Tabiat penggunaan pelindung matahari biasanya tertumpu pada kawasan yang jelas kelihatan seperti pipi, dahi dan hidung.

Namun, banyak bahagian tubuh yang terdedah sering diabaikan walaupun terdedah pada sinaran ultraungu (UV) selama bertahun-tahun semasa perjalanan harian, senaman luar dan kegiatan harian.

Menurut doktor, kawasan yang sering terlepas pandang itulah yang kerap menunjukkan tanda awal kerosakan akibat pendedahan matahari secara berpanjangan.

Ia termasuk masalah pigmentasi, garis halus, tekstur kasar atau dalam kes lebih serius, keadaan prabarah dan barah kulit.

Kebimbangan tersebut semakin penting di Singapura, di mana paras UV sering mencapai tahap “amat tinggi” hingga “melampau” antara 11 pagi dengan 3 petang pada hari yang kurang berawan, ujar Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Bacaan indeks UV lapan hingga 10 dianggap sebagai “sangat tinggi”, manakala bacaan melebihi 11 dikatakan sebagai “melampau”.

Masalahnya bukan sahaja matahari khatulistiwa Singapura yang bersinar sepanjang tahun, bahkan juga gaya hidup moden yang meningkatkan pendedahan UV terkumpul.

Semakin ramai rakyat Singapura menyertai kegiatan sukan di luar seperti bola pikel, larian dan padel.

Percutian pantai, kegiatan ski dan pendakian pula mendedahkan kulit pada sinaran UV yang lebih kuat akibat aras ketinggian, salji dan permukaan yang memantulkan cahaya, kata pakar dermatologi, Dr Lynn Teo dari The Dermatology Practice.

Pakar estetik dan pengasas, Stephanie Ho Dermatology, Dr Stephanie Ho, berkata pendedahan berterusan kepada UV bukan sahaja menyebabkan pigmentasi dan kedutan, malah kerosakan kolagen, keradangan kronik dan kerosakan asid deoxyribonucleic (DNA) yang dikaitkan dengan barah kulit.

“Sinaran UV ialah karsinogen manusia yang terbukti,” katanya, sambil menambah bahawa kerosakan berlaku secara beransur-ansur sepanjang hayat.

Beliau menegaskan bahawa kerosakan tidak memerlukan selaran matahari (sunburn) yang jelas.

“Sinaran UV boleh menyebabkan kerosakan DNA walaupun tanpa kemerahan.”

Kawasan yang diabaikan

Menurut Dr Ho, kawasan yang paling kerap diabaikan ialah kelopak mata, telinga, bibir, leher, dada, kulit kepala dan belakang tangan.

Ramai terlupa atau memandang rendah tahap pendedahannya, manakala ada yang mengelakkan penggunaan pelindung matahari kerana terasa melekit, mengganggu solekan atau mudah hilang akibat peluh.

Kelopak mata dan bawah mata sering menunjukkan garis halus, pigmentasi dan kehilangan keanjalan lebih awal.

Telinga yang terdedah pada matahari pula boleh mengalami tekstur kasar, pengelupasan atau pigmentasi yang mungkin mewakili keratosis aktinik, iaitu perubahan prabarah.

Leher, dada dan belakang tangan juga mudah mengalami kedutan, tompok matahari dan perubahan tekstur kerana sentiasa terdedah tetapi sering diabaikan semasa penggunaan pelindung matahari.

“Lebih 80 peratus keratosis aktinik berlaku pada kepala, leher, lengan bawah dan belakang tangan, kawasan yang paling kerap diabaikan,” katanya.

Pupuk tabiat lebih baik

Dr Ho menyarankan penggunaan pelindung matahari secara menyeluruh setiap pagi supaya kawasan yang sering diabaikan menjadi sebahagian daripada rutin harian.

Menurutnya, penggunaan semula pelindung matahari masih menjadi kelemahan utama.

Kajian menunjukkan hanya 24 peratus orang menggunakannya semula setiap dua jam seperti disarankan, manakala kadar itu menurun kepada 4.8 peratus dalam kalangan atlet.

Pakar Farmasi Kanan, Pusat Kulit Nasional (NSC), Cik Chen Weiyu, menasihatkan orang ramai supaya membawa pelindung matahari ketika berada di luar serta mengelakkan pendedahan berterusan pada matahari ketika UV paling kuat.

“Kulit masih boleh mengalami selaran matahari walaupun pada hari mendung atau semasa musim sejuk,” katanya.

Doktor turut menegaskan bahawa krim pelindung matahari sahaja tidak mencukupi.

Topi bertepi lebar, cermin mata hitam, tempat teduh dan pakaian faktor perlindungan ultraviolet (UPF) tetap penting.

Cik Chen menyarankan pemakaian topi legionnaire (topi dengan pelindung mata dan leher), topi gaya nelayan atau topi lebar untuk melindungi kulit kepala, telinga dan leher.

Adakah krim pelindung matahari khusus diperlukan?

Pasaran kini menawarkan salap bibir atau lip balm, semburan kulit kepala dan produk khusus lain yang mempunyai Faktor Pelindung Cahaya Matahari (SPF) untuk memudahkan penggunaan pada kawasan tertentu.

Dr Ho berkata salap bibir melekat lebih baik selepas makan atau minum berbanding pelindung matahari yang biasa, manakala jenis semburan memudahkan penggunaan pada bahagian belahan dan garis rambut.

Namun, pelindung matahari SPF50 biasa sudah memadai untuk semua kawasan terdedah jika digunakan dengan betul, berterusan dan dalam jumlah mencukupi.

Beliau kurang menggemari pelindung matahari semburan kerana ia sering digunakan secara tidak sekata dan sebahagian besarnya tersebar ke udara berbanding melekat pada kulit.

“Terlalu banyak pesakit datang dengan selaran matahari selepas menggunakan pelindung matahari semburan,” kata Dr Ho.

Akhir sekali, para pakar bersetuju bahawa pelindung matahari terbaik adalah yang digunakan secara berterusan.

“Sinaran ultraungu (UV) boleh menyebabkan kerosakan DNA walaupun tanpa kemerahan... Lebih 80 peratus keratosis aktinik (perubahan prabarah) berlaku pada kepala, leher, lengan bawah dan belakang tangan, kawasan yang paling kerap diabaikan.” 
Dr Stephanie Ho, Pakar Estetik yang juga Pengasas, Stephanie Ho Dermatology.

“Kulit masih boleh mengalami selaran matahari (sunburn) walaupun pada hari mendung atau semasa musim sejuk.”
Cik Chen Weiyu, Pakar Farmasi Kanan, Pusat Kulit Nasional (NSC).