Topik diikuti
Pergi ke BHku2 warga asing maut selepas jatuh dari tempat tinggi dalam kes berasingan di KLIA
2 warga asing maut selepas jatuh dari tempat tinggi dalam kes berasingan di KLIA
2 warga asing maut selepas jatuh dari tempat tinggi dalam kes berasingan di KLIA
KUALA LUMPUR: Polis Malaysia sedang menyiasat dua kes kematian berasingan melibatkan warga asing di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Mei.
Dua kejadian tersebut yang melibatkan seorang wanita dari China, dan seorang lelaki warga Algeria, dipercayai tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Kejadian melibatkan warga China itu berlaku pada 2.20 petang, kata Ketua Polis KLIA, Penolong Pesuruhjaya (AC) M. Ravi dalam satu kenyataan pada 2 Mei.
Menurut beliau, mangsa wanita berusia 27 tahun berkenaan dilihat sedang duduk di kawasan balkoni di Zon Hijau, Tingkat 3, sambil menangis dan “menjerit secara agresif”.
Kakitangan keselamatan dan pekerja cuba menenangkan wanita tersebut.
Seorang pegawai keselamatan KLIA cuba menghampiri mangsa untuk menyelamatkannya, namun wanita itu bergelut lalu terjun ke kawasan ruang pemunggahan di KLIA 2, tambahnya.
Pasukan perubatan memberikan rawatan kecemasan sebelum wanita berkenaan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut, kata AC Ravi.
Beliau disahkan meninggal dunia pada 5.09 petang.
Siasatan mendapati wanita itu dijadualkan berlepas pulang ke China pada 2 Mei.
Dalam kenyataan berasingan, AC Ravi berkata kes kedua tersebut melibatkan seorang lelaki warga Algeria berusia 30 tahun yang terjun dari balkoni luar di Tingkat 3 KLIA 2 dalam cubaan bunuh diri.
Kejadian tersebut berlaku pada 9.10 malam, 1 Mei.
Seorang saksi melihat lelaki itu membuka beg galasnya dan berlari ke arah penghadang sebelum terjun.
Lelaki itu diberikan rawatan kecemasan oleh pasukan perubatan dan dibawa ke Hospital Cyberjaya bagi rawatan lanjut.
Pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 2.55 pagi, 2 Mei.
Kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut dan sedang dalam siasatan, kata AC Ravi yang turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi bagi mengelakkan penyebaran berita palsu.
