Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Meski popular, Krisdayanti, Hetty tetap rendah hati

Krisdayanti kini ceburi politik; Hetty jalani latihan vokal untuk konsert
Jun 25, 2022 | 5:30 AM
KRISDAYANTI: Akur masih hijau dalam bidang politik tetapi berusaha memenuhi keperluan masyarakat di Malang Raya, Jawa Timur. - Foto INSTAGRAM KRISDAYANTI
KRISDAYANTI: Akur masih hijau dalam bidang politik tetapi berusaha memenuhi keperluan masyarakat di Malang Raya, Jawa Timur. - Foto INSTAGRAM KRISDAYANTI -

JAKARTA: Bak peribahasa - 'ikut resmi padi; semakin berisi, semakin tunduk'.

Begitulah keadaan dua bintang tersohor Indonesia, Krisdayanti dan Hetty Koes Endang, yang banyak mengajar warganet erti kerendahan hati dalam urusan harian.

Krisdayanti, 47 tahun, yang terkenal dengan lagu Menghitung Hari, memohon maaf kepada seluruh masyarakat Indonesia, khususnya di beberapa daerah, atas usahanya sebagai wakil rakyat yang disifatkan masih hijau.

Begitu pun, menerusi akaun Instagramnya, beliau berkata akan selalu berusaha sebaik mungkin, lapor laman Utusan Online.

"Maafkan saya kerana masih jauh dari kata sempurna. Semua yang saya lakukan dan berikan untuk masyarakat tidak akan terlaksana dan menjadi seperti saat ini tanpa sokongan penuh daripada seluruh masyarakat yang telah mempercayakan amanahnya di bahu saya.

"Untuk itu pula, saya ucapkan terima kasih banyak pada seluruh masyarakat Malang Raya yang selalu ada di samping saya mendampingi dan mengawal semua bentuk perjuangan.

"Mohon doa untuk kelancaran dalam menyelesaikan sisa tugas saya untuk beberapa tahun lagi. Semoga perjuangan ini selalu dalam keberkatan dan rahmat Allah swt," ujarnya.

Krisdayanti juga mengingatkan agar warga di sana tetap patuh pada prosedur operasi standard (SOP) kerana keadaan Covid-19 masih belum berakhir.

"Tetap menjaga jarak dan patuhi protokol kesihatan, kerana pandemik belum usai (selesai), belum waktunya bersantai," katanya.

Penyanyi yang sudah bergelar nenek kepada seorang cucu perempuan itu berkata demikian ketika menghadiri satu mesyuarat di Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia, baru-baru ini.

Krisdayanti dilantik sebagai wakil rakyat daerah Malang Raya, Jawa Timur pada 2019 dan sehingga hari ini masih bertugas di pusat Dewan Perwakilan Rakyat.

HETTY TIDAK SEGAN BELAJAR PERTAJAM VOKAL

Dalam pada itu, menerusi satu laporan berasingan di Utusan Online, penghibur legenda Hetty Koes Endang berasa dirinya masih perlu terus melatih vokal dan mempelajari asas nyanyian.

Pada usia 64 tahun itu, beliau berkata seorang penyanyi, tidak kira berpengalaman atau tidak, perlu terus belajar teknik nyanyian yang betul.

Katanya, amalan itu yang membuat dirinya masih mampu menjaga mutu suara sehingga ke hari ini.

"Tak perlu malu. Ada tenaga pengajar yang melatih. Siapa? Biarlah menjadi rahsia.

"Saya tidak suka dengan artis yang sombong, berasakan diri mereka sentiasa hebat.

"Saat ini, saya perlu (belajar vokal)," katanya.

Hetty berkata demikian dalam satu sidang media Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang di Hotel Berjaya Time Square, baru-baru ini.

Hetty bakal bergabung dengan pengarah muzik tersohor, Datuk Ramli MS, dalam konsert yang akan diadakan pada 27 Ogos kelak.

Kata Hetty, Malaysia merupakan rumah kedua yang dekat di hatinya. Justeru, beliau berbesar hati meraikan penglibatan 50 tahunnya dalam industri seni suara di negara itu.

"Saya sering berada di sini, lebih-lebih lagi ketika diundang menjadi juri untuk Gegar Vaganza 8.

"Saya pernah berada lama di Malaysia sekitar 1991, tiga tahun di Kuala lumpur, dua tahun di Johor Bahru.

"Saya rindukan suasana, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan, makanan-makanan di sini serta durian Musang King.

"Tetapi saya belum puas mendekati peminat di sini. Suami kata, kenapa saya tak buat konsert? Alhamdulillah, ternyata peminat di Malaysia juga memberi sokongan," jelasnya.

Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang yang dianjurkan Mahakarya Empire Sdn Bhd akan berlangsung di Manhattan Ballroom, Hotel Berjaya Time Square Kuala Lumpur. Tiket boleh didapatkan menerusi laman web Ilassotickets.com.

"...Saya ucapkan terima kasih banyak pada seluruh masyarakat Malang Raya yang selalu ada di samping saya mendampingi dan mengawal semua bentuk perjuangan. Mohon doa untuk kelancaran dalam menyelesaikan sisa tugas saya untuk beberapa tahun lagi. Semoga perjuangan ini selalu dalam keberkatan dan rahmat Allah swt." - Krisdayanti.

"Saya pernah berada lama di Malaysia, sekitar tahun 1991, tiga tahun di Kuala lumpur, dua tahun di Johor Bahru. Saya rindukan suasana, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan, makanan-makanan di sini serta durian Musang King. Tetapi saya belum puas mendekati peminat di sini. Suami kata, kenapa saya tak buat konsert? Alhamdulillah, ternyata peminat di Malaysia juga memberi sokongan." - Hetty Koes Endang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg