Topik diikuti
Pergi ke BHkuPermainan meja galak kreativiti, perkaya kosa kata
Turut erat hubungan keluarga, selain bantu anak kurang tekanan, elak guna peranti digital
Permainan meja galak kreativiti, perkaya kosa kata
Jarang seorang bapa membiarkan anak-anaknya melakukan apa sahaja yang mereka mahu hingga keadaan menjadi huru-hara.
Kemudian bapa itu membiarkan sahaja anak-anaknya menghadapi akibat daripada tindakan mereka itu.
Namun sebagai Dungeon Master atau penglipur lara Dungeons & Dragons, Encik Hassan Hasaa’ree Ali adakala membiarkan kekecohan berlaku agar permainan meja itu kekal mencabar dan menarik bagi anak-anaknya yang berumur tujuh dan 12 tahun.
Permainan meja, atau tabletop games, merujuk kepada permainan yang dimainkan di atas meja menggunakan komponen fizikal seperti papan, kad dan dadu.
“Inilah cara kami mengeratkan hubungan sebagai satu keluarga. Melalui permainan meja, saya dapat membantu anak-anak melepaskan tekanan, dan mengelakkan mereka daripada menggunakan skrin,” kata Encik Hassan, 47 tahun.
“Dalam beberapa sesi Dungeons & Dragons, saya biarkan anak-anak buat apa yang mereka mahu dan tanggung akibatnya. Sebagai contoh, jika anak-anak membuat keputusan untuk memotong pokok, mereka perlu menghadapi akibat diserang haiwan liar yang tinggal dalam pokok itu,” tambahnya.
Pensyarah kejururawatan di politeknik setempat itu memperkenalkan anak-anaknya kepada permainan meja ketika mereka di peringkat tadika lagi.
Beliau bermula dengan permainan meja mudah seperti Snakes and Ladders dan catur sebelum mencuba permainan kad Uno, yang menurutnya baik untuk memperkenalkan nombor kepada si kecil.
Apabila anak-anaknya lebih petah berkomunikasi, beliau memperkenalkan mereka kepada permainan yang membantu mereka meluahkan diri.
“Bagi saya, permainan meja atau apa-apa permainan yang menghendaki pemain membuat keputusan dan bekerja secara berkumpulan dapat memupuk serta mengembangkan kemahiran menghuraikan masalah, komunikasi antara ahli kumpulan, kerja berpasukan dan pemikiran kritis,” kata Encik Hassan.
“Semua ini dapat dibentuk melalui proses mengikuti peraturan, mengurus sumber, berunding dan bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama dalam persekitaran permainan yang tersusun, selamat dan melibatkan interaksi sosial,” tambahnya.
Selain itu, permainan meja yang melibatkan lakonan peranan seperti Dungeons & Dragons mengandungi unsur penceritaan yang menggalak imaginasi dan kreativiti, kata Encik Hassan.
Melalui penceritaan secara kolaboratif, pemain menjadi pengarang bersama di meja permainan, dengan setiap idea dibina berdasarkan idea yang dikemukakan oleh pemain lain.
“Sebagai contoh, dalam permainan Dungeons & Dragons, terdapat pelbagai misi yang perlu diselesaikan. Sepanjang misi tersebut, pemain akan berdepan dengan pelbagai cabaran seperti raksasa, teka-teki dan dilema moral. Situasi ini mendorong mereka menggunakan kreativiti untuk mengatasi cabaran tersebut, sama ada melalui kerja berpasukan, komunikasi atau pemikiran kritis,” katanya.
Penulis karya fiksyen spekulatif itu juga berkata permainan meja boleh membantu kanak-kanak belajar perkataan baru.
“Kanak-kanak juga dapat mempelajari cara baru untuk meluahkan diri mereka dan memperkaya kosa kata mereka,” kata penulis buku ‘Pengembaraan Zac Rushd’, ‘Haron & Holmes: Misteri Pokok Mutan’ dan ‘Kes Konstabel Jamal’ itu.
Bagi ibu bapa yang mahu mula bermain permainan meja dengan anak-anak mereka, Encik Hassan menyarankan permainan asas seperti Snakes and Ladders, atau permainan kad mudah.
Ibu bapa juga boleh mencipta permainan meja mereka sendiri dengan peraturan yang menyeronokkan untuk si kecil.
“Apa yang penting adalah untuk berseronok, dan tidak terlalu dikekang oleh peraturan,” katanya.
Pada 6 September, Encik Hassan akan menjadi Dungeon Master dalam sesi ‘Dungeons and Dragons’ Versi Melayu yang merupakan antara program yang ditawarkan dalam Pesta Buku Melayu Singapura (PBMS) 2026.
Dalam sesi itu, pemain akan mengharungi kembara yang menggabungkan imaginasi dan strategi, menggunakan bahasa Melayu.
Peserta berumur tujuh tahun ke atas boleh menyertai permainan itu walaupun mereka tidak ada pengalaman bermain permainan meja.
“Saya berharap peserta dapat merasai dan menikmati pengalaman penceritaan secara kolaboratif serta lebih yakin menggunakan bahasa Melayu dalam suasana yang santai dan tidak formal, walaupun hanya dengan ayat-ayat yang ringkas atau tidak lengkap,” kata Encik Hassan.
Peserta boleh memilih daripada tiga sesi iaitu 10.30 pagi hingga 11.30 pagi, 2 petang hingga 3 petang atau 4 petang hingga 5 petang.
PBMS 2026 berlangsung di Wisma Geylang Serai dari 3 hingga 6 September dan membawa tema ‘Sastera dan Budaya Berpisah Tiada’.
“
“Bagi saya, permainan meja atau apa-apa permainan yang menghendaki pemain membuat keputusan dan bekerja secara berkumpulan dapat memupuk serta mengembangkan kemahiran menghuraikan masalah, komunikasi antara ahli kumpulan, kerja berpasukan dan pemikiran kritis.”