Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang catat sejarah, tarik 56 negara

Jan 7, 2026 | 4:27 PM
(Dari kanan) Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Encik Hasrin Kamal Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datin Paduka Hazlina Jalil, Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM), Datuk A. Rahim Nin dan Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Encik Razani Abdul Rauf, ketika majlis pra-pelancaran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Kali Ke-28, di Menara Aqabah, Pasir Gudang.
(Dari kanan) Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Encik Hasrin Kamal Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datin Paduka Hazlina Jalil, Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM), Datuk A. Rahim Nin dan Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Encik Razani Abdul Rauf, ketika majlis pra-pelancaran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Kali Ke-28, di Menara Aqabah, Pasir Gudang. - Foto FACEBOOK MAJLIS BANDARAYA PASIR GUDANG

Sebanyak 650,000 pengunjung dijangka membanjiri Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Kali Ke-28 yang bakal berlangsung dari 4 hingga 8 Februari 2026 di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datin Paduka Hazlina Jalil, mengumumkan bahawa edisi kali ini mencatat sejarah sebagai yang terbesar, menarik lebih 250 pelayang dari 56 negara, termasuk Singapura.

Mengangkat tema ‘Benua Bertamu di Langit Johor’, festival ini menjadi cerminan penyertaan enam benua, kecuali Antartika, mempamerkan kepelbagaian seni dan kreativiti layang-layang bertaraf antarabangsa.

Edisi 2026 turut menyambut enam negara baharu - Algeria, Greece, Hungary, Qatar, Tunisia dan Uruguay – meningkatkan jumlah peserta secara ketara berbanding 44 negara pada tahun sebelumnya. Pengumuman ini dibuat dalam kenyataan media pada 6 Januari.

Festival ini diadakan bertepatan dengan Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus menjadi antara acara pembuka kalendar pelancongan negeri.

Menyentuh kesan ekonomi, Datin Paduka Hazlina menjelaskan bahawa festival ini membawa limpahan rezeki yang ketara. Kadar penginapan di Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya sering penuh, selain membuka pintu peluang kepada lebih 300 peniaga kecil dan penyedia perkhidmatan tempatan.

“Ribuan tempahan makanan untuk petugas dan peserta juga disalurkan kepada kedai-kedai di Pasir Gudang, sekali gus merancakkan ekonomi komuniti,” ujarnya, menjangkakan limpahan ekonomi besar kepada sektor perhotelan, makanan dan peniaga kecil sepanjang lima hari acara.

Meskipun cuaca menjadi faktor cabaran, beliau menzahirkan harapan agar keadaan angin dan hujan pada awal Februari akan menyebelahi festival ini, tarikh yang dipilih agar tidak bertembung dengan Ramadan.

Secara keseluruhannya, Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Kali Ke-28 bukan sahaja meneruskan warisan budaya, tetapi turut mengukuhkan kedudukan Pasir Gudang dan Johor di peta pelancongan global.

Sebagai tanda pelancaran awal, Datin Paduka Hazlina melepaskan konvoi motosikal melibatkan warga kerja MBPG dan komuniti setempat. Konvoi ini akan menjelajah daerah-daerah di Johor selama dua hari bagi tujuan promosi dan hebahan.

Penganjuran festival ini adalah hasil kerjasama Kerajaan Johor, MBPG, Persatuan Pelayang Johor dan Persatuan Pelayang Malaysia, dengan mandat pelaksanaan seperti biasa diberikan kepada persatuan pelayang negeri dan kebangsaan.

Antara tarikan utama yang disusun rapi termasuk penerbangan layang-layang maskot Tahun Melawat Johor, pertandingan sports kite dengan iringan muzik, persembahan artis tempatan, battle of the band, serta pengisian baru seperti astaka pelancongan yang memaparkan produk dan acara sepanjang Tahun Melawat Johor 2026.

Sebuah bazar raya turut dirancang untuk menawarkan pengalaman tambahan kepada pengunjung menjelang Ramadan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg