Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Pemilikan, pengurusan pengendali KLIA kekal di tangan M’sia

Jun 25, 2024 | 5:52 PM
Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sidang Dewan Rakyat pada 25 Jun.
Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sidang Dewan Rakyat pada 25 Jun. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

Pemilikan dan pengurusan syarikat pengendali lapangan terbang, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) tetap kekal milik kerajaan Malaysia, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tidak timbul isu penjualan MAHB kepada syarikat asing, Global Infrastructure Partners (GIP) sebagaimana yang digembar gemburkan, memandangkan pemilikan majoriti saham kekal milik MAHB.

“Pertama dengan perubahan ini (penstrukturan semula MAHB) pemilikan Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam MAHB meningkat dari 41 peratus kepada 70 peratus. Ini berbeza dengan naratif di luar seolah-olah berlaku penjualan MAHB. Tidak ada penjualan MAHB kepada syarikat asing.

“Ia hanya melibatkan pengurusan. MAHB itu syarikat yang menguruskan lapangan terbang. Lapangan terbang kekal milik kerajaan Malaysia. Syarikat asing memiliki sekitar 27 peratus dan inilah yang diambil alih oleh GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA),” jelasnya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) kerajaan, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di sidang Dewan Rakyat pada 25 Jun.

Isu pemilikan saham itu menjadi perdebatan berikutan MAHB bakal bekerjasama dengan GIP, yang mempunyai kaitan langsung dengan BlackRock, syarikat yang menjadi sasaran protes anti-Israel yang menyenaraikan pelbagai penglibatan firma itu dalam memperkasa ekonomi dan industri ketenteraan Israel.

Pelbagai pihak termasuk AP pembangkang dan kerajaan menyuarakan bantahan dan kebimbangan pembabitan BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan MAHB. GIP adalah syarikat yang akan diambilalih Blackrock, yang memiliki pengaruh dalam pengurusan 39 lapangan terbang di seluruh dunia.

Mereka menyifatkan keputusan MAHB untuk bekerjasama dengan BlackRock – pelabur besar dalam ketenteraan Israel – adalah tidak wajar ketika Malaysia menyuarakan sokongan dan perpaduan terhadap Palestin, yang menjadi mangsa kekejaman pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.

Datuk Anwar turut mempertikai bantahan terhadap usahasama itu dengan memberi alasan BlackRock, syarikat pengurusan aset terbesar di dunia, sudah bertapak lama di Malaysia dengan kepentingan dalam pasaran saham Bursa sebanyak RM20.5 bilion ($5.89 bilion) termasuk syarikat besar, dengan RM7 bilion merupakan bon kerajaan serta korporat Malaysia.

Beliau turut menegaskan kerjasama dengan BlackRock tidak mengubah pendirian kerajaan dalam mempertahankan hak rakyat Palestin, malah Kerajaan Perpaduan adalah yang paling tegas dalam pendirian menghentikan perdagangan langsung dengan syarikat Israel, termasuk Zim, syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel.

Sementara itu menjawab mengenai kedudukan Malaysia yang merudum ke tangga 34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024, Datuk Anwar berkata kelewatan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi menjadi antara punca kejatuhan itu.

Namun beliau berkata laporan Indeks Daya Saing Dunia 2024 secara umumnya masih mengekalkan Malaysia sebagai negara dengan ekonomi stabil.

Beliau berkata selain penyasaran subsidi, beberapa faktor menyumbang kepada kejatuhan kedudukan Malaysia dalam laporan berkenaan ialah prestasi ringgit yang lemah dan unjuran ekonomi selepas pandemik Covid-19.

“Dalam perincian laporan itu, yang pertama ialah tentang unjuran pertumbuhan ekonomi kita yang melonjak naik ketika pasca Covid-19, dari paras yang sangat rendah. Jadi beza prestasi terbabit tentunya lebih rendah berbanding sebelumnya.

“Kedua prestasi ringgit pada 2023 sangat lemah dan ini menyebabkan antara punca kita merudum. Ketiga, pengurusan ekonomi. Malaysia dikatakan tidak tegas dalam soal perbelanjaan.

“Dalam keadaan perbelanjaan kita meningkat dan defisit membengkak, kita masih meluluskan beberapa peruntukan tambahan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan i-Saraan yang membabitkan perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg