Topik diikuti
Pergi ke BHkuKumpulan penunggang skuter wanita S’pura tidak gentar kembara lasak
Kumpulan penunggang skuter wanita S’pura tidak gentar kembara lasak
Belting Babes satukan kaum Hawa daripada pelbagai latar belakang, teroka sejauh Terengganu
Kumpulan penunggang skuter wanita S’pura tidak gentar kembara lasak
Siapa kata skuter itu hanya sekadar ‘motor pak cik-pak cik’ yang ketinggalan zaman?
Tanggapan itu mungkin sudah lapuk kerana kini skuter kembali menjadi trend, sekurang-kurangnya menurut sekumpulan 13 wanita dari Singapura.
Biarpun tanpa pedal cekam dan gear manual motosikal biasa, jentera skuter mereka terbukti hebat, melalui 550 kilometer pengembaraan lasak selama 12 jam hingga ke Terengganu, Malaysia.
Kumpulan itu menamakan diri, Belting Babes, merujuk sistem tali sawat (belt) mekanikal yang menggantikan rantai lazim motosikal, simbol unik skuter mereka.
Dihubungi Berita Minggu (BM), salah seorang anggota kumpulan, Cik Farhana Nassir, 31 tahun, berkata:
“Skuter mudah dibawa, memandangkan Singapura mempunyai banyak lampu isyarat. Anda hanya perlu ‘perah’ (pulas pendikit), tanpa perlu bersusah payah kerap menukar gear. Lagipun, ruang simpanan dalam skuter jauh lebih besar!”
Ditubuhkan pada Ogos 2025, kumpulan itu mempunyai matlamat menyatukan wanita daripada pelbagai latar belakang melalui satu minat yang sama.
Anggota kumpulan yang berusia antara 22 dengan 38 tahun, terdiri daripada wanita solo, yang sudah berumah tangga, dan kaum ibu.
“Kami hanya mahu tubuhkan satu masyarakat kecil di mana wanita boleh berkumpul, kongsi hobi yang sama, kongsi pengetahuan tentang skuter dan menjalinkan ukhuwah.
“Ada antara kami yang tidak membesar dengan adik-beradik perempuan, ada yang sering bergaul dengan lelaki sebelum ini, justeru kumpulan ini dapat wujudkan sekitaran selamat dan selesa,” kata Cik Farhana, seorang guru prasekolah.
Sehingga kini, mereka telah mencatat lebih 10 kembara berkumpulan ke pelbagai pelosok Malaysia, termasuk Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang, dan Terengganu.
Bagaimanapun, faktor keselamatan tetap menjadi keutamaan kumpulan itu.
Menurut mereka, persiapan rapi sebelum memulakan perjalanan adalah wajib.
Kenderaan mestilah berada dalam keadaan terbaik dan telah menjalani penyelenggaraan (servis).
Mereka turut dilengkapi peralatan kecemasan seperti lampu amaran, ‘cacing’ tayar (untuk kebocoran), pam tayar mudah alih, serta alat jump-start mudah alih.
Dalam pada itu, mereka memuat turun aplikasi Life360, wadah sistem kedudukan sejagat (GPS) yang menjejaki lokasi supaya anggota keluarga mereka mahupun rakan sekumpulan tahu keberadaan mereka sepanjang masa.
Ketika menunggang dalam konvoi, mereka sangat berdisiplin menentukan kedudukan depan dan belakang bagi memastikan tiada anggota yang tertinggal, selain melengkapkan diri dengan pengetahuan asas membaiki kerosakan ringan pada skuter.
Selain itu, bagi memudahkan identiti mereka dikenal pasti, mereka mengenakan kemeja-T seragam kumpulan serta memasang pengadang angin berwarna merah jambu yang tertera nama Belting Babes pada skuter masing-masing.
Mereka mengakui ada kalanya, kumpulan mereka menarik perhatian sehingga mengundang pertanyaan mengenai dari mana mereka datang.
Tidak kurang juga yang melahirkan kekaguman apabila mengetahui kumpulan wanita itu sanggup menunggang jauh dari Singapura.
“Ada yang memberi reaksi ‘Power!’,” kata Cik Elysha Taslin, 26 tahun, salah seorang anggota Belting Babes.
Pada Jun, kumpulan itu merancang untuk menunggang ke Kluang, Johor, sebelum meneruskan misi ke Selangor dan Kuala Lumpur pada Ogos nanti.
Selalunya, kegiatan mereka tertumpu pada kegiatan santai seperti mencari tempat makan menarik, selain menghadiri acara permotoran untuk melihat pertandingan atau mendapatkan aksesori motosikal terkini.
Impian besar mereka adalah menunggang skuter hingga ke Laos dan China suatu hari nanti.
Namun, buat masa ini, mereka tekun membina kekuatan mental dan fizikal melalui langkah kecil.
Kumpulan itu mengalu-alukan anggota baharu tanpa kriteria khusus – syaratnya cuma satu, anda seorang penunggang skuter.
Wanita yang berminat untuk menyertai masyarakat itu boleh menghantar pesanan ke Instagram ‘beltingbabes’.
Apabila ditanya mengapa skuter menjadi pilihan berbanding pesawat untuk melancong atau kereta, Cik Elysha, seorang suri rumah, menjelaskan:
“Di atas motor, kami rasai ledakan adrenalina. Dalam kereta, kami terperangkap dalam ‘kotak’ yang menghalang tiupan angin.
“Tetapi dengan skuter, getaran tayar, angin yang membelai wajah, dan kelajuan itu sendiri – semuanya amat mendebarkan. Malah, terkadang kami terdorong untuk berlumba.
“Paling utama, kami dapat meneroka setiap pelosok yang mustahil ditemui jika hanya menaiki kapal terbang.”
