Topic followed successfully
Go to BHkuDua warga S’pura pertama didenda, jalani khidmat masyarakat di Johor
Dua warga S’pura pertama didenda, jalani khidmat masyarakat di Johor
Buang puntung rokok di kawasan awam, masing-masing didenda RM1,000
Dua warga S’pura pertama didenda, jalani khidmat masyarakat di Johor
JOHOR BAHRU: Dua warga Singapura mencatat sejarah sebagai individu pertama dari Singapura yang dikenakan denda dan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di Johor selepas didapati bersalah membuang sampah kecil di kawasan awam.
Kedua-dua tertuduh, Tan Boon Haw , 38 tahun, dan Lim Hu Shen, 38 tahun, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di bawah Seksyen 77A(1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 pada 7 April.
Mengikut fakta kes, mereka didapati membuang puntung rokok di hadapan pintu masuk utama sebuah pusat beli-belah di bandar raya Johor Bahru pada 3 Januari.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ($319) terhadap setiap tertuduh selain memerintahkan mereka menjalani PKM selama enam jam.
Tempoh khidmat masyarakat itu akan dilaksanakan dalam tiga sesi berasingan, iaitu dua jam bagi setiap sesi.
Perbicaraan kes tersebut dikendalikan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, manakala pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Cik Rubiah Maulud.
Pengarah SWCorp Negeri Johor, Encik Zainal Fitri Ahmad, dalam satu kenyataan berkata tindakan tegas itu mencerminkan iltizam agensi berkenaan dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan kebersihan awam tanpa tolak ansur.
“SWCorp tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil, khususnya di kawasan tumpuan awam,” katanya.
Beliau berkata operasi penguatkuasaan dijalankan secara tertumpu dan berterusan bagi memastikan tahap kebersihan persekitaran sentiasa terpelihara.
Sehingga 6 April, sebanyak 228 Notis Pemberitahuan Kesalahan telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan kebersihan awam.
Daripada jumlah itu, 130 kes melibatkan warga tempatan manakala 98 lagi membabitkan bukan warga.
Encik Zainal Fitri berkata pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau diarah menjalani PKM, manakala kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh membawa kepada denda sehingga RM10,000.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, kebersihan bukan sekadar isu persekitaran, bahkan turut mencerminkan tahap kesedaran dan disiplin masyarakat.
“Setiap individu bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran.
“Tindakan mudah seperti membuang sampah ke dalam tong yang disediakan mampu memberi kesan besar kepada imej bandar dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil ringan kesalahan membuang sampah kecil seperti puntung rokok, plastik makanan atau botol minuman di kawasan awam.
“Gunakan tong sampah yang disediakan kerana sikap kecil ini memberi kesan besar kepada kebersihan dan keselesaan persekitaran,” katanya.
“
“SWCorp (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil, khususnya di kawasan tumpuan awam... Setiap individu bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran. Tindakan mudah seperti membuang sampah ke dalam tong yang disediakan mampu memberi kesan besar kepada imej bandar dan kesejahteraan masyarakat. Gunakan tong sampah yang disediakan kerana sikap kecil ini memberi kesan besar kepada kebersihan dan keselesaan persekitaran.”
