Topik diikuti
Pergi ke BHkuBangunan terbengkalai JB tarik minat warga S’pura
Bangunan terbengkalai JB tarik minat warga S’pura
Jurutera bukan cari hantu, tapi jejak sejarah demi teroka sisi ‘gelap’ tempat lama
Bangunan terbengkalai JB tarik minat warga S’pura
Kebanyakan warga Singapura yang berkunjung ke Johor Bahru lazimnya memilih untuk menghabiskan hujung minggu dengan membeli-belah, menikmati makanan atau bercuti di lokasi pelancongan popular.
Namun, bagi seorang jurutera dari Tampines, pengalaman bercuti di Johor Bahru jauh berbeza apabila beliau lebih gemar menghabiskan masa menjelajah bangunan dan lokasi terbengkalai di sekitar bandar raya itu.
Encik Muhammed Ruzaimi Mohd Noh, 29 tahun, berkata minat terhadap lokasi terbengkalai atau penerokaan bandar bermula sejak kecil selepas sering menonton dokumentari berkaitan tempat lama dan terbiar.
Menurut beliau, Johor Bahru mempunyai banyak lokasi menarik yang berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan dark tourism (pelancongan tempat yang dipercayai suram atau ngeri), sekiranya diurus secara selamat dan terkawal.
“Ramai yang anggap dark tourism ini macam nak cari hantu, tetapi sebenarnya kita boleh belajar sejarah bangunan atau lokasi terbengkalai itu.
“Yang penting, kawasan itu selamat dan mungkin lawatan dibuat dalam kumpulan kecil supaya tiada unsur pencerobohan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau berkata sebelum ini, beliau aktif menghasilkan rakaman panorama sebelum mula menjelajah lokasi terbiar di Singapura dan kemudian di Malaysia, khususnya Johor Bahru.
Jelasnya, Johor Bahru menjadi antara lokasi kegemaran kerana bandar itu masih mempunyai banyak tempat lama dan unik untuk diterokai, berbanding Singapura yang lebih kecil dan terhad.
“Saya mula pergi ke Malaysia selepas ramai cadangkan pengalaman di sini lebih berbeza. Sebab itu saya mula rakam dan kongsi di TikTok supaya orang lain dapat lihat tempat-tempat seperti ini,” katanya lagi.
Minatnya terhadap lokasi terbengkalai bukan bertujuan mencari aktiviti paranormal, sebaliknya lebih kepada merakamkan keadaan bangunan lama dan berkongsi pengalaman dengan pengikut media sosialnya.
“Sejauh ini, saya belum pernah alami gangguan pelik. Kadang-kadang ada dengar bunyi atau nampak benda bergerak, tetapi saya datang dengan niat merakam dan berkongsi sejarah tempat itu,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan lokasi yang dijelajahi diperoleh menerusi cadangan pengikut TikTok atau mesej peribadi yang diterimanya di media sosial.
Jelasnya, sebelum memasuki sesuatu lokasi, beliau akan membuat pemeriksaan awal selama kira-kira 10 hingga 15 minit bagi memastikan kawasan itu selamat dan tidak diduduki individu lain.
“Biasanya saya pergi seorang diri, tetapi saya akan maklumkan lokasi kepada rakan supaya mereka tahu di mana saya berada,” katanya.
Selain Johor Bahru, beliau turut merancang menjelajah lokasi terbengkalai di Kuala Lumpur, Melaka, Vietnam dan Jepun pada masa akan datang.
Antara lokasi yang sering dicadangkan kepadanya termasuk Villa Nabila, Amber Court dan Highland Towers, namun beliau mengakui lebih berhati-hati memilih lokasi yang tidak mempunyai larangan jelas untuk dimasuki.
Beliau berpandangan kerajaan negeri boleh mempertimbangkan pembangunan dark tourism secara terkawal sekiranya lokasi terbengkalai tertentu tidak dirancang untuk dibangunkan semula.
Menurut beliau, beberapa lokasi terbengkalai sebenarnya sudah mula menarik minat jurugambar, penggiat kandungan media sosial, pengendali dron jenis Pandangan Orang Pertama (FPV) dan pencinta sejarah kerana mempunyai suasana serta nilai sejarah tersendiri.
“Kalau diurus dengan baik dan selamat, tempat-tempat ini boleh dipelihara dan dijadikan tarikan pelancongan sah berbanding dibiarkan terus rosak atau terbiar.
“Kerajaan juga boleh melantik pemandu pelancong khas untuk menerangkan sejarah sesuatu tempat supaya pengunjung lebih memahami nilai lokasi itu,” katanya.
