KOTA KINABALU: Sebanyak 11 gajah pigmi Borneo termasuk seekor anak gajah berjaya diselamatkan selepas terperangkap di dalam kolam di kawasan ladang FGV Cepat Ringgit B, berhampiran Hutan Simpan Deramakot di Kinabatangan, Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata pihaknya memandang serius insiden berkenaan yang melibatkan spesies ikonik dan dilindungi di Sabah itu, lapor Berita Harian Malaysia.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat diterima daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah, kejadian berlaku di dalam kawasan ladang berkenaan, tetapi punca sebenar masih belum dapat dipastikan.

Beliau berkata setakat ini masih tidak jelas sama ada kumpulan gajah itu memasuki kolam berkenaan secara sendiri atau terjatuh secara tidak sengaja.

“Bagaimanapun, tindakan pantas segera diambil oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah bersama pihak pengurusan ladang, dengan meratakan tebing kolam bagi membolehkan gajah-gajah itu keluar dengan selamat.

“Saya lega kerana kesemua gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius atau kematian,” katanya dalam satu kenyataan media pada 12 Mei.

Datuk Jafry turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah, renjer lapangan, kakitangan ladang dan semua pihak yang terlibat kerana bertindak pantas serta profesional dalam mengendalikan situasi itu.

Beliau berkata insiden berkenaan menjadi peringatan penting bahawa kewujudan kolam, parit dan struktur berbahaya berhampiran laluan hidupan liar terus memberi risiko kepada spesies liar di Sabah, khususnya gajah pigmi Borneo.

Menurut beliau, Jabatan Hidupan Liar Sabah turut mengarahkan pengusaha ladang memastikan struktur kolam seumpama itu tidak dibangunkan tanpa langkah mitigasi yang sesuai.

Jelasnya, sekiranya pembinaan kolam diperlukan, sekurang-kurangnya satu bahagian tebing perlu dibina agak miring dan bukannya tegak, bagi membolehkan haiwan liar menyelamatkan diri sekiranya terperangkap.

Beliau berkata terdapat kemungkinan kumpulan gajah itu memasuki kawasan kolam berkenaan secara sukarela, disebabkan keadaan cuaca panas ketika ini.

“Gajah diketahui gemar mencari kawasan air untuk menyejukkan badan menerusi aktiviti berkubang dan mandi,” katanya.

Datuk Jafry berkata Jabatan Hidupan Liar Sabah akan terus bekerjasama rapat dengan pengusaha ladang, masyarakat setempat dan rakan pemuliharaan bagi memperkukuh langkah perlindungan hidupan liar.

Menurut beliau, usaha itu termasuk meningkatkan keupayaan tindakan pantas serta memastikan pembangunan berhampiran koridor ekologi dilaksanakan secara bertanggungjawab dan lestari.

“Melindungi biodiversiti Sabah adalah tanggungjawab bersama.

“Kejayaan operasi menyelamat ini membuktikan pentingnya laporan awal, kerjasama dan komitmen semua pihak dalam memastikan spesies terancam ini terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.