Topic followed successfully
Go to BHkuAda keluarga masih ‘klik’ gambar Raya di studio
Ada keluarga masih ‘klik’ gambar Raya di studio
Kenangan berkumpul bersama keluarga tetap nilai utama; kecerdasan buatan (AI) sekadar alat
Ada keluarga masih ‘klik’ gambar Raya di studio
Kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas dalam menjana imej tidak sedikit pun menenggelamkan peranan studio gambar tradisional, khususnya ketika musim Hari Raya Aidilfitri apabila keluarga memilih untuk merakam detik kebersamaan secara lebih bermakna.
Di sebalik kemudahan menghasilkan gambar secara pantas melalui telefon bimbit atau perisian digital, pemilik studio gambar yang ditemui Berita Harian (BH) berpendapat, nilai sebenar gambar Raya terletak pada pengalaman, suasana dan kenangan yang tercipta, sesuatu yang sukar ditiru oleh teknologi semata-mata.
Dengan kadar purata bayaran sekitar RM160 ($51) untuk satu sesi penggambaran, pelanggan bebas mengambil gambar seberapa banyak yang mereka inginkan di studio pilihan mereka.
Pemilik Iriz White Studio, Encik Muhammad Anas Fadil, atau lebih dikenali sebagai Pak Tam berkata, walaupun kemunculan teknologi baru memberi kesan tertentu kepada perniagaan, kesannya masih belum begitu ketara.
“Kalau kita lihat sekarang, memang banyak orang guna gambar yang dijana teknologi untuk ucapan Hari Raya. Memang ada sedikit kesan, tetapi kesan itu ada dua; positif dan negatif,” katanya.
Menurut beliau, dari sudut positif, orang ramai kini semakin mementingkan mutu gambar kerana menyedari perbezaan antara hasil sentuhan profesional dengan yang biasa.
“Bila orang lihat gambar yang cantik, mereka akan sedar bahawa mutu itu penting.
“Input yang berbeza akan hasilkan gambar yang berbeza. Itu membuatkan ada yang masih datang ke studio,” ujarnya.
Namun, beliau mengakui terdapat juga cabaran apabila semakin ramai memilih untuk mengambil gambar sendiri menggunakan telefon bimbit tanpa perlu ke studio.
“Ada yang rasa cukup sekadar ambil gambar sendiri dan guna teknologi untuk sunting. Tapi kalau kita bandingkan, mutu itu memang berbeza,” tambahnya.
Meskipun begitu, beliau berkata tempahan sempena musim perayaan tetap memberangsangkan, dengan pelanggan mula membuat tempahan seawal seminggu sebelum dan selepas Hari Raya.
“Sekarang ini, tempahan memang sudah penuh. Dalam sehari kita boleh ambil antara lapan dengan 12 sesi.
“Hari pertama Raya pula biasanya paling sibuk, terutama pelanggan yang datang tanpa tempahan awal, boleh mencecah hingga 30 pelanggan sehari,” katanya.
Adaptasi AI dalam studio
Mengulas lanjut, Pak Tam berkata beliau memilih untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi berbanding menolaknya.
“Bagi saya, teknologi ini sesuatu yang baru. Kalau kita menolak, kita akan ditinggalkan. Jadi kita perlu belajar dan guna kelebihannya,” akui beliau.
Pak Tam akur penggunaan teknologi turut membantu mengurangkan kos hiasan studio.
“Sebelum ini, kos hiasan boleh mencecah antara RM3,000 dengan RM5,000 untuk satu musim.
“Sekarang, latar belakang boleh diubah secara digital. Itu sangat menjimatkan,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik Javalens Studio, Encik Muhammad Ammar Eddy Izwan, berkata teknologi tersebut tidak menjejas perniagaannya, malah membantu meningkatkan kecekapan operasi.
“Bagi saya, teknologi ini tidak mengganggu perniagaan. Selagi ia tidak boleh mencipta kenangan sebenar, ia bukan ancaman,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa teknologi tersebut membolehkan gambar disiapkan dengan lebih cepat.
“Dulu pelanggan mungkin perlu tunggu 24 jam atau lebih. Sekarang, pelanggan boleh dapat gambar siap sunting sebelum keluar dari studio,” katanya.
Menurut beliau, kekuatan studio terletak pada pengalaman yang ditawarkan kepada pelanggan.
“Ada keluarga yang jarang berkumpul. Masa mereka berkumpul di studio itulah menjadi kenangan. Itu kelebihan yang kita ada,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Operasi, Kotak Glasshouse, Encik Mohd Haziq Ahmad Manan, berkata pelanggan dari Singapura membentuk sebahagian penting daripada pelanggan mereka, terutama pada hujung minggu.
“Secara anggaran, kira-kira 30 peratus pelanggan kami adalah dari Singapura. Mereka biasanya datang membeli-belah di Johor Bahru dan sekali gus mengambil peluang untuk bergambar di studio,” katanya.
Tempahan daripada warga Singapura meningkat ketara sepanjang Ramadan hingga beberapa hari selepas Hari Raya.
“Sepanjang tempoh itu, memang ramai pelanggan dari Singapura. Hujung minggu pula biasanya penuh dengan tempahan,” tambah beliau.
Gambar untuk kenangan
Sementara itu, Pemilik Sedetik Studio, Encik Shahrul Hazmi Sabarudin, pula menegaskan perbezaan antara gambar studio dengan imej yang dijana teknologi amat ketara.
“Gambar yang dijana teknologi kadangkala nampak terlalu sempurna, tetapi tidak mempunyai ‘rasa’. Ia tidak mempunyai suasana seperti gambar yang diambil di studio,” katanya.
Menurut beliau, pengalaman bergambar bersama keluarga adalah nilai utama yang tidak boleh digantikan.
“Bila kita ambil gambar di studio, ada interaksi, ada gelak tawa, ada kenangan yang tercipta. Itu semua tidak ada dalam gambar yang dijana teknologi,” katanya.
Beliau turut berkongsi kisah seorang pelanggan yang menghargai gambar studio sebagai kenangan terakhir bersama ahli keluarga.
“Ada pelanggan yang ambil gambar keluarga, dan itu menjadi gambar terakhir bersama ayahnya. Dari situ kita nampak bahawa gambar ini bukan sekadar gambar, tetapi kenangan yang sangat bernilai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Golden Ring Studio, Encik Nur Afiq Razali, berkata teknologi perlu dilihat sebagai alat, bukan ancaman.
“Teknologi ini bergantung kepada cara kita guna. Ia boleh membantu, tetapi tidak boleh menggantikan pengalaman sebenar di studio,” katanya.
Beliau berkata studio turut menggunakan teknologi untuk menambah baik hasil gambar, seperti memasukkan ahli keluarga yang tiada dalam sesi bergambar.
“Tetapi asasnya tetap gambar studio. Teknologi hanya pelengkap, bukan pengganti,” katanya.
Menurut beliau, faktor utama yang mempengaruhi perniagaan bukanlah teknologi, tetapi lambakan studio bermusim.
“Tahun ini (2026) banyak studio muncul secara bermusim. Ada yang bukan jurugambar sebenar, jadi hasilnya kurang memuaskan dan ini menjejaskan keyakinan pelanggan,” katanya.
Pemilik Seni Potret Studio, Encik Amierul Amrie Ahmad Latif, berkata sepanjang empat tahun mengendalikan studio sempena musim perayaan, beliau melihat perubahan trend pelanggan, namun permintaan terhadap gambar studio masih kekal stabil.
“Bagi saya, orang datang ke studio bukan sekadar untuk ambil gambar. Mereka datang untuk berkumpul, bergelak ketawa dan meluangkan masa bersama keluarga. Itu yang sebenarnya kita jual,” katanya.
Menurut beliau, pengalaman tersebut menjadi nilai tambah yang tidak dapat ditawarkan oleh teknologi, walaupun semakin ramai yang mencuba menghasilkan gambar secara digital.
“Kalau kita bandingkan dengan teknologi, mungkin hasilnya cepat dan mudah. Tetapi suasana itu tidak ada.
“Di studio, kita akan nampak interaksi antara ahli keluarga, cara mereka berkomunikasi, cara mereka bergurau. Semua itu akan terakam dalam gambar.
“Ekspresi seperti senyuman semula jadi, reaksi spontan, itu semua tidak boleh dijangka atau dihasilkan melalui arahan. Di studio, kita tangkap momen itu secara spontan,” katanya.
Kegiatan tahunan keluarga
Dalam kalangan pelanggan pula, Encik Adam Iskandar Abdullah, 32 tahun, berkata beliau dan keluarganya memilih untuk terus ke studio setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri kerana mahu memastikan kenangan tersebut dapat disimpan dalam bentuk yang lebih bermakna.
“Kami sudah cuba gunakan teknologi, tetapi tidak sama. Kami mahu ada kenangan yang boleh ditunjukkan kepada anak-anak apabila mereka besar nanti.
“Bila kita ambil gambar di studio, ia lebih tersusun dan nampak seperti satu momen yang betul-betul dirancang,” katanya.
Menurut beliau, gambar studio bukan sahaja menjadi kenangan tahunan, malah menjadi satu bentuk dokumentasi perkembangan keluarga dari tahun ke tahun.
“Sekarang ini sudah masuk tahun ketiga kami ambil gambar Raya di studio.
“Setiap tahun bila tengok semula gambar lama, kita boleh nampak perubahan anak-anak, perubahan keluarga. Itu yang membuatkan kami rasa ia sangat berbaloi,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa walaupun terdapat pilihan lebih murah atau percuma melalui teknologi, keluarganya tetap memilih studio kerana faktor mutu.
“Kami ada cuba guna aplikasi seperti ChatGPT dan Gemini untuk ubah latar belakang gambar, memang boleh, tetapi hasilnya tidak sama.
“Kadang-kadang nampak tidak asli. Jadi kami rasa lebih baik ambil terus gambar di studio supaya hasilnya lebih jelas dan kemas,” katanya.
Pelajar Universiti Putra Malaysia, Cik Nurul Amieriana Hassan, 24 tahun, pula mengakui pengalaman pertamanya ke studio gambar memberikan perspektif berbeza berbanding hanya mengambil gambar sendiri di rumah.
“Saya pilih studio sebab ia lebih nyata. Kalau guna teknologi, kadang-kadang gambar itu nampak cacat atau tidak seperti keadaan sebenar.
“Walaupun kita bayar, hasilnya tetap tidak setanding dengan gambar yang diambil secara langsung,” katanya.
Menurut beliau, suasana di studio juga memainkan peranan penting dalam mencipta kenangan bersama keluarga.
“Bila kita pergi studio, kita boleh bergambar dengan keluarga dalam suasana yang ceria. Ada pergerakan, ada interaksi.
“Kita boleh gelak sama-sama. Itu yang membuatkan pengalaman itu lebih bermakna,” katanya.
Beliau menambah bahawa penggunaan teknologi secara berlebihan menyebabkan hasil gambar menjadi kurang unik.
“Kalau guna teknologi, semua orang boleh buat gaya yang sama. Arahan yang diberi pun lebih kurang sama, jadi hasilnya pun hampir sama.
“Tapi kalau di studio, setiap gambar itu berbeza kerana ia bergantung kepada situasi dan emosi ketika itu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pengalaman mencetak dan membingkaikan gambar juga menjadi antara faktor yang mendorongnya memilih studio.
“Selama ini saya hanya ambil gambar menggunakan telefon. Tiada yang dicetak atau dibingkaikan.
“Jadi kali ini saya mahu cuba sesuatu yang lain, yang boleh dijadikan kenangan fizikal dan disimpan lama,” katanya.
Sementara itu, Encik Mohamad Razif Selamat, 31 tahun, berkata beliau melihat kedua-dua pendekatan, teknologi dan studio, sebagai saling melengkapi, namun tetap meletakkan keutamaan kepada mutu gambar yang dihasilkan di studio.
“Kita sebenarnya gunakan gabungan kedua-duanya. Teknologi itu ada kelebihannya, tetapi untuk mutu dan kenangan, studio masih menjadi pilihan utama,” katanya.
Menurut beliau, keputusan untuk terus mengambil gambar di studio juga dipengaruhi oleh pengalaman terdahulu bersama keluarga.
“Sebelum ini kami sudah ambil gambar di studio lain, dan sekarang ini kami teruskan tradisi itu.
“Setiap tahun kita akan cuba cari studio yang sesuai dengan bajet dan mutu yang kita mahukan,” katanya.
Beliau menambah bahawa bagi keluarganya, gambar Raya bukan sekadar imej, tetapi lambang kebersamaan yang sukar digantikan.
“Yang penting bagi kami ialah kenangan itu sendiri.
”Bila semua berkumpul, itu yang kita mahu rakamkan. Teknologi mungkin boleh bantu, tetapi suasana itu hanya ada bila kita bersama,” katanya.

