Topik diikuti
Pergi ke BHkuBapa, abang penyerang tragedi berdarah Balai Polis Ulu Tiram dipenjara 30 tahun
Bapa, abang penyerang tragedi berdarah Balai Polis Ulu Tiram dipenjara 30 tahun
Ibu penyerang, seorang warga S’pura, dihukum penjara empat tahun kerana gagal beri maklumat ideologi pengganasan
Bapa, abang penyerang tragedi berdarah Balai Polis Ulu Tiram dipenjara 30 tahun
KUALA LUMPUR: Bapa dan abang kepada Rudin Luqman Radin Imran, penyerang dalam tragedi berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 2024, telah dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkaitan ideologi pengganasan.
Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64 tahun, dan anak sulungnya, Radin Romyullah, 36 tahun, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan semula di hadapan Hakim, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor.
Isteri Radin Imran, Rosna Jantan, 61 tahun, seorang warga Singapura, pula dihukum penjara empat tahun, lapor Harian Metro.
Mahkamah pada 27 April memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 17 Mei 2024.
Bagaimanapun, dua lagi tertuduh, iaitu anak pasangan itu, Mariah, 21 tahun, dan Farhah Sobrina, 25 tahun, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.
Mariah dan Farhah Sobrina dilihat menangis teresak-esak ketika memeluk ibu bapa dan abang sulung mereka, yang dibawa ke penjara.
Sebelum ini, Radin Imran mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi pengganasan dan memberi sokongan kepada perbuatan pengganas.
Dia juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki senjata api untuk menjalankan kegiatan berkaitan pengganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor, pada penghujung 2014 hingga 17 Mei 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JG(a) Kanun Keseksaan, Seksyen 130J(1)(b), Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama.
Sementara itu, Radin Romyullah berhadapan dua pertuduhan berbaiah kepada pemimpin pengganas Isis dan memiliki cakera keras yang mengandungi bahan Isis, mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama.
Rosna, Mariah dan Farhah Sobrina pula didakwa atas pertuduhan gagal memberikan maklumat berkenaan kegiatan pengganasan itu.
Sebelum menjatuhkan hukuman ke atas ketiga-tiga tertuduh, Hakim Nurulhuda Nur’aini berkata kesalahan-kesalahan dilakukan tertuduh itu adalah amat serius hingga mengakibatkan kejadian bunuh di Balai Polis Ulu Tiram.
“Walaupun pengakuan salah tertuduh boleh dilihat menjimatkan masa, tetapi pada masa sama, ia bukan satu bentuk diskaun untuk kesalahan yang serius,” katanya.
Dalam serangan pada 17 Mei 2024 itu, dua konstabel polis, iaitu Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, terkorban akibat serangan pengganas, Rudin Luqman, 19 tahun.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, seorang lagi anggota di Balai Polis Ulu Tiram, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38 tahun, cedera ditembak selepas diserang pengganas itu yang akhirnya ditembak mati dalam kejadian berkenaan.
