz kecil, mutu dan jumlah isinya cukup menggembirakan pelanggan yang pertama kali dapat merasainya.
“Apabila lambakan berlaku, harga durian akan turun hingga Musang King gred A pun kita boleh jual di bawah harga RM18 sekilogram,” kata Encik Khairul Anwar.
Selain durian Musang King, Ezy Durian turut menjual pelbagai jenis durian termasuk durian kampung pada harga serendah RM10 sekilogram.
Malah, Ezy Durian turut mempunyai kafe yang menjual pelbagai menu berasaskan durian seperti kek keju, serawa, roti jala kuah durian, masakan tempoyak, pelbagai jenis pengat, biskut dan aiskrim durian serta pelbagai lagi sepanjang tahun, walaupun di luar musim durian.
Ditanya bagaimana beliau boleh menawarkan harga begitu rendah untuk jualan durian Musang King, Encik Khairul Anwar berkata sasaran pelanggannya bukanlah pelancong sebagaimana di satu kawasan di Lembah Klang.
“Saya tidak ambil keuntungan tinggi, malah ini adalah sebahagian sumbangan saya untuk pelanggan yang banyak menyokong perniagaan saya,” katanya.
Sementara itu jualan Musang King murah turut berlaku di serata Malaysia.
Di tempat popular atau hotspot durian di SS2, Petaling Jaya, Selangor, peniaga menawarkan harga kompetitif termasuk empat durian Musang King pada harga RM99 atau satu beg Musang King pada harga RM133.
Akhbar The Star melaporkan, dianggarkan satu beg boleh memuatkan sehingga 15 kilogram durian, sekali gus mencetuskan suasana kecoh apabila pelanggan berebut-rebut membuat pembelian.
Sementara itu Presiden Persatuan Pengeksport Durian Malaysia, Encik Sam Tan, dilaporkan berkata peniaga durian perlu menerima hakikat fasa kemuncak durian Musang King boleh dijual sehingga RM80 sekilogram telah berlalu dan harganya kini lebih kompetitif.
Beliau berpandangan paras harga RM35 hingga RM40 sekilogram bagi Musang King kini adalah paling optimum dan boleh diterima oleh pembeli tempatan dan antarabangsa, lapor akhbar bahasa Cina Malaysia, Sin Chew Daily.
“
“Musim durian lazimnya dua kali setahun iaitu sekitar Jun dan Disember dengan Jun adalah pengeluaran terbesar durian. Tetapi untuk 2025, pengeluaran buah paling besar pada Disember kerana pada Jun lalu, durian kurang menjadi. Sepanjang tujuh tahun menjalankan perniagaan durian, inilah kali pertama harga Musang King betul-betul menjunam.”“
“Bukan tidak pernah rasa durian Musang King, tetapi untuk membelinya sendiri memang tidak pernah dan saya berfikir berkali-kali kerana harganya yang mahal. Sebelum ini pernah majikan belanja makan Musang King di kedai.... ...Jadi saya tidak lepaskan peluang membelinya untuk beri isteri dan anak-anak merasa.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg