Topik diikuti
Pergi ke BHkuYuna cipta sejarah raih 1 bilion strim di Spotify
Yuna cipta sejarah raih 1 bilion strim di Spotify
Yuna cipta sejarah raih 1 bilion strim di Spotify
AMPANG: Penyanyi terkenal, Yuna, melakar sejarah tersendiri apabila menjadi artis Malaysia pertama melepasi 1 bilion penstriman di platform Spotify.
Yuna, atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 40 tahun, mengakui pencapaian itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya kerana selama ini beliau berkarya demi kepuasan diri dan minat terhadap seni muzik.
“Sebaik bermula dalam bidang ini, saya tak pernah terfikir akan menjadi penyanyi dengan jumlah penstriman sebanyak 1 bilion.
“Walaupun mungkin saya dikatakan antara artis besar, tetapi sasaran sebegitu seolah-olah tidak nyata buat saya.
“Tapi selagi orang masih mendengar lagu saya dan terus melakukan penstriman, sudah tentu saya sangat bersyukur dan gembira,” katanya ketika ditemui pada sidang media lagu Ajar Aku nyanyian Aizat Amdan dan kumpulan SOG di The Campus, di sini pada 14 Mei.
Penyanyi yang turut mencipta nama di Amerika Syarikat itu berkata beliau hanya mengetahui mengenai pencapaian berkenaan selepas dimaklumkan peminat.
“Sebenarnya saya tak sedar mengenai berita itu. Bila peminat mula berkongsi dan mengucapkan tahniah, saya memang terkejut.
“Meskipun ia bukan sasaran kerana saya menghasilkan muzik atas dasar minat, tetapi pencapaian ini satu bonus besar dalam kerjaya saya.
“Ia juga hadiah buat peminat terutama dari Malaysia,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Mengulas lanjut, Yuna menyifatkan kejayaan itu sebagai permulaan baru dalam perjalanan seninya selain menjadi pemangkin untuk terus berkarya.
“Alhamdulillah, boleh dikatakan satu impian tercapai. Mungkin selepas mencapai 1 bilion strim ini, ia menjadi permulaan baru buat saya.
“Apabila melihat angka 1 bilion itu, saya rasa ia sesuatu yang sangat baik. Namun, dalam masa sama saya terus fikir apa lagi selepas ini,” katanya.
Pada masa sama, Yuna menjelaskan beliau tidak pernah menghasilkan muzik semata-mata untuk mengejar populariti atau jumlah penstriman tinggi.
“Saya hasilkan muzik lebih kepada untuk berseronok bersama kawan-kawan, untuk diri sendiri dan kerana minat terhadap muzik.
“Jadi pencapaian ini saya anggap sebagai bonus yang cukup bermakna dalam perjalanan kerjaya saya. Pada masa sama, ia juga satu kebanggaan buat rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, berdasarkan tinjauan di Spotify, Yuna dilaporkan mempunyai lebih 3.7 juta pendengar bulanan serta lebih 476,000 pengikut di platform berkenaan.
Antara negara yang mencatat jumlah pendengar tertinggi karya Yuna ialah Amerika, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Australia.
