KUALA LUMPUR: Sekitar 20 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipercayai terlibat dalam kegiatan tidak bermoral yang digelar “budaya yeye”.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, berkata siasatan awal pada 6 Januari mendedahkan bahawa 20 pegawai terlibat.
“Kami akan memastikan tindakan diambil berdasarkan undang-undang dan peraturan Angkatan Bersenjata.
“Budaya tidak bermoral sedemikian bukanlah kebiasaan bagi Tentera Udara,” katanya dalam satu kenyataan pada 10 Januari.
Beliau berkata TUDM memandang serius pelanggaran perintah, arahan dan peraturan.
“Kami akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.
“Kepimpinan TUDM amat kesal dengan kejadian ini dan kami juga akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang gagal mematuhi arahan,” tegasnya.
Sebelum ini, Jeneral Norazlan dipetik sebagai berkata bahawa TUDM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau pelanggaran disiplin menyusuli dakwaan yang timbul tentang kemasukan tanpa kebenaran dan kegiatan tidak bermoral di sebuah kem tentera.
Menurutnya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan tindakan tegas, termasuk pemecatan, akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah.
Kementerian Pertahanan juga telah mengarahkan Angkatan Bersenjata supaya menjalankan siasatan dalaman terhadap dakwaan bahawa individu yang tidak dibenarkan telah memasuki kem tentera dan bahawa kegiatan tidak bermoral telah berlaku di dalam premis tersebut. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg