Insiden budak jatuh longkang yang berlaku ketika hujan lebat di Puncak Alam menarik perhatian ramai apabila mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras dan masih belum ditemui setakat ini.

Mangsa, Khairil Izani Khaizalullinordin, murid Tahun 4, dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras pada petang 28 April, lapor Sinar Harian.

Lebih menyayat hati, bapanya, Encik Khaizalullinordin Nordin, sanggup mempertaruhkan keselamatan diri dengan turun sendiri ke dalam longkang demi menjejaki anak sulungnya itu.

“Saya redah longkang, ikut laluan air dengan harapan dapat jumpa anak saya walau apa pun keadaannya,” luahnya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada rakan-rakan mangsa, kejadian dipercayai berlaku sekitar 3 hingga 3.30 petang ketika Khairil Izani bermain di kawasan berkenaan.

Difahamkan, longkang tersebut sering dijadikan tempat kanak-kanak bermain gelongsor air, namun situasi pada hari kejadian berubah sama sekali apabila hujan lebat menyebabkan aliran air menjadi sangat deras.

“Ada longkang dekat kawasan itu yang menjadi tempat budak-budak bermain gelongsor, difahamkan mereka akan turun dan meluncur berulang kali di situ.

“Namun pada hari kejadian, hujan turun dengan sangat lebat menyebabkan air dari kawasan sekitar mengalir deras dan dipercayai terus menghanyutkan anak saya,” katanya.

Encik Khaizalullinordin hanya mengetahui kejadian menimpa anaknya kira-kira 6.30 petang selepas dimaklumkan oleh anggota keluarga, sekali gus menambah kegusaran kerana masa yang telah berlalu.

“Saya terus ke lokasi dan tiba sekitar 7 malam, tetapi ketika itu masih belum ada operasi mencari dijalankan. Saya kemudian menghubungi pihak bomba dan polis sebelum bersama beberapa rakan memulakan pencarian dengan menyusuri laluan longkang serta lubang-lubang saliran,” ujarnya lagi.

Tanpa memikirkan risiko, beliau sendiri turun ke dalam longkang dan menelusuri aliran air sejauh lebih 100 meter demi mencari anak kesayangannya.

Menurutnya lagi, kelewatan maklumat daripada rakan-rakan mangsa menyebabkan keluarga hanya mengetahui kejadian tersebut selepas beberapa jam ia berlaku.

“Dalam keadaan arus deras, saya terfikir dia mungkin cuba berpaut pada apa sahaja di dalam longkang, tetapi tidak mampu bertahan. Saya reda dan berharap jasad anak saya dapat ditemui secepat mungkin,” luahnya penuh hiba.

Sementara itu, masyarakat setempat turut mengadakan solat hajat bagi memohon agar Khairil Izani segera ditemui.

Kejadian dipercayai berlaku berhampiran kawasan padang permainan di Lorong Cakera Purnama 12/30, Taman Fasa 3 Puncak Alam.

Terkini, operasi mencari dan menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor telah diperluaskan sehingga radius lima kilometer bagi meningkatkan peluang mengesan mangsa.

Orang ramai turut mendoakan agar urusan pencarian dipermudahkan dan keluarga mangsa diberikan kekuatan menghadapi ujian berat ini.