SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Amanah Johor cadang semua parti politik duduk semeja bincang isu ekonomi rakyat

Amanah Johor cadang semua parti politik duduk semeja bincang isu ekonomi rakyat

Apr 9, 2026 | 3:00 PM

Amanah Johor cadang semua parti politik duduk semeja bincang isu ekonomi rakyat

politik M’sia, Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, isu ekonomi rakyat
Pengerusi Amanah Johor, Encik Aminolhuda Hassan. - Foto Fail

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mencadangkan kerajaan negeri memanggil semua parti politik untuk duduk semeja dalam masa terdekat bagi membincangkan isu ekonomi rakyat yang semakin mencabar.

Pengerusi Amanah Johor, Encik Aminolhuda Hassan, berkata cadangan itu mengambil kira keadaan sejagat semasa, khususnya ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat.

Beliau, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, berkata langkah ini dibuat susulan kesannya secara langsung kepada ekonomi negara termasuk kenaikan kos barangan dan tekanan terhadap rantaian bekalan.

“Amanah Johor berpandangan kepentingan rakyat mesti mengatasi perbezaan politik dan semua pihak perlu mengetepikan sementara sentimen kepartian demi mencari penyelesaian bersama terhadap cabaran yang sedang dihadapi.

“Perbincangan yang dicadangkan perlu memberi tumpuan kepada isu utama seperti kos sara hidup, bekalan bahan mentah, harga barang keperluan, pengurusan sumber air mentah, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan sosial rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 8 April.

Encik Aminolhuda berkata Amanah Johor berharap kerajaan negeri tidak meminggirkan mana-mana pihak, sebaliknya membuka ruang menyeluruh agar setiap suara dapat didengar dan menyumbang ke arah penyelesaian lebih menyeluruh, lapor MalaysiaGazette.

Menurutnya, pendekatan libat urus secara terbuka penting bagi memastikan setiap dasar atau tindakan yang diambil adalah telus, berasaskan realiti semasa serta mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk pembangkang dan masyarakat sivil.

Ahli Parlimen (AP) Sri Gading itu juga yakin melalui semangat kebersamaan dan kepimpinan yang terangkum, Johor mampu menghadapi cabaran ekonomi ini dengan lebih berkesan serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Tambahnya, Amanah Johor komited untuk terus memainkan peranan membina dalam memastikan kemantapan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Johor sentiasa menjadi keutamaan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg