Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trend seluar gajah ikonik Thailand curi perhatian dunia

Sep 24, 2025 | 5:20 PM
Bruno Mars, elephant pants, bangkok pants
Penyanyi Amerika Syarikat, Bruno Mars, memakai pakaian dengan corak gajah ikonik Thailand semasa membuat persembahan di Bangkok pada 2024. - Foto INSTAGRAM BRUNO MARS

Seluar dengan motif gajah telah menjadi pakaian wajib yang dijual di pasaran Thailand sehingga mencetus fenomena fesyen di peringkat sejagat.

Sering digelar ‘seluar gajah’, ia merupakan seluar longgar berwarna-warni dengan getah di bahagian pinggang dan dihiasi corak gajah.

Digemari ramai kerana keselesaan dan sentuhan budaya, seluar ini kini lebih daripada sekadar pakaian pelancongan.

Ia menjadi simbol kreativiti, dan popularitinya di seluruh dunia membantu mempromosikan budaya dan negara Thailand.

Sekali pandang, seluar gajah seakan seluar ‘harem’ yang berasal dari Timur Tengah dan Asia Selatan, dengan tali pinggang elastik, fabrik yang lembut, dan potongan lebar.

Tetapi, corak gajah yang menyerlah pada seluar tersebut membuatkannya begitu sinonim dengan Thailand.

Seringkali dihasilkan dalam warna biru gelap, hitam, merah dan pelbagai warna lain, seluar ini sesuai digayakan oleh kededua golongan lelaki dan wanita.

Ia juga serbaguna, sesuai untuk kegiatan ringan, melancong, dan paling ideal dipakai ketika cuaca panas.

Diperbuat daripada kain kapas atau rayon, ia memberikan keselesaan kerana ringan dan tidak panas dipakai. 

Walaupun ia membolehkan pemakainya bergaya sambil kekal selesa, ia juga mudah terkoyak, seperti yang diakui ramai pemakai.

Trend ini mungkin kekal sebagai keunikan tempatan sekiranya tidak mendapat pendedahan antarabangsa.

Pelancong dari Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan negara lain membantu memperkenalkan trend ini, termasuk dari Asia yang menjadikan ‘seluar gajah’ amat popular.

Pada 2022, bintang pop Korea (K-pop) terkenal dunia, Jackson Wang, dilihat memakai seluar itu di lapangan terbang Bangkok selepas satu konsert.

Tidak lama selepas itu, bintang Korea Selatan lain seperti Ten daripada NCT/WayV dan Mark Tuan daripada GOT7 turut mengikut trend tersebut, menjadikan ‘seluar gajah’ begitu popular dalam kalangan selebriti juga – bukan sekadar pakaian bagi para pelancong.

Kilang-kilang di utara Thailand, Chiang Mai, kini menghasilkan lebih 2,000 pasang ‘seluar gajah’ sehari, dan mengeksportnya ke Asia serta Eropah.

Gaya seluar ini turut menarik perhatian usahawan Nathan Coleman dan James Brooks, yang menubuhkan jenama The Elephant Pants pada 2013.

Bekerjasama dengan syarikat asal Thailand, mereka membuat komitmen untuk menyumbangkan 10 peratus keuntungan bagi pemuliharaan hidupan liar.

Dalam masa dua tahun, perniagaan itu menjana jualan sebanyak AS$7 juta ($8.9 juta) sebelum dijual kepada seorang pelabur China.

Kejayaan ‘seluar gajah’ ini mendorong kemunculan pelbagai variasi tempatan yang kreatif dan menarik.

Di media sosial, munculnya pula seluar corak ikan tenggiri Mae Klong, yang diilhamkan daripada ikan yang menjadikan bandar pesisir di barat Thailand itu terkenal.

Variasi tempatan ini bukan sahaja meraikan budaya setempat, malah membuka peluang baru untuk perniagaan kecil.

Seluar gajah membuktikan fesyen bukan sahaja menyeronokkan malah boleh membawa nilai, menjadikan pakaian harian satu simbol kebanggaan budaya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg