Belum reda kesan keputusan Parti Islam SeMalaysia (PAS) memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu kini berdepan tekanan baru apabila 13 Ahli Parlimennya (AP) mendesak supaya Bersatu keluar atau dikeluarkan daripada Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan bersama 13 AP Bersatu itu, tekanan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin itu memuncak apabila AP terbabit mendakwa Bersatu sudah tidak lagi mempunyai nilai dalam PN dan semakin lemah dengan pengurangan jumlah AP yang masih bersama parti itu.

Menurut mereka, Bersatu kini hanya mempunyai enam AP dan tidak lagi mempunyai kekuatan yang signifikan dalam gabungan pembangkang berkenaan.

“Bersatu sudah tiada nilai dalam PN. Dari segi bilangan AP Bersatu sekarang sudah jadi berenam.

“Jika Bersatu terus kekal dalam PN, maka kelemahan Bersatu dan keangkuhan Tan Sri Muhyiddin akan melumpuhkan PN.

“Oleh itu, kami mendesak supaya Bersatu segera keluar atau dikeluarkan daripada gabungan PN,” menurut kenyataan pada 10 Jun itu.

Desakan itu hadir selepas PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu pada 8 Jun, dengan kedudukan dan hala tuju PN yang dianggotai dua parti itu menjadi pertikaian.

PN ketika ini dipimpin oleh PAS, dengan naib presiden parti itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri, mengambil alih jawatan Pengerusi yang dikosongkan Tan Sri Muhyiddin selepas meletak jawatan pada 1 Januari lalu.

Tan Sri Muhyiddin dalam reaksinya sejurus PAS menamatkan kerjasama politik dengan partinya berkata Bersatu, sebagai parti pengasas PN, akan terus kekal dalam gabungan pembangkang itu walaupun tidak lagi bekerjasama dengan PAS.

Malah, beberapa pimpinan Bersatu turut menuntut jawatan Pengerusi PN dikembalikan kepada Tan Sri Muhyiddin, yang pernah memimpin gabungan itu selama lima tahun sejak 2020.

Dalam kenyataan itu, 13 AP terbabit turut menggesa supaya semua lantikan politik dan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada Bersatu di negeri-negeri berkaitan disemak semula dan dirombak.

Mereka berkata tindakan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu bukan perkara yang mengejutkan, berikutan sikap angkuh dan sombong Tan Sri Muhyiddin serta Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali, dan pemimpin utama parti.

AP terbabit turut menzahirkan rasa kecewa dengan sikap Bersatu yang kerap kali melanggar semangat kebersamaan dalam PN.

“Keengganan menghormati semangat setia kawan antara parti komponen akhirnya telah memakan diri dan menghancurkan keutuhan gabungan yang dibina dengan susah payah.

“Kami selaku AP banyak kali memberi teguran secara dalaman kepada Tan Sri Muhyiddin mengenai hala tuju parti dan kepentingan menjaga hubungan dalam PN.

“Malangnya, setiap teguran membina yang kami suarakan langsung tidak diendahkan, malah Lembaga Disiplin telah disalahgunakan untuk menutup mulut kami daripada terus menyuarakan kebenaran,” kata kenyataan itu.

AP yang menandatangani kenyataan itu ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu).

Selain itu Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Komander (B), Nordin Ahmad Ismail (Lumut); Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh) dan Encik Muhammad Islahuddin Abas (Mersing).

Semua AP ini dikenakan tindakan gantung dua penggal pemilihan parti atau enam tahun oleh Lembaga Disiplin Bersatu antara Februari hingga Mei lalu.

AP lain Encik Zakri Hassan (AP Kangar); Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar); Encik Kalam Salan (Sabak Bernam); Encik Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu) dan AP Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Secara keseluruhan, Bersatu mempunyai 31 AP, namun enam daripadanya mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada November 2023 dan dipecat daripada parti.

Bersatu turut memecat enam lagi AP termasuk mantan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada Februari lalu dan menggantung keahlian lapan AP nya pada Mei lalu.