Perkhidmatan bas ulang-alik percuma sempena Tahun Melawat Johor 2026 akan diperkenalkan dalam masa terdekat bagi memudahkan pergerakan rakyat dan pelancong ke lokasi tarikan utama sekitar pusat bandar Johor Bahru.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata perkhidmatan itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Tourism Johor, sebagai sebahagian inisiatif Tahun Melawat Johor 2026.
“Perkhidmatan bas ulang-alik berkenaan disediakan secara percuma, selesa dan mesra pengguna bagi membolehkan orang ramai meneroka tarikan pelancongan utama tanpa perlu bergantung kepada kenderaan persendirian,” katanya dalam satu kenyataan pada 7 Januari.
Menurutnya, bas ulang-alik itu akan berhenti di lapan lokasi utama iaitu Bangunan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic), Mercu Tanda 0 Kilometer, JBCC, Galeria Kotaraya, Bangunan Sultan Ibrahim, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Zoo Johor dan Kota Jail, selain memberi kemudahan akses berjalan kaki ke beberapa tarikan berdekatan dari setiap hentian.
“Tiga bas akan beroperasi secara berperingkat mengikut keperluan dengan kapasiti 20 penumpang bagi setiap bas, bagi memastikan perjalanan selesa dan lancar,” katanya.
Beliau berkata perkhidmatan itu akan beroperasi setiap hari, dari 8 pagi hingga 8 malam, manakala maklumat lengkap mengenai laluan dan jadual boleh diperolehi melalui saluran media sosial PAJ dan Tourism Johor serta papan maklumat di setiap lokasi menunggu bas.
Encik Fazli berkata inisiatif itu bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan, malah bertujuan meningkatkan pengalaman pelawat dan menggalakkan orang ramai menikmati Johor Bahru dengan lebih santai dan terancang sepanjang Tahun Melawat Johor 2026.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan status semasa projek pelebaran Lebuhraya Pasir Gudang yang sering menjadi perhatian pengguna jalan raya.
Menurutnya, Lebuhraya Pasir Gudang sepanjang 30.5 kilometer dari Tol Perling hingga ke Persimpangan Pasir Gudang telah melalui beberapa peringkat pembinaan sejak 2012, sekali gus menyebabkan projek itu dilihat seolah-olah tidak pernah siap sepenuhnya.
Beliau berkata Tahap 1 dari Persimpangan Kangkar Tebrau ke Persimpangan Plentong sepanjang lapan kilometer siap pada 2015, manakala Tahap 2A dari Plentong ke Bandar Seri Alam dan Taman Rinting sepanjang 7.7 kilometer siap pada 2018.
Katanya, kerja pembinaan yang sedang berjalan ketika ini melibatkan Tahap 2B dari Persimpangan Bandar Seri Alam dan Taman Rinting ke Persimpangan Pasir Gudang sepanjang lima kilometer yang dijangka siap pada Julai 2026.
“Bagi melengkapkan keseluruhan jajaran enam lorong dua hala, Tahap 3 yang melibatkan seksyen dari Persimpangan Perling ke Kangkar Tebrau sepanjang tujuh kilometer telah menerima peruntukan RM174.5 juta ($55.1 juta) dan dijangka bermula pada 2026 serta siap pada 2028,” katanya.
Beliau menegaskan apabila tahap terakhir itu siap kelak, masalah kesesakan akibat laluan sempit atau ‘bottleneck’ di Lebuhraya Pasir Gudang dapat diatasi sepenuhnya, sekali gus meningkatkan kelancaran trafik di laluan utama tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg