Jenama pakaian milik bersama personaliti terkenal, Kim Kardashian, Skims, baru-baru ini telah melancarkan rekaan kasut jeli mereka sendiri.

Para pelanggan tempatan boleh mendapatkan kasut fesyen terkini itu di laman web rasmi jenama tersebut pada harga $92, tidak termasuk kos penghantaran.

Sejak pelancarannya, pelbagai komen mula tular di media sosial, termasuk daripada seorang pengguna yang mempersoalkan keselesaan dan kesesuaian kasut tersebut untuk dipakai secara harian.

Kasut jeli jenama Skims dijual pada harga $92, tidak termasuk kos penghantaran.
Kasut jeli jenama Skims dijual pada harga $92, tidak termasuk kos penghantaran. - Foto SKIMS

“Bolehkah anda pakai kasut ini? Ia diperbuat daripada bahan sangat nipis.

“Tapaknya terlalu nipis sehingga boleh rasa permukaan tanah di bawah kaki. 

“Kasut ini memang lembut, tetapi saya tidak tahu cara menggayakannya, atau sama ada ia sesuai atau tidak untuk dipakai di luar kawasan kolam renang,” katanya.

Malah, seorang netizen di ruangan komen menyamakan rupa kasut tersebut seperti sarung telefon bimbit polivinil klorida (PVC) yang telah berubah warna.

Kasut jeli sememangnya satu trend yang menonjol namun, ia tidak lari daripada kontroversi pada musim fesyen ini.

Gaya ini kembali popular sejak 2025 selepas hampir dua dekad ‘menghilang’, dan kini, semakin banyak jenama terkemuka mula mengeluarkan rekaan yang diilhamkan daripadanya.

Jenama mewah seperti Loewe, Chloe, dan Bottega Veneta, turut menampilkan rekaan kasut jeli dalam koleksi Musim Bunga/Musim Panas 2026 mereka.

‘Chloe Jelly Mule’ yang direka pengarah kreatif, Chemena Kamali, ditampilkan dengan pilihan warna yang terang, lengkap dengan perincian simpulan pada bahagian atas, serta siluet bertumit rendah dan rekaan jejari terbuka.

Kasut jeli, ‘Chloe Jelly Mule’, digelar sebagai kasut paling kontroversi buat masa ini disebabkan bahan yang digunakan dan harganya yang tinggi.
Kasut jeli, ‘Chloe Jelly Mule’, digelar sebagai kasut paling kontroversi buat masa ini disebabkan bahan yang digunakan dan harganya yang tinggi. - Foto CHLOE

Namun, ada yang masih ragu-ragu. 

Memandangkan faktor bahan yang digunakan dan harganya yang premium, ia telah digelar sebagai ‘kasut paling kontroversi buat masa ini’. 

Di Singapura, kasut ini dijual pada harga runcit $890.

Manakala kasut jeli versi sandal Chloe dijual pada harga $790.

Jenama fesyen segera atau fast fashion turut tidak ketinggalan memanfaatkan populariti rekaan tersebut. 

Sandal ‘wedge’ vinil keluaran Zara kini berada di kedudukan kedua dalam senarai kasut paling sohor kini jenama tersebut.

Sandal rekaan gaya selipar dengan bahagian tumit terbuka ini menampilkan tali pengikat depan diperbuat daripada vinil, tumit wedge, dan rekaan depan yang bersegi empat atau square toe.

Kasut ini menggunakan gabungan bahan PVC dan bukan plastik sepenuhnya, sekali gus menjadikannya lebih selesa dan praktikal untuk dipakai. 

Sandal ‘wedge’ vinil keluaran Zara berada di kedudukan kedua dalam senarai kasut paling sohor kini jenama tersebut.
Sandal ‘wedge’ vinil keluaran Zara berada di kedudukan kedua dalam senarai kasut paling sohor kini jenama tersebut. - Foto ZARA

Pada harga $75.90, ia menawarkan harga lebih mampu milik. 

Saiz popular juga dilaporkan hampir habis terjual.

Sementara itu, H&M pula menjual kasut jeli bertapak rata dalam dua pilihan warna pada harga $29.90. 

Rekaan muncung empat segi itu menggunakan struktur seakan-akan jaring yang memberi pengudaraan lebih baik, menjadikannya pilihan lebih sesuai buat mereka yang baru pertama kali mahu mencuba rekaan tersebut.

Nike turut menyertai trend ini dengan memperkenalkan kasut larian jeli.

Model kasut larian jeli wanita, Women’s Rejuven8 Run OG Jelly, menampilkan struktur luaran seakan sangkar yang fleksibel seperti jeli bersama tapak berkusyen.

Dengan pelbagai pilihan kasut jeli di pasaran, timbul persoalan bagaimanakah cara sebenar untuk menggayakan ini dalam pakaian harian?

Pakar gaya, Cik Choi Hee-seung, yang juga dikenali sebagai Stylist Unnie, di wadah YouTube, sering memadankan kasut ini dengan seluar potongan lebar, lapor akhbar, The Korea Herald.

“Jika anda mahu kelihatan lebih kemas dan bergaya, anda boleh padankan kasut ini dengan stoking berwarna terang.

Gandingan idealnya adalah pakaian ringkas bersama kasut jeli yang berwarna-warni dengan rekaan unik.

“Kasut ini selesa, santai, dan anda tidak perlu risau ia basah apabila hari hujan.

“Ia kini telah diterima sebagai pakaian wajib untuk musim panas, sama seperti kasut but Ugg yang secara automatik menjadi pilihan utama apabila tibanya musim sejuk.”

Kelemahan terbesar kasut dengan bahan ini adalah keadaannya apabila dipakai dalam cuaca atau musim panas.

Bahan rekaannya yang lembut melekap elok pada kaki dan terasa selesa, namun, suhu yang panas sering mengundang masalah pengudaraan.

Apabila kaki mula berpeluh, si pemakai akan rasa melekit dan tidak selesa. 

Masalah ini bagaimanapun boleh diatasi dengan memadankannya bersama stoking atau memilih saiz lebih besar.

Selain itu, cuaca hujan turut menjadi satu lagi perkara yang membimbangkan. 

Kasut jeli sering dikritik kerana tapaknya menjadi licin apabila terkena hujan, di samping risiko bau kurang menyenangkan akibat peluh yang terperangkap.

Meskipun begitu, produk terbaru kini dilihat mula menangani kelemahan berkenaan.

Seorang pegawai di Au Brandz, syarikat yang mengendalikan jenama kasut jeli dan but hujan Korea, Rockfish Weatherwear, berkata kasut jenis ini sedang mengalami perubahan.

“Kasut jeli dahulunya hanya terhad untuk kegunaan musim hujan, tetapi kini permintaan telah beralih sebagai kasut yang selesa dipakai pada musim panas, dan rekaan produk juga berkembang seiring dengan trend tersebut,” kata pegawai berkenaan.

“Kasut jeli moden kini telah mengatasi kelemahan terdahulu seperti kurangnya sokongan kusyen, masalah tapak licin, serta kilauan plastik yang keterlaluan.

“Malah, ia kini semakin mendapat perhatian sebagai kasut fesyen popular.” – Agensi berita.