Topic followed successfully
Go to BHkuTerlepas peluang lihat bunga sakura? Klook boleh pulangkan wang anda
Terlepas peluang lihat bunga sakura? Klook boleh pulangkan wang anda
Pelanggan layak terima pemulangan wang sebanyak 30% melalui ciri ‘Bloom Back Guarantee’
Terlepas peluang lihat bunga sakura? Klook boleh pulangkan wang anda
Ingin ke luar negara demi menikmati keindahan bunga sakura, namun bimbang terlepas musim mekarnya?
Kini, platform tempahan perjalanan, Klook, menawarkan penyelesaian untuk meredakan kerisauan anda.
Mereka akan memulangkan sebahagian wang tempahan kepada pelancong jika bunga sakura gagal mekar seperti yang diharapkan di Jepun dan Korea Selatan.
Klook mendakwa ia platform pelancongan pertama yang memperkenalkan ciri ‘Bloom Back Guarantee’, yang mana pelanggan layak menerima pemulangan wang sebanyak 30 peratus jika bunga sakura tidak mekar dalam tempoh ramalan rasmi yang ditetapkan.
Jaminan ini tersedia sebagai perlindungan tambahan bagi pengalaman melihat bunga sakura yang ditempah di kedua-dua destinasi itu.
Untuk membuat tuntutan, pelancong hanya perlu menyediakan foto yang jelas berserta tanda masa yang dipetik semasa lawatan dan menghantar permohonan mereka dalam tempoh 10 hari selepas penyertaan untuk semakan.
Untuk masa yang terhad, pelancong boleh mendapatkan perlindungan ini tanpa kos tambahan dengan menggunakan kod ‘FREEBLOOMBACK’ semasa menempah lawatan yang layak.
Pengurus besar Singapura, Indonesia, Malaysia dan Thailand di Klook, Cik Sarah Wan, berkata perjalanan yang dibuat sewaktu musim bunga adalah detik besar buat pengunjung Singapura terutamanya dengan musim bunga sakura.
Mereka juga akur bahawa pelancong mahukan lebih kepastian apabila membuat perancangan sewaktu tempoh terhad yang bergantung pada faktor masa.
“Melalui ‘Bloom Back Guarantee’, kami memberi pelancong lebih banyak keyakinan untuk merancang awal dengan mudah dan fleksibel supaya setiap perjalanan musim bunga terasa lancar, berbaloi dan penuh dengan detik tidak boleh dilupakan,” katanya.
Klook menjelaskan bahawa perlindungan tersebut diperkenalkan susulan dapatan daripada Indeks Kesediaan Musim Bunga yang melibatkan tinjauan ke atas 900 pelancong dari sembilan pasaran Asia, termasuk Singapura.
Data menunjukkan tarikan Asia Utara tiada tandingan dalam kalangan warga Singapura, dengan Jepun destinasi paling popular diikuti China kemudian Korea Selatan.
Namun, kira-kira separuh pelancong khuatir akan harga yang lebih tinggi dan tiket terhad sewaktu tempoh sibuk.
Sementara itu, kira-kira 34 peratus risau terlepas detik bunga mekar kerana tempohnya tidak menentu.
Sewaktu tempoh Mac hingga April 2025, Klook mendapati bahawa terdapat minat meningkat bagi destinasi Fukuoka, Sapporo dan Nagoya di Jepun; Gangwon-do, Gyeonggi-do, dan Gyeongju di Korea Selatan dan Lijiang, Chengdu, dan Guangzhou di China.
Selain itu, Klook turut melancarkan promosi harian yang menawarkan penjimatan sehingga $80.
Tawaran untuk Jepun diadakan pada Isnin, China pada Selasa, dan Korea Selatan pada Rabu.
Manakala itu, tawaran untuk pakej kunjungan dan kegiatan diberikan pada Khamis serta hotel pada Jumaat.

