Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) sedang mempergiat strategi pertumbuhan pelancongan serantau menerusi sesi padanan perniagaan bersama pemain industri pelancongan di Johor Bahru (JB), dalam usaha meningkatkan kehadiran pelancong dari Johor dan Singapura ke pulau peranginan itu.

Menurut Lada dalam satu kenyataan kepada Berita Harian (BH), hubungan pelancongan antara Langkawi dengan Johor dan Singapura terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi pulau itu.

Seramai 52,867 pelancong dari Johor dan 48,119 pelancong dari Singapura direkodkan berkunjung ke Langkawi setakat suku ketiga 2025.

Program padanan perniagaan itu memberi ruang kepada pemain industri membentuk kerjasama strategik, membangunkan pakej pelancongan rentas sempadan serta memperluas pasaran kepada segmen bernilai tinggi, termasuk pelancongan Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (Mice) serta pelancongan keluarga premium.

“Pendekatan kolaboratif ini membolehkan penyedia perkhidmatan menyusun tawaran lebih tepat mengikut kehendak pelancong moden.

“Ia sekali gus membantu dalam meningkatkan tempoh penginapan dan menggalakkan kunjungan berulang yang penting bagi ekosistem pelancongan mampan,” tambah kenyataan itu pada 12 Mei.

Lada berkata Langkawi terus mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pulau premium yang menawarkan gabungan keindahan alam semula jadi, status taman geologi bertaraf dunia dan suasana santai yang sesuai untuk percutian keluarga.

Menurutnya, peningkatan kos perjalanan sejagat turut memberi kelebihan kepada Langkawi, kerana pulau itu menawarkan pengalaman percutian lebih tenang dan eksklusif, berbanding destinasi serantau seperti Bali dan Phuket.

Kemudahan penerbangan terus antara Singapura dengan Langkawi turut menjadikan pulau peranginan itu pilihan menarik bagi pelancong yang mahukan percutian singkat tetapi bermutu tinggi, jelas beliau.

Lada berkata trend semasa menunjukkan pelancong Singapura kini lebih cenderung memilih percutian singkat antara tiga dengan empat hari, dengan memberi tumpuan kepada pengalaman premium seperti spa, pelayaran matahari terbenam dan kegiatan alam semula jadi.

Selain itu, pelancong juga lebih memilih penginapan bertaraf empat dan lima bintang, serta mementingkan nilai pengalaman berbanding tempoh percutian semata-mata.

Antara lokasi dan pengalaman yang menjadi pilihan pelancong termasuk Langkawi Sky Bridge, Kilim Geoforest Park, Pantai Cenang serta kegiatan keliling pulau, pelayaran matahari terbenam dan rahat kesihatan.

Menurut Lada, Langkawi turut menawarkan nilai keseluruhan yang berdaya saing berbanding Bali dan Phuket, dari segi keseimbangan antara kos dengan pengalaman diperoleh pelancong.

Pulau itu turut menyediakan pelbagai pilihan penginapan daripada hotel murah hingga resort antarabangsa, pada harga berpatutan selain suasana lebih tenang dan kurang sesak.

“Keadaan trafik yang lebih lancar turut membantu mengurangkan tekanan dan masa perjalanan pelancong berbanding kesesakan yang sering berlaku di Bali dan Phuket,” ujar kenyataan itu.

Lada juga berkata pihaknya menyasarkan peningkatan jumlah pelancong Singapura secara berperingkat sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan Langkawi sebagai destinasi premium jarak dekat, dengan sasaran menarik 3.65 juta pelancong pada 2026.