Jin, sultan, meteor dan Perak Man...
Dari Cameron Highlands, kami ke tempat yang kami belum pernah dengar sebelum ini – Lenggong, atau Lembah Lenggong, di Hulu Perak. Tetapi Lenggong sebenarnya termasyhur dalam kalangan ahli arkeologi. Ia tempat tinggal manusia paling awal yang diketahui di Semenanjung Malaysia dan sebuah Tapak Warisan Dunia Unesco.
Kami menyertai program tiga hari dua malam Rumah Tiang 16, tetapi dek rumah inap itu sudah penuh, pemiliknya, Abdul Nasir Jalaludin, atau Nash, menempatkan kami di Suka-Suka Lake Retreat. Anak tempatan Lenggong itu mencadangkan kami makan tengah hari di Warong Nasi Talam Mak Tam di Kampung Pangkalan. Untuk rasa masakan kampung, katanya. Tetapi set nasi talam Mak Tam – nasi putih disaji dengan ikan masak lemak cili api, ikan loma goreng, kerabu dan ulam-ulaman serta sambal belacan – sangat lazat. Ikannya fresh dari Tasek Raban di situ.

