Topik diikuti
Pergi ke BHkuJoo Chiat berubah wajah dengan kehadiran pelbagai kedai moden, estetik
Joo Chiat berubah wajah dengan kehadiran pelbagai kedai moden, estetik
Joo Chiat berubah wajah dengan kehadiran pelbagai kedai moden, estetik
Tirai bambu, hiasan lampu fabrik dan susun atur dinding galeri penuh estetik, sememangnya menjadikan premis baharu jenama tempatan, In Good Company, di Joo Chiat, cukup menarik.
Jenama fesyen itu – yang meraikan ulang tahun ke-10 kedai pertamanya di Ion Orchard dengan mengadakan pertunjukan fesyen di Galeri Kebangsaan Singapura pada 2025 – mula beroperasi di sebuah rumah kedai tiga tingkat di kawasan berkenaan pada awal Julai.
Selain menjual koleksi pakaian dan produk gaya hidup, premis ini turut dilengkapi halaman dalam atau courtyard beratap pelindung sinar ultraungu (UV), sebuah kafe yang menyajikan teh dan manisan wagashi Jepun, serta ruang loteng bagi acara kreatif.
Dengan keluasan 3,000 kaki persegi (sqft), ia secara tidak langsung menjadi cawangan utama fesyen baharu di kawasan East Coast sekali gus merancakkan kawasan Joo Chiat sebagai destinasi beli-belah.
Perkembangan ini menyusul beberapa tahun selepas kawasan yang sinonim dengan warisan Peranakan itu berubah wajah menjadi tumpuan kafe dan tempat makan ‘trendy’.
Daya tarikan dan keunikan kawasan itu turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Syarikat media British, Time Out, menamakan Joo Chiat Road sebagai antara jalan paling menarik di dunia pada November 2025, manakala pemerintah Singapura kini giat mempromosikannya sebagai salah satu destinasi pelancongan.
In Good Company merupakan pemain industri pakaian terbaharu dan terbesar yang bertapak di kawasan warisan berkenaan, namun kehadirannya didahului oleh fenomena pascapandemik yang menyaksikan kemasukan bertali-arus jenama-jenama kegemaran generasi milenial berkemampuan.
Peruncit kelengkapan tempat tidur organik dan baju tidur, Sojao, dibuka pada 2021; jenama pakaian, Rye, membuka cawangannya pada 2023; manakala kedai perabot pereka, Grafunkt, pada 2024.
Pengasas bersama merangkap pengarah urusan In Good Company, Cik Jaclyn Teo, berkata:
“Ia sangat memberangsangkan apabila terdapat banyak jenama tempatan lain di sini. Ini memberi sebab kepada penduduk tempatan mahupun pelancong untuk mengunjungi jalan ini.
“Pengunjung datang ke sini untuk menikmati warisan dan sejarahnya, tetapi dengan kehadiran jenama tempatan bebas yang baharu ini, ia menjadi sebuah lokasi yang cukup menarik untuk dilawati.”
Premis-premis baharu ini lazimnya berkonsepkan kedai moden yang menawarkan pelbagai jenama, dan kesemuanya tertarik dengan keunikan serta ciri tersendiri kawasan berkenaan.
Kawasan tersebut turut menjadi pilihan kedai barangan rumah, the monocot shop, yang menjual pelbagai barangan daripada peralatan dapur Jepun hingga patung rakyat dan botol garam Hello Kitty.
Menurut pemilik kedai berkenaan, Encik Mikael Teh, kawasan itu unik kerana menampilkan kepelbagaian dalam masyarakat.
“Segala-galanya seolah-olah bercampur menjadi satu, yang membentuk satu masyarakat yang amat harmoni. Lihat sahaja Bukit Timah, semuanya golongan berada.
“Di sini pula terdapat kepelbagaian dan kami saling berinteraksi. Jiran saya seorang jurusolek warga Vietnam yang sering memasak makanannya di luar,” katanya.
Seorang jurucakap dari jenama Rye menambah: “Terdapat identiti setempat yang sangat kuat di sini: sisa peninggalan sejarah pesisir pantainya, perniagaan warisan keluarga turun-temurun, perniagaan lama serta ruang kreatif baharu, semuanya wujud bersama di kawasan ini.”
Gabungan kepelbagaian ini mustahil dapat dilihat di pusat beli-belah di mana pihak pengurusan menentukan barisan penyewa mereka.
Waktu operasi pusat beli-belah yang ketat serta persekitaran yang terlalu berorientasikan perniagaan juga kurang digemari mereka yang lebih menyukai suasana perniagaan yang santai.
Di Joo Chiat, kedai-kedai jarang dibuka sebelum 11 pagi dan kebiasaannya ditutup selepas 7 malam.
Persekitaran perniagaan bebas yang diuruskan sendiri oleh pemiliknya jelas berbeza berbanding rantaian jenama besar di pusat beli-belah, yang kebiasaannya sangat berstruktur dan kurang menyemai semangat kejiranan
Di Joo Chiat, para peniaga kerap menyapa jiran mereka serta saling mempromosikan perniagaan satu sama lain kepada pelanggan – mewujudkan suasana ‘kampung’ yang tulen, kata Cik Teo.
CABARAN DUNIA PERNIAGAAN
Walaupun keunikan Joo Chiat menjadi satu aspek yang menarik minat peniaga, para pemilik perniagaan mengakui terdapat cabaran tersendiri apabila memilih untuk tidak membuka cawangan mereka di pusat beli-belah.
Perniagaan lazimnya agak sunyi pada hari bekerja, manakala kemudahan laluan berbumbung yang terhad menyebabkan pelanggan semakin berkurang sewaktu hari hujan, ini meskipun bilangan pengunjung pada hujung minggu setanding dengan pusat beli-belah.
“Terdapat kadar pertukaran perniagaan yang agak ketara, dengan premis baharu kerap muncul, berpindah atau ditutup. Ia bukanlah satu kawasan yang mudah untuk menjalankan perniagaan, terutamanya bagi jenama bebas,” kata jurucakap Rye.
Pemilik kedai beg galas, The Bag Creature, Encik Matthew Lu, turut menambah: “Tanpa pemasaran atau kehadiran di media sosial yang kukuh, ia akan menjadi lebih sukar.”
Selain itu, para pemilik turut berdepan dengan cabaran kenaikan sewa.
Namun, kadar yang meningkat itu masih lagi rendah berbanding ruang utama di pusat beli-belah, selain tidak mengambil kira kelonggaran yang dinikmati penyewa apabila berunding dengan pemilik premis yang kebanyakannya merupakan pihak privet – bukannya syarikat korporat atau institusi, kata sebahagian peniaga.