Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Panduan buat anak ghairah ke sekolah, tetapkan rutin tidur

Jun 5, 2025 | 5:30 AM
Antara cara membuat si kecil ghairah ke prasekolah adalah dengan menetapkan rutin seperti masa tertentu untuk bangun, makan, tidur, bermain dan membaca.
Antara cara membuat si kecil ghairah ke prasekolah adalah dengan menetapkan rutin seperti masa tertentu untuk bangun, makan, tidur, bermain dan membaca. - Foto fail

Panduan buat anak ghairah ke prasekolah

Perbualan tentang prasekolah
Ibu bapa boleh bercakap tentang perkara yang anak mereka akan lakukan di sekolah, membaca buku tentang prasekolah serta menunjukkan video atau gambar kanak-kanak yang bergembira dan berseronok di prasekolah.

Bersikap positif tentang prasekolah
Ibu bapa boleh bercakap tentang perkara positif dan menyeronokkan tentang guru dan rakan-rakan, serta tentang keseronokan mempelajari perkara baru dan bermain permainan.

Dengan berbuat demikian, ibu bapa boleh membantu anak membangunkan perasaan positif tentang prasekolah dan ini sudah tentu akan membuat mereka bersemangat ke sekolah.

Tetapkan rutin
Tetapkan rutin dan tekal dalam melaksanakannya.

Tetapkan masa tertentu untuk anak bangun, makan, tidur, bermain dan membaca bagi membantu mereka memahami aturan itu dan berasa lebih selesa apabila perlu mengikuti rutin di sekolah.

Kunjungi prasekolah
Sebelum sekolah bermula, bawa anak mengunjungi prasekolah. Ibu bapa boleh meneroka bilik darjah, berjumpa dengan guru dan mendapatkan pengalaman langsung tentang keadaan di sekolah.

Dengan berbuat demikian, anak akan dapat membiasakan diri dengan persekitaran prasekolah dan ini akan membantu mereka apabila tiba hari pertama nanti.

Bermain olok-olok
Bermain olok-olok tentang prasekolah adalah cara terbaik untuk mempersiapkan anak ke sekolah.

Ibu bapa boleh melakonkan peranan guru, murid dan kegiatan yang mungkin dijalankan di sekolah dengan anak, serta membantu anak bersiap secara olok-olok ke sekolah dengan memakai kasut dan membawa beg sekolah serta botol air.

Beri galakan dan sokongan
Kanak-kanak suka apabila ibu bapa membuat mereka berasa seperti mereka sudah ‘besar’.

Ibu bapa boleh memberitahu mereka: “Kamu sudah besar sekarang. Kamu akan pergi ke prasekolah tidak lama lagi”, dan percaya mereka akan dapat menyesuaikan diri dan mempunyai kawan baru.

Mengapakah rutin penting?

Rutin menyokong kesejahteraan emosi sosial si kecil.

Kanak-kanak yang mempunyai rutin tetap di rumah mempunyai kemahiran pengaturan diri, iaitu keupayaan mengawal tingkah laku, pemikiran dan emosi.

Rutin bukan struktur tetapi mempunyai ciri yang menyokong perkembangan iaitu boleh dijangka dan boleh dicapai.

Ia memberi rasa identiti keluarga dan rasa hubungan kekeluargaan.

Apabila kanak-kanak menjadi sebahagian daripada kegiatan dan rutin biasa, mereka membangunkan hubungan dengan orang yang berinteraksi dengan mereka dan memperoleh rasa kepunyaan dan keyakinan diri.

Sedang kanak-kanak membesar, mereka boleh mengikuti rutin, menunjukkan keupayaan berdikari dan menyesuaikan diri kepada perubahan dengan lebih mudah.

Rutin harian mungkin termasuk:
– Bangun dan bersiap pada waktu pagi
– Waktu mandi, waktu makan, waktu tidur siang dan waktu tidur malam
– Jadual kerja rumah, memasak dan membersih
– Masa bermain, masa keluarga dan masa bermain di luar

Manfaat waktu tidur tetap

– Mutu tidur dipertingkat: Kanak-kanak yang mengikut jadual tidur yang tekal biasanya lebih mudah tertidur dan dapat tidur dengan lebih nyenyak.

– Tingkah laku dan ‘mood’ lebih baik: Tidur yang mencukupi adalah penting untuk pengawalan emosi dan fungsi kognitif.

Kanak-kanak yang telah berehat dengan baik sering lebih fokus dan kurang menunjukkan isu tingkah laku.

– Kesihatan fizikal dipertingkat: Tidur yang mencukupi menyokong pertumbuhan dan perkembangan sihat, meningkatkan sistem imun dan menggalakkan kesejahteraan fizikal secara keseluruhan.

– Tingkat prestasi akademik: Tidur memainkan peranan penting dalam proses kognitif seperti yang berkaitan ingatan, penghuraian masalah dan tempoh memberi tumpuan, yang semuanya menyumbang kepada kejayaan akademik.

Panduan waktu tidur

– Tetapkan waktu tidur yang tekal: Tetapkan waktu tidur biasa yang sejajar dengan umur dan keperluan tidur anak.

Sasarkan untuk anak masuk tidur pada waktu sama setiap malam, walaupun pada hujung minggu.

– Sediakan persekitaran tenang: Galakkan suasana santai yang sesuai untuk tidur supaya dapat membantu anak bertenang dan berehat.

– Bangunkan rutin boleh dijangka: Tetapkan urutan kegiatan sebelum tidur, seperti mandi, gosok gigi, membaca buku cerita dan mengucapkan selamat malam.

– Had masa skrin: Tetapkan tempoh tanpa skrin sekurang-kurangnya satu jam sebelum waktu tidur.

– Galak sikap berdikari: Libatkan anak dalam rutin dengan membenarkan mereka melakukan tugas yang sesuai mengikut peringkat umur, seperti memilih baju tidur mereka atau memilih buku cerita sebelum tidur.

Ini akan memupuk rasa pemilikan dan berdikari.

– Kekalkan persekitaran tidur tetap: Pastikan persekitaran tidur anak tekal, dengan objek, bunyi dan bau yang biasa, untuk membantu mereka mengaitkan ruang itu dengan kegiatan tidur dan berehat.

– Tunjuk contoh: Anak sering mencerminkan tingkah laku ibu bapa mereka, justeru ibu bapa sendiri perlu menunjukkan pentingnya rutin waktu tidur yang tekal bagi diri mereka.

Penulis pakar latihan dan perunding awal kanak-kanak di KidSTART Singapore dengan pengalaman 40 tahun di Singapura, Malaysia, Indonesia dan rantau ini. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda dalam Pembangunan Kanak-kanak dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak serta ijazah Sarjana Pendidikan dalam Pendidikan Khas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg