Menteri: Firma teknologi perlu patuh undang-undang M’sia
Menteri: Firma teknologi perlu patuh undang-undang M’sia
Syarikat teknologi mesti mematuhi undang-undang tempatan untuk terus beroperasi di Malaysia, kata Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil, pada 27 Ogos.
Ini selepas kumpulan industri menggesa kerajaan Malaysia menghentikan pelan mewajibkan wadah media sosial memohon lesen kawal selia.
Gabungan Internet Asia (AIC) – yang ahlinya termasuk Google, Meta dan X – telah membuat gesaan sedemikian dalam surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memetik kekurangan kejelasan mengenai peraturan yang dicadangkan.
Encik Fahmi berkata kerajaan bersedia membincangkan cadangan peraturan itu dengan AIC dan kumpulan industri lain tetapi tidak bercadang menangguhkan pelaksanaan peraturan yang bertujuan menangani peningkatan jenayah siber.
Di bawah pelan itu, wadah media sosial dan perkhidmatan mesej dengan lebih lapan juta pengguna akan diperlukan mendapatkan lesen dan boleh menghadapi tindakan undang-undang jika gagal berbuat demikian pada 1 Januari 2025.
“Syarikat teknologi besar memang besar tetapi undang-undang kita lebih besar.
“Jika mereka mahu beroperasi di Malaysia, mereka mesti menghormati dan mematuhi undang-undang kita,” kata Encik Fahmi kepada pemberita, sambil menambah perbincangan awal dengan wakil firma media sosial mengenai rancangan itu adalah positif.
Surat AIC, yang asalnya bertarikh 23 Ogos, telah diturunkan daripada laman webnya lewat 26 Ogos.
Firma Grab, yang juga anggota kumpulan, berkata secara berasingan pada hari yang sama bahawa ia tidak dirujuk sebelum surat itu disiarkan.
Versi baru surat itu, bertarikh 26 Ogos, kemudian disiarkan ke laman web AIC dengan beberapa ayat dialih keluar, termasuk merujuk kepada rancangan kerajaan yang “tidak boleh dilaksanakan” untuk industri.
Surat itu juga mengeluarkan senarai syarikat ahli AIC, yang masih tersedia di laman web kumpulan itu.
Dalam satu kenyataan pada 27 Ogos, pengawal selia komunikasi Malaysia berkata ia akan menjalankan pendekatan awam dan sedang mendapatkan maklum balas mengenai peraturan itu daripada pihak industri dan orang ramai. – Reuters.

