SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

2 jurugambar ‘haram’ buat serangan di KLCC didakwa

2 jurugambar ‘haram’ buat serangan di KLCC didakwa

Mar 31, 2026 | 3:58 PM

2 jurugambar ‘haram’ buat serangan di KLCC didakwa

Menara Berkembar Petronas, KLCC, jurugambar tidak berlesen, pelancong
Perkarangan Menara Berkembar Petronas atau KLCC, Kuala Lumpur, dipenuhi jurugambar tidak berlesen yang mendekati pelancong untuk merakam gambar kenangan dengan sejumlah bayaran. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Isu jurugambar ‘haram’ di kawasan pelancongan Malaysia terutama di hadapan Menara Berkembar Petronas atau KLCC, Kuala Lumpur, semakin serius, apabila dua daripada 18 jurugambar itu ditahan kerana disyaki menyerang dua lelaki di kawasan berkenaan dan didakwa di mahkamah.

Kedua-duanya yang berusia 25 dan 35 tahun, masing-masing dituduh mengikut Seksyen 149 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada 30 Mac, selepas kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Sazalee Adam, berkata dua pengadu yang dipukul dalam kejadian pada 22 Mac lalu, mengecam mereka sebagai individu yang melakukan kekerasan ketika proses pengecaman membabitkan semua 18 jurugambar.

“Selain itu, hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati kededua suspek berada di tempat kejadian, selain turut menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

“Kedua-dua mereka telah didakwa di mahkamah pada 30 Mac,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Dalam kejadian pada 9 malam itu, sekumpulan individu yang didakwa sebagai jurugambar haram bertindak agresif sehingga mencetuskan pergaduhan dengan pelancong asing di kawasan tumpuan berkenaan.

Dua mangsa yang juga peniaga air balang, kebetulan berada di tempat kejadian, cuba meleraikan pergaduhan sebelum diserang kumpulan jurugambar terbabit.

Encik Sazalee berkata pihaknya juga akan melakukan tangkapan semula terhadap tiga daripada 16 lelaki yang dibebaskan atas kesalahan dokumen pengenalan diri.

“Hasil semakan identiti melalui cap jari terhadap orang yang dituduh yang dibebaskan, mendapati tiga individu itu tidak memiliki rekod, sekali gus tidak memiliki identiti sebagai warganegara Malaysia.

“Pemeriksaan sebelum ini mendapati ketiga-tiga mereka yang berusia 23, 35 dan 44 tahun, memiliki kad pengenalan, namun selepas pemeriksaan mendapati kad berkenaan adalah tidak tulen dan disyaki palsu,” katanya.

Encik Sazalee berkata tiga individu itu akan ditahan semula di bawah Peraturan 25(1)(n), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, dan akan didakwa di mahkamah.

Sementara itu, menyusuli kejadian terbabit, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 31 Mac, telah menambah tiga unit CCTV baharu di sekitar kawasan KLCC.

DBKL berkata inisiatif itu bagi memperkukuh pemantauan keselamatan dan kawalan trafik di kawasan berkenaan yang menjadi tumpuan pelancong.

Menurut kenyataan DBKL di Facebook, semua CCTV baharu disambungkan terus ke Bilik Gerakan DBKL bagi pemantauan secara langsung.

Kehadiran jurugambar jalanan tidak berlesen di sekitar KLCC itu, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengunjung, apabila ada yang mengakui berasa terganggu, namun ada juga yang melihatnya sebagai peluang merakam kenangan menarik di mercu tanda ikonik itu.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg