Meskipun sudah berusia dalam lingkungan 50-an dan 60-an tahun, tiga guru dari Singapura gigih memburu ilmu sehingga bergelar Doktor Falsafah (PhD), dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tanjong Malim, Perak, Malaysia. Ikuti wawancara BERITA HARIAN bersama mereka.
Usia tidak pernah menjadi penghalang untuk sesiapa sahaja mengejar ilmu, asalkan wujud sistem sokongan yang kukuh di sekeliling kita.
Itulah pegangan tiga guru dari Singapura yang kini bergelar Doktor Falsafah (PhD), dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tanjong Malim, Perak, Malaysia, meskipun masing-masing berusia dalam lingkungan 50-an dan 60-an, malah ada yang sudah bergelar nenek.
Dalam perjalanan penyelidikan yang memakan masa hampir sedekad, Dr Pairah Satariman, 68 tahun; Dr Salha Mohamed Hussain, 57 tahun; dan Dr Abidah Bibi Kader Marikar, 60 tahun; pernah diuji rasa ragu dan lelah.
Namun, kekuatan mereka lahir daripada persahabatan akrab yang saling mengangkat ketika salah seorang hampir patah semangat.
Dengan bidang kajian yang memberi tumpuan pada pemerkasaan bahasa Melayu di Singapura, ketiga-tiga sahabat itu bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang, bahkan turut menyumbang secara langsung kepada inovasi kurikulum, pembangunan buku teks dan model pedagogi yang kini dimanfaatkan di bilik darjah.
Mereka telah diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-27 UPSI bagi Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) pada 11 November.
DR PAIRAH SATARIMAN: Kuasa tekad ibu tunggal
Pada usia 68 tahun, ketika ramai memilih untuk berehat selepas bersara, wanita tabah ini memilih sebaliknya.
Beliau tetap mengorak melangkah ke hadapan, menolak batasan usia dan keadaan hidup untuk mencapai gelaran Doktor Falsafah (PhD).
Sebagai ibu tunggal empat anak, semuanya dibesarkan sendirian sambil menggalas kerjaya yang menuntut masa dan pemikiran, tekadnya membuktikan impian tidak pernah luput selagi ada keberanian untuk mengejarnya.
Dr Pairah Satariman, kini Pegawai Projek sambilan di Unit Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan (MOE), memulakan kerjaya selaku pendidik pada 1983.
Dari bilik darjah, langkahnya memasuki dunia kurikulum, menulis buku teks, membina sukatan pelajaran, mengetuai projek nasional, dan memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu selama lebih empat dekad.
“Cinta saya terhadap bahasa dan budaya Melayu tidak pernah pudar. Saya mahu bahasa Melayu terus hidup, relevan dan dibanggakan,” katanya.
Namun perjalanan menuju PhD bukan semudah tekad yang dilafaz.
Kajian beliau, ‘Penilaian Pelaksanaan Kemahiran Interaksi Pertuturan dalam Kurikulum Bahasa Melayu di Sekolah Menengah’, mengambil masa 10 tahun untuk diselesaikan.
Kekangan masa, tuntutan kerja sepenuh masa, kesukaran mendapatkan data, temu bual yang tertangguh, serta sumber bacaan berbahasa Inggeris yang perlu diterjemah merupakan antara cabaran terbesar.
“Selalunya saya terkejar-kejar. Saya penat, tetapi saya tidak boleh berhenti kerana saya sudah memulakan langkah,” ujarnya, mengimbau detik getir itu.
Ada ketika orang di sekeliling turut meragui kemampuannya.
Namun baginya, keraguan itu menjadi bahan bakar semangat.
“Ada yang sangsi, tetapi saya jadikan itu cabaran. Saya mahu buktikan bahawa usia bukan alasan untuk tidak berjaya.”
Sebagai ibu tunggal, pengorbanannya bukan kecil. Tiada tajaan, semua perbelanjaan pengajian ditanggung sendiri. Masa untuk keluarga, sahabat dan sanak saudara banyak terkorban.
Namun sokongan anak-anak, menantu, arwah ibunya, dan pembantu rumah menjadi tiang yang menguatkan langkah.
“Saya sering tekankan kepada anak-anak saya... belajar sepanjang hayat. Kita tidak pernah terlalu tua untuk bermula.”
Kini, selepas PhD disempurnakan, Dr Pairah ingin terus menyumbang kepada dunia pendidikan Melayu, sama ada melalui penulisan, kurikulum atau bimbingan.
Legasinya jelas: Seorang guru berjiwa Melayu yang menjunjung ilmu dan memartabatkan bahasa dengan penuh kasih sayang dan rasa bangga.
“Jangan cepat mengalah,” pesannya kepada wanita muda.
“Cabaran itu bukan penghalang, tetapi penguat. Jika kita berani bermimpi, kita mesti berani melangkah.”
Dr Pairah turut merakamkan penghargaannya kepada penyelia di UPSI, Profesor Madya Dr Dahlia Janan, yang disifatkan cukup sabar melayani ragam beliau dan rakan-rakannya.
“Hubungan kami sudah bukan antara pelajar dengan guru, tetapi sahabat akademik yang amat kami hargai.
“Kami berterimakasih dengan kesungguhan dan semangat Profesor Dahlia melihat kami hingga ke garisan penamat,” ujar beliau.
DR SALHA MOHAMED HUSSAIN: Tidak mengalah walau hati goyah
Dalam diam, guru berusia 57 tahun ini pernah hampir menekan brek pada perjalanan ilmunya.
Di tengah tuntutan kerjaya, keluarga dan tanggungjawab sebagai ibu lima anak, termasuk seorang anak yang dicabar Sindrom Down (kini berusia 20 tahun), hati kecilnya kerap berbisik:
“Mengapa aku memilih beban ini? Apa yang aku cuba buktikan? Adakah aku sedang memperbodohkan diri sendiri?”
Namun setiap kali semangatnya hampir gugur, tangan-tangan yang menyayanginya kembali menariknya berdiri.
Itulah perjalanan getir Dr Salha Mohamed Hussain, Pakar Peneraju Bahasa Melayu di MOE, yang memulakan kerjaya sebagai guru sejak 1989.
Baginya, menjadi pendidik bahasa Melayu bukan sekadar pekerjaan, bahkan amanah jiwa sejak kecil.
“Saya takut satu hari nanti bahasa Melayu hilang seperti Sanskrit. Itu kata-kata guru saya, Almarhum Dr Muhammad Ariff Ahmad. Ia menjadi kompas hidup saya,” katanya.
Dengan tekad itulah beliau menyambung pengajian PhD dalam bidang Kurikulum Bahasa Melayu.
Namun menyempurnakan tesisnya, ‘Pembangunan Model Proses Pembinaan Buku Teks Bahasa Melayu Sekolah Rendah di Singapura’, mengambil masa 10 tahun, sedekad penuh cabaran mental, fizikal dan emosi.
Bahagian paling sukar baginya ialah menganalisis data kualitatif menggunakan kaedah yang tidak pernah dikuasainya.
“Saya nak menangis. Seminggu saya duduk memerah otak, rasa seperti mahu berhenti saja,” ujarnya.
Menyusun struktur tesis yang sistematik turut menuntut ketekunan dan banyak sesi bimbingan bersama penyelianya, Profesor Madya, Dr Dahlia Janan.
“Ada ketika saya bertanya diri sendiri, mengapa aku ambil semua ini? Tak cukupkah beban hidup yang lain?” ujar beliau.
Namun sokongan suami, anak-anak, menantu, ibu bapa dan keluarga mentua menjadi tiang yang tidak pernah goyah.
“Suami saya tak pernah sekali pun menyuruh saya berhenti belajar. Keluarga saya menerima kekurangan masa saya dengan hati terbuka,” katanya.
Bukan sedikit pengorbanannya: hujung minggu berlalu dengan jurnal dan bab tesis; waktu rehat dikorbankan demi tarikh akhir; peluang bersosial terpaksa ditinggalkan.
Namun, bagi Dr Salha, segalanya berbaloi. “PhD pada usia hampir 60-an bukan semua orang berani buat. Ia tentang keberanian dan kesungguhan untuk terus menyumbang,” katanya.
Kini, dengan gelaran PhD dalam genggamannya, beliau mahu terus menghasilkan kurikulum, bahan pengajaran dan pendekatan relevan bagi menghidupkan bahasa Melayu agar terus dicintai generasi muda.
Legasinya jelas, membangunkan jiwa melalui bahasa.
Kepada wanita muda, pesannya: “Kenali tujuan anda. Pegang nilai itu kuat-kuat. Bila datang saat sukar, tujuan itulah yang akan menyelamatkan anda.
“Dan ingat, jangan takut meminta pertolongan... kejayaan bukan perjalanan seorang diri.”
Dr Abidah Bibi Kader Marikar: Cinta pada bahasa ketiga
Dalam dunia pendidikan bahasa Melayu (BM) di Singapura, tidak ramai yang memilih untuk menumpukan perhatian kerjaya dalam bidang bahasa Melayu sebagai Bahasa Ketiga (TML).
Namun, bagi pendidik berjiwa kental ini, di situlah terletak cinta dan misinya.
Demi memastikan pelajar bukan penutur bahasa Melayu, memperoleh asas bahasa yang kukuh, Dr Abidah Bibi Kader Marikar, sanggup menempuh perjalanan akademik selama 10 tahun, suatu tempoh yang menuntut ketabahan luar biasa.
Segalanya bermula ketika beliau bertugas di MOE sebagai pegawai kurikulum.
Di situ, beliau mengetuai projek TML dan melawat sekolah yang melaksanakan program tersebut.
“Saya melihat sendiri kegigihan murid-murid bukan penutur BM. Mereka belajar dengan penuh minat.
“Saya terfikir, mereka mungkin pemimpin kita suatu hari nanti. Jika asas bahasa mereka kuat, mereka akan dapat memahami budaya Melayu dengan lebih mendalam,” katanya.
Kesedaran itu menjadi titik tolak kepada keputusannya melanjutkan pengajian PhD dalam Pendidikan Bahasa Melayu.
Beliau terpanggil untuk menghasilkan kajian yang benar-benar dapat membantu generasi akan datang, lantas muncul penyelidikan bertajuk, ‘Pembangunan dan Keberkesanan Model Strategi Pengajaran Kemahiran Mendengar terhadap Pembelajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ketiga di Singapura’.
Kajian itu, yang akhirnya memakan masa sedekad, membuka ruang baharu dalam penyelidikan TML di Singapura.
Namun, perjalanan itu bukan tanpa liku. Pandemik Covid-19 hampir merencatkan seluruh perancangannya.
“Saya ambil cuti satu penggal untuk buat kajian lapangan, tetapi sekolah ditutup. Tiada pencerapan dapat dijalankan,” kongsi Dr Abidah.
Namun beliau tidak menyerah.
Beliau mengalihkan pencerapan ke wadah dalam talian, dan guru yang terlibat memberi kerjasama sepenuhnya.
“Sokongan mereka sangat bermakna. Itu yang membuka ruang untuk saya teruskan kajian,” katanya.
Dr Abidah bukan hanya seorang penyelidik; ibu tiga anak lelaki dewasa ini juga memegang jawatan kepimpinan di sebuah sekolah rendah.
Mengimbangi semua itu seiring pengajian PhD memerlukan pengorbanan besar.
“Saya banyak habiskan malam menulis tesis. Suami menemani saya, dan anak-anak sentiasa bertanya khabar. Sokongan emosi mereka adalah kekuatan saya,” ujarnya.
Sebelum bergelar Dr Abidah, beliau telah menabur bakti sebagai guru sejak 1990, mengajar di sekolah rendah, menengah, prauniversiti, bahkan berkhidmat di MOE.
Baginya, pendidikan adalah medan bakti yang membentuk legasi.
“Saya mahu dikenang sebagai guru yang memahami, berbudi dan percaya kepada potensi pelajarnya,” katanya.
Kini, setelah menggenggam PhD, tumpuannya tetap sama seperti titik permulaannya,memperkukuh pembelajaran bahasa Melayu, khususnya bagi pelajar TML.
“Perjalanan ini bukan sekadar untuk diri saya. Ia untuk masyarakat pendidikan Melayu dan generasi pelajar yang ingin menguasai BM sebagai bahasa ketiga,” tegasnya.
Kepada wanita muda, nasihatnya lembut namun bermakna: “Sayangi diri dahulu, dan tanamkan cinta pada ilmu. Bila hati sudah terpaut pada sesuatu, tiada apa yang dapat menghentikan langkah anda.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg