China merupakan negara yang tidak pernah terlintas dalam fikiran saya tatkala merancang senarai destinasi idaman yang saya harap dapat terokai dalam jangka hayat ini.
Bukan apa, diri ini banyak termakan dengan paparan negatif yang selalunya dilihat di media sosial tentang negara dan warganya.
Tetapi sejak kebelakangan ini, foto dan imej mengenai percutian ke China seakan membanjiri halaman media sosial bak memanggil-manggil diri ini ke sana hingga saya pun tertanya: “Benarkah China secantik itu?”
Dek ingin memuaskan rasa ingin tahu, saya pun memutuskan untuk memberi China peluang untuk mengubah persepsi saya tentang negara itu, dan pilihan destinasi pertama ialah Yunnan – wilayah yang terkenal dengan cuaca dingin serta altitud tingginya.
Memandangkan keluarga besar saya pun sekaki, kami membentuk rombongan seramai 20 orang dan mendapatkan bantuan jurupandu tempatan, Cik Sophia, yang gigih membawa kami menjelajah dari tempat ke tempat.
Maklumlah, tidak ada seorang pun daripada rombongan kami yang faham bahasa Mandarin, jadi kunjungan darat atau ‘land tour’ menjadi huraian bagi elak keadaan bagai itik dan ayam apabila berhubung dengan penduduk di sana.
Kunjungan tersebut dikendalikan oleh agensi Malaysia, Jejak Vacation Networks, yang menguruskan pengangkutan, penginapan, makanan (sarapan, makan tengah hari dan makan malam), kegiatan kami serta memastikan kami dapat memenuhi tuntutan solat sepanjang kunjungan.
Selama seminggu, saya dan keluarga mengembara Kunming, Dali, Shangri-La dan Lijiang.
Kunming, ibu kota Yunnan, terkenal sebagai ‘bandar musim bunga abadi’ disebabkan iklimnya yang sederhana dan menyenangkan serta bunga-bunganya yang mekar sepanjang tahun.
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming Changshui, kami sudah berada kira-kira 2,000 meter atas paras laut.
Memandangkan ia sudah pun petang, kami menuju ke penginapan kami, Xin Sheng Da Hong Sheng International Hotel – hotel mesra Muslim, di mana makanan yang disajikan dijamin halal.
Pada sebelah malam, kami singgah di Luosiwan International Trade City (juga dikenali sebagai New Luosiwan), sebuah kompleks pasaran borong yang besar di Kunming.
Ia menawarkan pelbagai barangan seperti pakaian, mainan, perabot rumah, dan elektronik pada harga yang rendah.
Pada sebelah malam, pengendali kedai akan membawa barang untuk dijual ke luar bangunan dan suasananya meriah bak pasar malam.
Harganya memang berpatutan, dan pelanggan boleh tawar-menawar dengan para peniaga.
Kunming juga terkenal untuk tapak Unesco ‘Stone Forest’ atau Hutan Batu, yang juga dikenali sebagai Shilin.
Tidak hairanlah mengapa ia diberi nama tersebut kerana tapak tersebut penuh dengan batu kapur (limestone) yang tinggi dan menyerupai tiang.
Saya terpukau dengan keindahan alam semula jadi dan formasi batu-bata itu tetapi sayangnya, kecantikan tapak pelancongan itu dikaburi dengan lautan manusia hinggakan di beberapa tempat, kami terpaksa berasak-asak.
Memandangkan keluarga saya terdiri daripada kanak-kanak kecil, warga emas dan kurang upaya, pengembaraan di ‘Stone Forest’ itu sangat mencabar kerana begitu banyak tangga yang perlu didaki.
Justeru kami terpaksa mengangkut kerusi roda bapa saya dan kereta sorong anak-anak saya.
Bagaimanapun terdapat kawasan luas dan tanah rata di luar ‘Stone Forest’ itu untuk pengunjung berehat.
Di Kunming, saya sekeluarga juga berpeluang mencuba aneka makanan jalanan Cina halal di Shuncheng Street, terletak berdekatan Masjid Suncheng.
Saya sekeluarga beransur ke Dali, dengan tempat pertama kami kunjung adalah Santorini Dali (ibarat yang di Greece) yang mempunyai seni bina berwarna putih, hotel di tepi tebing, lorong-lorong berliku, dan pemandangan panorama Tasik Erhai serta Gunung Cangshan.
Selain itu, kami juga berkunjung ke tarikan utama Dali, bandar purba atau ‘ancient town’, yang mengingatkan saya tentang filem ‘Kung Fu Panda’.
Suasananya sangat asli, dengan bangunan lama yang menonjolkan warisan dan budaya orang China.
Saya sekeluarga berpeluang melawat South Gate Mosque di Dali, salah satu masjid paling purba di Yunnan dan dibina sewaktu Dinasti Yuan (1271-1368).
Kami pun berjalan-jalan di bandar purba itu, singgah dari kedai ke kedai sambil menikmati suasana nyaman.
Di Dali, kami juga menerokai Koridor Ekologi Erhai (Ecological Corridor), laluan 129 kilometer panjang mengelilingi tasik.
Saya dan keluarga pun ronda-ronda menaiki basikal, seronok bagi kegiatan berkeluarga!
Dari Dali, kami menaiki bas selama beberapa jam menuju ke Tiger Leaping Gorge yang terletak di antara Lijiang dengan Shangri-La.
Pemandangan di sekitar gaung itu ibarat gambar poskad yang hidup dan saya terpegun tatkala menghayati jeram dan arus deras Sungai Jinsha, yang merupakan sebahagian daripada Sungai Yangtze.
Menurut legenda, tempat ini mendapat namanya daripada seekor harimau yang lari daripada pemburu dengan melompat merentasi sungai di titik paling sempitnya.
Kami telah membeli tiket untuk menaiki eskalator bagi melihat keindahan alam tersebut.
Perasaan gerun melihat air yang sangat deras bercampur dengan perasaan bersyukur dapat menikmati keindahan alam semula jadi ciptaan Allah swt.
Di Lijiang, kami ke bandar purba Lijiang Ancient Town dan Square Street, kedua-duanya tapak Unesco yang terkenal dengan jalan diturap dengan batu kelikir (cobblestone) dan bangunan tradisional yang berunsurkan elemen Naxi.
Kemuncak percutian saya semestinya apabila saya dan keluarga melakukan ‘ekpedisi’ ke gunung terkenal Jade Dragon Snow Mountain.
Saya pada mulanya khuatir untuk mendaki gunung tersebut bersama dua anak kecil berusia empat dan dua tahun memandangkan altitud gunung tersebut lebih 4,500 meter dan paras oksigen rendah.
Bagaimanapun, kunjungan kami dibimbing oleh jurupandu tempatan Lijiang, Cik Sharon, yang sentiasa bersama kami dan memantau keadaan kami.
Kami meninggalkan hotel jam 5.30 pagi untuk menuju ke gunung tersebut, dan perlu membuat beberapa persediaan.
Antaranya, kami meminum ubat Cina bagi membantu elak daripada masalah kesihatan disebabkan altitud tinggi, dan membeli botol oksigen.
Kami menaiki kereta kabel untuk sampai ke puncak, dan dalam perjalanan, menyedut oksigen secara tetap.
Setibanya di atas, saya rasa diri ini insan kerdil apabila mengahayati kebesaran alam gunung-ganang diselaputi salji yang menghampar luas di hadapan mata.
Kami dinasihati agar tidak terlalu aktif dan berjalan dengan perlahan supaya elak masalah kesihatan disebabkan paras oksigen rendah.
Memandangkan saya bersama dua anak kecil, kami tidak meluangkan terlalu banyak masa di atas, dan setelah 15 minit, kami turun menerusi kereta kabel.
Walaupun waktu itu singkat, kenangan indah terpahat buat selamanya.
Perjalanan kami diteruskan dengan lawatan ke Sungai Baishui dan Blue Moon Valley, yang terkenal dengan perairannya yang jernih, dengan ‘buggy’ disediakan untuk perjalanan yang lebih mudah.
Di sini, kami sempat bergambar dengan lembu Yak, sejenis lembu yang berasal dari kawasan pergunungan Himalaya.
Kunjungan kami ke kawasan Jade Dragon Snow Mountain itu digulung dengan menikmati pertunjukan Impression of Lijiang yang mempamerkan budaya Naxi dengan berlatarbelakangkan pergunungan yang dilitupi salji, sangatlah indah dipandang mata.
Dari Lijiang, kami menaiki kereta api laju menuju ke bandar Kunming.
Bagaimana pula dengan makanan?
Mudah untuk mendapatkan makanan halal di Yunnan, dan pengunjung perlu mengenal pasti logo Qing Zhen hijau yang jelas terpampang di kedai.
Makanannya semua enak dan ‘kena dengan tekak’ Asia saya dengan banyak hidangan menggunakan biji lada ‘peppercorn’ yang terkenal di China.
Selain menjamah daging yak, saya juga dapat menikmati bebek, roti daging, dumpling, dan makanan tradisional seperti hidangan mi sup ‘crossing-the-bridge noodle’.
Kedai makan yang telah saya kunjung ialah Qingzhenguan, Naxiaochu, Yongping huangmenji, Jinmili, Yiluxiang, Yining, dan Xinxin.
Satu pesanan saya adalah agar pengunjung membawa bersama bidet mudah alih yang boleh dibawa ke mana-mana bagi memudahkan istinjak.
Kebanyakan tandas juga memerlukan pengguna untuk berada dalam keadaan cangkung.
Perjalanan saya selama tujuh hari terasa singkat tetapi sudah cukup untuk membuat saya jatuh cinta dengan Yunnan, China.
Yang menambah kepada kemanisan itu juga adalah saya dapat menjelajah bumi asing bersama keluarga besar saya.
Ia mungkin kali pertama saya melancong ke China.
Tetapi dengan layanan mesra penduduk di sana, suasana nyaman, warisan Islam dan keindahan alam semula jadi yang menambat hati ini, saya teringin ke sana lagi, meneroka wilayah lain pula jika dikurniakan rezeki.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg