Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendidikan Stem, seni bentuk pemikiran kreatif

Penting pelajar kuasai pelbagai bidang untuk kerjaya masa muka
Nov 13, 2025 | 5:30 AM
steam, stem, sains teknokogi, seni, abad-21
Pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (Steam) di sekolah membolehkan pelajar belajar secara kreatif dan mengembangkan kemahiran abad ke-21 seperti penyelesaian masalah. - Foto ST

Bagi pendidik, terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk menggabungkan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dengan Seni (Steam) dalam kurikulum yang lebih luas.

Ini kerana perniagaan dan industri menekankan kepentingan pekerja masa depan yang perlu mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang, atau sekurang-kurangnya memahami bagaimana kemahiran yang berbeza saling berkait.

Guru yang mengajar dalam persekitaran Steam sering melihat pelajar mereka membuat hubungan antara konsep, serta menyelesaikan masalah dengan cara baru dan menarik.

Perbezaan Stem dengan Steam

Pendidikan berasaskan Stem merujuk kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

Pendidikan berasaskan Steam pula sama dengan Stem, tetapi ditambah dengan bidang seni termasuk kemanusiaan, seni bahasa, tarian, drama, muzik, seni visual, reka bentuk, serta media baru.

Bidang Stem menumpukan pada konsep sains secara langsung, manakala bidang Steam menyelidiki konsep yang sama tetapi melalui proses pembelajaran berasaskan penyelidikan dan penyelesaian masalah yang digunakan dalam proses kreatif.

Ini boleh dilihat melalui kumpulan pelajar yang bekerjasama untuk menghasilkan produk atau objek yang menarik secara visual, berasaskan pemahaman konsep Stem, contohnya matematik parabola yang digunakan untuk mencipta imej seni halus.

Steam bukanlah konsep baru.

Tokoh seperti Leonardo Da Vinci telah menunjukkan kepentingan menggabungkan sains dan seni untuk membuat penemuan baru.

Kenapa Steam penting?

Pendidikan Steam di sekolah memberikan peluang kepada pelajar belajar secara kreatif dengan menggunakan kemahiran abad ke-21 seperti penyelesaian masalah.

Kemahiran itu penting untuk membentuk tenaga kerja masa depan yang mampu berfikir secara kreatif dan mencari penyelesaian inovatif terhadap masalah sebenar.

Ia juga membuka jalan kepada kemahiran abad ke-22, iaitu menjalin hubungan, mengambil berat, memupuk masyarakat bersifat terangkum dan mewujudkan budaya pembelajaran positif.

Aplikasi praktikal Steam

Individu yang memberikan inspirasi seperti artis/jurutera, Stephen Mushin; guru matematik Encik Eddie Woo, ahli sains, CikVanessa Pirotta; dan jurutera biologi Cik Melissa Knothe Tate, menunjukkan bahawa pendidikan Steam berfungsi dalam dunia sebenar.

Contoh terbaik ialah artis dan pereka, Leah Heiss.

Beliau bekerjasama dengan pakar nanoteknologi dalam industri bioperubatan untuk menghasilkan barang kemas yang membantu pesakit kencing manis menyuntik insulin dalam tubuh mereka.

Di sekolah dan institusi di seluruh Australia, terdapat banyak peluang pembelajaran secara praktikal.

Ia menggalakkan kerjasama dalam pembelajaran dan penemuan melalui sumber sains dan teknologi.

Idea kreatif itu tidak bergantung pada penggunaan teknologi Steam atau reka bentuk bilik darjah, tetapi ia lebih bergantung pada imaginasi dan rasa ingin tahu guru yang bekerjasama dengan pelajar mereka.

Adalah menarik untuk melihat banyak konsep Steam muncul dalam budaya popular masa kini, memberi inspirasi kepada keyakinan, terutama dalam kalangan wanita muda.

Ambil watak Shuri daripada filem, Black Panther, sebagai contoh.

Shuri merupakan pakar teknologi yang bijak dan kreatif.

Watak beliau membantu kita melangkaui stereotaip berkaitan Steam dan memberi inspirasi kepada generasi baru inovator yang terlibat dalam pelbagai disiplin.

Masa depan Steam

Pendidikan Steam ialah satu gerakan sejagat.

Sebagai contoh, penyelidikan pendidikan STE(A)M di Universiti Cambridge, United Kingdom menempatkan profesor bersama pelajar berusia 12 tahun.

Mereka membuat pengekodan secara langsung untuk menghasilkan muzik yang diubah suai di pameran khas untuk pendidikan Steam.

Penyelidikan dan sumber inovatif seperti ini benar-benar menunjukkan persilangan antara seni, kejuruteraan, matematik, sains dengan teknologi, serta pengaruh mereka antara satu sama lain.

Dengan Steam, kita dapat mencabar pandangan bahawa kemahiran dalam bidang pembelajaran itu berfungsi secara berasingan dan menepis pemikiran “saya pandai matematik dan sains, jadi saya tidak kreatif”.

Ini akan mengubah cara kita melihat masalah berasaskan Stem dan mewujudkan cara berfikir yang baru dan menarik, serta pelbagai dan terangkum.

Lagipun, begitulah cara dunia sebenar berfungsi.

Cik Bronwen Wade-Leeuwen ialah Pengurus Projek (Penyelidikan Kelestarian) di Universiti Macquarie, Australia. Cik Jessica Vovers ialah Calon (Doktor Falsafah) PhD dalam Kejuruteraan Kimia dan Biomolekul di Universiti Melbourne, Australia. Cik Melissa Silk ialah Calon PhD dalam Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan di Universiti Teknologi Sydney, Australia. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, sebuah laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg