Jadikan hari keluarga lebih bermakna dengan membawa anak ke acara, Pathways to Success, anjuran Yayasan Mendaki.
Mereka boleh belajar sambil bermain dan meneroka dunia ilmu secara menyeronokkan.
Ibu bapa boleh memperoleh ilmu tentang perkembangan anak, laluan pendidikan seperti Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (FSBB) dan Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA), strategi untuk membina keyakinan serta kemahiran sosial dan emosi anak.
Kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun boleh meluangkan masa dengan kegiatan pembelajaran interaktif, manakala seisi keluarga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga $800.
Tarikh: 15 November
Waktu: 10 pagi hingga 2 petang
Tempat: Sekolah Undang-Undang, Universiti Pengurusan Singapura (SMU)
Masuk percuma namun tempat terhad.
Tiada pendaftaran diperlukan.
Bawa anak menjelajah dunia inovasi di pesta pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik, STEAM Festival 2025: Then & Wow!
Mereka boleh menimba ilmu menerusi kegiatan interaktif, cabaran, dan demonstrasi secara langsung.
Daripada sistem pengawetan makanan, bekalan air, pengangkutan, hingga ke komunikasi, teroka teknologi zaman lama yang membentuk kehidupan moden kini.
Anda sekeluarga juga boleh menyertai pelbagai kegiatan hujung minggu yang menarik dan mengumpul barangan eksklusif daripada pesta itu.
Tarikh: Dari 18 November ke 30 November
Waktu: Setiap hari 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, 3 petang hingga 5 petang
Tempat: KidsSTOP, Pusat Sains Singapura
Tiket berharga $10 hingga $13 untuk dewasa; $20 hingga $23 untuk kanak-kanak.
Untuk pembelian tiket dan maklumat lanjut, layari laman web, https://bh.sg/kidsstop
Pernahkah anak anda terlihat pokok yang terpampang pada wang kertas $5 Singapura?
Bawa mereka ke Kebun Bunga Singapura untuk melihat pokok tembusu ikonik itu, sambil belajar tentang sejarah dan keajaiban alam semula jadi.
Terletak di Lawn E berhampiran Swan Lake, pokok itu mudah dikenali dengan dahan melengkung yang rendah.
Dipercayai berusia sekitar 166 tahun, ia antara 62 pokok warisan di Kebun Bunga Singapura yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada 2015.
Tempat: Kebun Bunga Singapura, 1 Cluny Road berdekatan stesen MRT Botanic Gardens
Masuk percuma.
Pokok dipaparkan di wang kertas $5 dilukis Eng Siak Loy yang juga penerima Anugerah Rekaan Presiden dan mantan Ketua Grafik dan Seni di Lembaga Taman Negara (NParks).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg