Melancong ke pelbagai negara sebagai selebriti mungkin nampak seperti ‘kerjaya idaman’.

Namun, di sebalik senyuman dan kemesraan yang ditayangkan, tiga personaliti tempatan – Cef Mel Dean; penyiar radio Mediacorp Warna 942, Aura Shai; dan pengacara dan pelawak, Suhaimi Yusof – menegaskan bahawa tugas mereka merupakan satu amanah besar.

Ia lebih daripada sekadar bergambar dan bergembira dengan pelancong.

“Ia bukan kerjaya impian seperti yang disangkakan, ia tetap kerja bagi saya.

“Kerja saya tetap menghiburkan orang namun, tempat kerjanya sahaja yang bertukar,” seloroh Suhaimi, 56 tahun.

Sejak 1994, beliau yang ketika itu bertugas sebagai penyiar radio Mediacorp Warna 942, telah mengiringi pendengar ke destinasi seperti New Zealand, Australia, Dubai, India, Hong Kong, China, dan kapal pelayaran.

“Saya terkejut kerana acara perjalanan sebegini masih bertahan sehingga ke kini.

“Orang ramai masih menikmati perjalanan dan dihiburkan oleh personaliti, dan saya sendiri turut menikmatinya,” tambah Suhaimi.

Bagi Shai atau nama sebenarnya Shaidatunniza Mahmood, 48 tahun, beliau melihat pengembaraan berkumpulan itu sebagai peluang keemasan untuk bercuti bersama pendengar sekali gus mengenali mereka secara lebih dekat.

“Saya terharu pendengar mengenali saya hanya melalui suara.

“Namun, saya sentiasa perlu sedar bahawa saya membawa nama stesen radio dan agensi pelancongan, justeru ketertiban, penampilan, dan interaksi perlu dijaga rapi,” jelas Shai.

Kembara beliau merentas Maghribi, Mesir, Turkey, Uzbekistan, hingga ke Sepanyol, menelusuri destinasi mempesona bersama peminat menerusi pakej eksklusif syarikat pelancongan, Chan Brothers Travel.

Sementara itu, cef selebriti, Cef Mel atau nama sebenarnya, Kamarulzaman Samsudin, 59 tahun, yang baru sahaja menamatkan jelajah Sichuan, China bersama Dreamcation Cruises & Tours, terus memukau dengan sentuhan kulinari yang mengadunkan warisan Singapura dan cita rasa autentik kembara beliau.

Cef Mel Dean (barisan depan, tengah) bergambar bersama rombongan di Sky Terrace 428, Menara Peak, Hong Kong, yang terletak pada ketinggian 428 meter dari paras laut. Ia merupakan platform tontonan tertinggi di bandar itu dan menawarkan pemandangan panorama yang menakjubkan.
Cef Mel Dean (barisan depan, tengah) bergambar bersama rombongan di Sky Terrace 428, Menara Peak, Hong Kong, yang terletak pada ketinggian 428 meter dari paras laut. Ia merupakan platform tontonan tertinggi di bandar itu dan menawarkan pemandangan panorama yang menakjubkan. - Foto ihsan CEF MEL DEAN

“Biasanya saya memperkenalkan cita rasa tempatan yang autentik sambil membawa sedikit identiti Singapura ke mana-mana sahaja saya pergi.

“Untuk demonstrasi masakan, saya perlu memikirkan tentang bahan-bahan tempatan, adaptasi budaya dan cara mencipta hidangan yang menghubungkan cita rasa Singapura dengan negara yang kami lawati,” katanya.

Komitmen tinggi di sebalik tabir

Membuat orang ketawa dan ‘keseronokan spontan’ yang dinikmati peserta menuntut komitmen dan perancangan teliti di sebalik tabir.

Antara peranan mereka termasuk menyiapkan kuiz trivia berhadiah, membuat kejutan kecil buat tetamu, hingga menjadi pemangkin suasana, terutama saat perjalanan memakan masa atau peserta mula berasa letih.

“Ramai yang terlepas pandang bahawa kami bertanggungjawab atas persediaan logistik yang rapi, termasuk merangka idea kreatif bagi interaksi berterusan,” jelas Suhaimi, yang baru menyertai pelayaran. Cruise Healing, anjuran Berita Harian di atas kapal, Genting Dream pada April.

Berbeza dengan melancong sendiri, selebriti tersebut menggalas beberapa tanggungjawab, termasuk memastikan pelancong berasa selesa, mendapat bantuan (di mana perlu, terutama warga emas) dan tidak ketinggalan.

Menurut Shai, beliau sangat peka tentang perkara tersebut kerana berasa ia umpama melancong bersama ibunya sendiri.

“Ramai menganggap ia seperti percutian dengan peminat, sedangkan sebenarnya ada jadual ketat yang harus dipatuhi.

“Banyak pergerakan dari satu tempat ke tempat lain. Ada kalanya kami berdepan proses daftar masuk dan keluar yang rumit, perjalanan jauh dan pastinya banyak berjalan kaki,” jelas Shai.

Namun, kejayaan sesebuah rombongan itu bukan terletak pada pemandangan indah yang dikunjungi atau tempat penginapan mewah tetapi ikatan ukhwah yang terus mekar selepas tamat percutian bersama.

“Mulanya, saya fikir mereka hanya mengejar juadah dan pemandangan.

“Namun, saya sedar bahawa perjalanan ini adalah jambatan yang menghubungkan hati manusia,” kata Cef Mel dengan tenang.

Daripada pengembara solo hingga pesara yang mencari sinar baharu, mereka berkongsi tawa dan rahsia.

Menjelang penghujung percutian, perkenalan singkat itu sering kali bertukar menjadi seperti ikatan keluarga yang mesra.

Strategi kekal bertenaga, kreatif

Menyemarakkan keceriaan dan kekal kreatif di hadapan kumpulan peminat yang sama selama berhari-hari bukanlah tugas yang mudah.

Bagi Shai, peranannya merangkumi pengacaraan, penganjuran makan malam, dan memikirkan permainan sesuai, hasil perancangan teliti bersama agensi pelancongan.

“Saya sebenarnya seorang yang pemalu.

“Namun, saya perlu mengikut tuntutan tugas. Syaratnya, saya dapat berehat sepenuhnya di bilik hotel pada penghujung hari,” ceritanya.

Beliau juga aktif berkongsi pengalaman di media sosial sebagai memori bersama peserta dan peminat.

Cef Mel, yang terkenal dengan ungkapan ikonik ‘Kapowww’, sedar peminat sentiasa mendambakan tenaga yang sama.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak mampu sentiasa begitu. Kunci utamanya adalah keikhlasan dalam setiap interaksi santai.

“Secara amnya, saya memang kuat bercakap, dan tak henti! Sehinggakan isteri saya selalu mengingatkan saya untuk berdiam diri untuk lima minit!

“Ada masa saya perlu menyesuaikan tenaga mengikut keadaan dan kumpulan orang yang bersama saya. Dari situ, pelancong dapat melihat diri saya yang sebenar secara dekat,” jelas Cef Mel.

Sementara itu, Suhaimi mengakui tugas untuk kekal spontan selama 24 jam adalah mencabar meskipun mempunyai pengalaman luas dalam bidang itu.

“Saya gembira melihat orang tersenyum dan terhibur. Saya langsung tidak tertekan, malah saya sendiri turut menikmati kembara ini dengan rasa ingin tahu, yang secara tidak langsung menambahkan pengetahuan saya,” ujarnya.

Destinasi paling memikat hati

Ketika ditanya tentang pengalaman yang tidak dapat dilupakan, setiap personaliti menyingkap kisah kembara mereka.

Bagi Shai, kenangan indahnya semasa di Mesir dan beliau berpeluang menaiki kapal pelayaran sambil menikmati suasana Sungai Nil.

Selain itu, melihat pemandangan ladang zaitun dari belon udara panas di Cappadocia, Turkey turut merupakan salah satu pengalaman yang menakjubkan.

Suhaimi tanpa ragu-ragu, menamakan New Zealand sebagai ‘rumah’ kedua, destinasi kegemaran yang telah dikunjunginya sebanyak sembilan kali.

Sementara itu, Cef Mel mengakui Korea Selatan adalah pujaan hatinya, namun, kegembiraan sebenar baginya ialah menelusuri cita rasa baharu di setiap pelosok dunia.

Walaupun sudah beberapa kali ke New Zealand, Suhaimi Yusof, tidak teragak-agak memilihnya lagi untuk destinasi seterusnya jika diberi peluang.
Walaupun sudah beberapa kali ke New Zealand, Suhaimi Yusof, tidak teragak-agak memilihnya lagi untuk destinasi seterusnya jika diberi peluang. - Foto ihsan SUHAIMI YUSOF

Pendapat ejen pelancongan

Pengarah dan Pengasas Dreamcation Cruises & Tours Pte Ltd, Encik Sujimy Mohamad, yang kerap menganjurkan siri kembara bersama selebriti tempatan, menekankan kepentingan perwatakan apabila memilih seorang selebriti untuk menyertai rombongannya.

Cara selebriti itu berinteraksi dan melayani pelanggan adalah kriteria utama pemilihan.

“Kami menilai keberkesanan pemilihan personaliti melalui maklum balas pelanggan,” jelasnya.

Sebagai contoh, beliau berkata Suhaimi pandai menyemarakkan suasana dan mencetus tawa spontan di mana-mana jua, diperkaya dengan pengalaman luas.

Cef Mel pula menawarkan sentuhan masakan, meningkatkan nilai kulinari sepanjang perjalanan.

Sementara itu, Eksekutif Komunikasi Pemasaran Kanan, Chan Brothers Travel, Cik Tan Jie Ni, menyatakan pakej yang diterajui personaliti bukan sekadar tarikan, malah terbukti meningkatkan pengalaman kembara secara menyeluruh.

Kembara sebegini berupaya memupuk penglibatan, interaksi, dan mengukuhkan memori bersama.

“Kami menyasarkan pengalaman yang bukan hanya memukau dengan keindahan destinasi, malah, turut meninggalkan interaksi bermakna,” ujar Cik Tan.

Beliau menambah, Shai dipilih kerana personalitinya selaras dengan standard tinggi syarikat dalam mencipta pengalaman pelanggan yang unggul.

Menikmati kembara yang dibiayai sepenuhnya memang satu keistimewaan, namun bagi Suhaimi, ia adalah ganjaran daripada ketekunan yang dipupuk selama berdekad-dekad.

“Mengapa harus anda dibayar untuk memimpin kembara jika tidak mampu menyuntik makna dan nilai ke dalamnya?

“Keistimewaan ini adalah hasil kerja keras bertahun-tahun, dan sesiapa pun mampu mencapainya jika mereka juga berani berusaha,” jelas Suhaimi.

“Ramai menganggap ia seperti percutian dengan peminat, sedangkan sebenarnya ada jadual ketat yang harus dipatuhi. Banyak pergerakan dari satu tempat ke tempat lain. Ada kalanya kami berdepan proses daftar masuk dan keluar yang rumit, perjalanan jauh dan pastinya banyak berjalan kaki.”
Aura Shai, penyiar radio Mediacorp Warna 942, yang kerap membawa pendengar mengikuti rombongan bersama syarikat pelancongan, Chan Brothers Travel.