Pelakon Syafiq Kyle dan Mimi Lana rancang naik pelamin tahun depan
Pelakon Syafiq Kyle dan Mimi Lana rancang naik pelamin tahun depan
KUALA LUMPUR: Saling mencintai sejak tujuh tahun lalu, banyak pengorbanan terpaksa dilalui aktor, Syafiq Kyle, 30 tahun, dalam usaha menakluk hati gadis pujaannya, Mimi Lana, 27 tahun.
Catatan cinta yang panjang, malah pernah berdepan pertelingkahan dan perpisahan, namun tautan hati pasangan sama cantik, sama padan itu semakin kuat selepas melalui badai yang melanda, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Seperti pasangan bercinta lain, Syafiq dan Mimi pastinya menyemat impian mendirikan mahligai bahagia selepas hubungan diibarat 'roller coaster' yang ada pasang dan surut.
Namun, Syafiq menafikan desas-desus bakal berkahwin dengan Mimi, penghujung tahun ini.
Syafiq atau nama sebenar, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak itu berkata, dia sendiri belum membuat sebarang persiapan untuk majlis perkahwinan seperti dakwaan sesetengah pihak.
"Macam mana nak nikah hujung tahun jika tiada persiapan? Saya belum 'booking' tok kadi untuk majlis akad nikah," katanya sambil ketawa.
Bagaimanapun, kata Syafiq, dia merancang melangkah ke fasa perkahwinan dengan Mimi, tahun depan.
"Jika ikutkan, saya sudah bersedia berumahtangga pada usia mencecah 30, tahun ini.
"Mungkin tiada majlis pertunangan kerana saya mahu terus bernikah dan buat perkara wajib seperti dituntut agama," katanya.
Mengulas tarikh majlis pernikahan, kata Syafiq, dia dan keluarga belum memutuskan tarikh yang bersesuaian.
"Kami belum tetap tarikh disebabkan perlu menyelesaikan komitmen kerjaya seni terlebih dahulu.
"Insya-Allah, saya tidak akan berahsia apabila sudah dapat tarikh tetap nanti," katanya yang sibuk mempromosikan filem terbaru, Siku 12: Langkah Derhaka.
Mengulas filem Siku 12 terbitan Power Team Entertainment Sdn Bhd, Syafiq berkata, dia mahu mencabar diri berlakon dalam filem bergenre aksi.
Menerusi filem arahan Azhari Zain itu, Syafiq bergandingan dengan aktor terkenal, Zahiril Adzim selaku teraju utama.
Ia dimantapkan dengan barisan pelakon seperti Moon, Lobak, Tuan Asmawi Tuan Umar, Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.
Pelakon yang mengukir nama menerusi drama, Mencintaimu Mr Photographer dan Nur itu berkata, dia sudah membuat persiapan awal dengan berlatih di gimnasium sebelum memasuki lokasi penggambaran filem Siku 12.
"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya menghabiskan masa bersenam dan berlatih di gimnasium.
"Justeru, saya tiada masalah dari aspek stamina dan kecergasan untuk melakonkan babak pertarungan sebagai peninju dalam filem ini," katanya.
Berkongsi cabaran, kata Syafiq, dia bersyukur memiliki asas dalam seni mempertahankan diri Muay Thai yang diminati.
"Selain ada asas dalam seni Muay Thai, saya berlatih dengan guru seni silat dari Pulau Pinang sebelum memulakan penggambaran.
"Sudah namanya filem aksi, saya mengalami lebam di kaki dan tangan serta benjol di kepala kerana terhantuk ketika menjayakan babak pertarungan," katanya.
Mengenai gandingan dengan Zahiril, kata Syafiq, ia kali pertama bekerjasama dengan pelakon senior itu.
"Zahiril ada asas dalam seni silat dan saya juga tiada masalah mendapatkan keserasian dengannya.
"Dia bukan sahaja pelakon berpengalaman, tetapi memiliki sisi kelakar ketika di lokasi," katanya.
Antara cabaran lain, kata Syafiq, dia perlu menguasai dialek Kedah menjiwai watak Atid dalam filem itu.
"Nasib baik penerbit, Mohamad Pozi Mansor dan barisan kru filem Siku 12 banyak membantu memperbetulkan dialek Kedah.
"Pada masa sama, saya selesa bekerjasama dengan Azhari selaku pengarah kerana memberi kebebasan kepada pelakon untuk menjiwai karakter.
"Azhari tidak garang, tetapi suaranya sangat kuat ketika memberi arahan demi memastikan pelakon dapat menjiwai watak mengikut tuntutan skrip," katanya.
Filem Siku 12 akan mula ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Oktober ini. Ia juga ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.

