Topic followed successfully
Go to BHku4 lukisan pelukis terkait skandal 1MDB nilai AS$30j kini di HK
4 lukisan pelukis terkait skandal 1MDB nilai AS$30j kini di HK
4 lukisan pelukis terkait skandal 1MDB nilai AS$30j kini di HK
KUALA LUMPUR: Empat daripada 12 lukisan bernilai AS$30 juta ($38.22 juta), hasil sentuhan pelukis tersohor dunia yang terkait dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) , kini berada di Hong Kong.
Perkara ini disahkan sendiri Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau menjelaskan, karya seni bernilai tinggi ini masih belum tiba di Malaysia, terikat dengan proses transit antarabangsa yang kompleks.
“Lukisan-lukisan ini sedang transit di Hong Kong dan belum sampai ke negara kita.
“Ia perlu melalui beberapa destinasi sebelum tiba,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Karya-karya adiwangsa ini dipulangkan ke Malaysia selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengesahkan hubungannya dengan dana skandal 1MDB.
Siasatan mendedahkan lukisan ini dibeli oleh saksi kes penyelewengan 1MDB, Jasmine Loo, yang kini dalam kawalan DOJ.
Kini, aset-aset ini diletakkan di bawah jagaan dua syarikat lelongan ternama, Christie’s dan Sotheby’s Auction House Amerika.
Aset di bawah jagaan Sotheby’s sedang dalam usaha untuk dibawa pulang, manakala aset di bawah Christie’s hanya dapat diserahkan melalui perintah mahkamah Amerika.
Setakat ini, lapan lukisan yang dijadualkan dibawa pulang termasuk Trois Femmes Nues et buste d’homme oleh Pablo Picasso (1969); Still Life with White Pitcher (William H. Bailey, 1978); Studies for Sculpture (Alexander Calder, 1941); dan Femme assise (Henri Matisse, 1903).
Turut tersenarai: Conots et vapeurs sur la Marne (Raoul Dufy, 1920); Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, rue St Vincent, Montmartre (Maurice Utrillo, 1934); Etude pour femme couchée (Balthus, 1948) dan L’Ecuyère et les clowns (Pablo Picasso, 1961).
Empat lukisan selebihnya masih menanti arahan mahkamah.
Pada 5 April lalu, media melaporkan waktu ketibaan empat lukisan pertama tidak didedahkan atas faktor keselamatan.
Usaha pemulihan aset 1MDB diperkukuh pada 13 Disember 2025, apabila DOJ bersetuju mengembalikan koleksi lukisan bernilai lebih AS$30 juta kepada Malaysia.
Sebaik tiba, 12 karya agung yang mahal dan berkualiti tinggi ini akan dipamerkan di Balai Seni Negara (BSN) untuk tatapan awam.
SPRM, agensi yang bertanggungjawab membawa pulang khazanah seni Malaysia ini, akan menyerahkannya kepada Balai Seni Negara, pakar dalam penjagaan karya bermutu tinggi.

