Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hadi serah PAS Pusat pilih calon Pengerusi PN

Jan 9, 2026 | 4:56 PM
PAS, Pengerusi, PN
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Foto BERNAMA

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, membayangkan beliau tidak akan memegang jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), bagi mengisi kekosongan ditinggalkan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PN ketika ini masih berteka teki calon pengganti jawatan Pengerusi yang akan memimpin pakatan pembangkang itu, dengan mesyuarat yang awalnya dijangka minggu ini, ditunda ke minggu depan.

Tan Sri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang (Terengganu), berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada PAS Pusat untuk memilih calon yang layak dan sesuai bagi jawatan Pengerusi PN.

“Belum (ada) lagi (nama calon Pengerusi PN). Saya serah kepada PAS Pusat untuk pilih siapa, tidak semestinya saya. Saya sedia membantu walau siapa yang jadi Pengerusi (PN),” katanya di Terengganu pada 9 Januari.

Menurut beliau tiada sekatan dalam Perlembagaan PAS atau PN untuk calon selain Presiden parti memegang jawatan Pengerusi PN.

Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, disebut-sebut sebagai calon Pengerusi PN yang baru.

Ia selepas gambar beliau bertemu Tan Sri Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dikongsi Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Encik Mohd Syahir Che Sulaiman di Facebook, dengan status ‘Alhamdulillah, insyaAllah’.

Tan Sri Muhyiddin melepaskan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu, selepas beberapa desakan daripada beberapa pimpinan PAS untuk peralihan kuasa dilaksanakan, ketika krisis politik di Perlis memuncak.

Sementara itu mengulas mengenai dakwaan kebimbangan oleh parti komponen dalam PN terutama Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) jika PAS meneraju PN, Tan Sri Abdul Hadi, berkata:

“Kebimbangan akan selesai apabila urusan berjalan. Kita kena sedar kita perlukan sokongan bukan saja daripada orang Islam, tetapi termasuk orang bukan Islam. Kalau harap orang PAS saja PN tak boleh menang (pilihan raya),” katanya.

Untuk perkembangan politik di Perlis dan pelawaan oleh Menteri Besar baru daripada Bersatu, Encik Abu Bakar Hamzah, untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PAS menyertai barisan Exco Kerajaan Negeri, Tan Sri Abdul Hadi, tegas menolak sebarang jawatan.

“Kita sudah buat keputusan tidak akan sertai pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis walaupun dipelawa, kerana kita anggap satu pengkhianatan apabila mereka menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, krisis politik di Perlis dilihat kian parah apabila PAS memutuskan Adun daripada parti itu tidak akan menganggotai Exco yang dibentuk oleh Encik Abu Bakar.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata tindakan itu adalah sebagai tanda solidariti seiring peletakan jawatan bekas Menteri Besar daripada PAS, Encik Mohd Shukri Ramli, ‘secara paksa’ pada akhir Disember lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg