Penyanyi dan usahawan asal Singapura, Sufi Rashid, tampil menjawab dakwaan seorang wanita yang mendakwa pernah menjadi pengasuh semasa melancong atau travel nanny kepada anaknya ketika percutian ke luar negara baru-baru ini.
Menerusi hantaran di wadah Threads, Sufi atau nama sebenarnya Muhammad Sufi Rashid, 34 tahun, menegaskan kenyataan wanita itu tidak benar dan memberikan gambaran yang cukup jelas sehingga orang ramai dapat meneka dirinya serta isteri.
Menurut Sufi, walaupun wanita tersebut tidak menyebut nama sesiapa, namun butiran yang diberikan sudah mencukupi untuk mengaitkan mereka.
“Hantaran saya pada September (2025) hanya general feedback (maklum balas Umum), tanpa sebut nama atau apa-apa detail (perincian). Kalau dia tak puas hati, dia boleh reach out (menghubungi) masa itu.
“Tapi hantaran dia baru-baru ni jelas sangat menggambarkan saya dan isteri sampai orang boleh teka. Walaupun tanpa nama, bagi cukup maklumat sampai orang benci, itu tetap defamation (mengaibkan),” katanya.
Dalam pada itu, Sufi juga akui mempunyai pengalaman buruk sebelum ini, namun enggan berkongsi kerana tidak mahu memalukan sesiapa, lapor portal Malaysia, Astro Gempak.
Sufi juga memaklumkan pihak peguamnya telah menghubungi wanita berkenaan untuk menyelesaikan isu tersebut.
Isu yang melibatkan Sufi dan isterinya, Nurulain Md Yusof, menjadi topik perbualan hangat di media sosial.
Kini, turut muncul satu akaun seseorang yang tampil berkongsi pengalamannya menjadi pengasuh bayi kepada anak pasangan tersebut.
Menerusi perkongsian itu, individu tersebut berkata dia hanya membantu Nurulain dalam menguruskan anaknya.
Bagaimanapun perkongsian itu mendapat kritikan netizen yang rata-ratanya merasakan individu tersebut dibayar untuk mempertahankan Sufi dan Nurulain.
“Ada yang tuduh saya dibayar... sikit pun saya tak dapat apa. Cuma mungkin dengan pertolongan kecil saya ni kira sebagai pertolongan untuk mengurangkan fitnah-fitnah yang semakin membesar.
“Kita semua ada kekurangan, semoga dengan ujian yang menimpa, Allah swt membersihkan segala dosa-dosa kita,” kongsi individu itu di akaun media sosialnya.
Namun individu pertama yang berkongsi kisahnya di Threads, tampil kembali untuk menafikan dakwaan isu antara dirinya dan Sufi sudah diselesaikan secara baik.
Wanita itu menjelaskan beliau langsung tidak pernah bertemu secara bersemuka dengan Sufi atau isterinya bagi menyelesaikan apa-apa perkara.
“Isu ini berakhir di sini. Media lapor saya dan pempengaruh itu sudah selesaikan isu ini secara baik.
“Tapi sebenarnya kami tak pernah bersemuka untuk selesaikan apa-apa sebab saya tak jawab sebarang permintaan untuk closure (menamatkan isu) daripada pihak mereka,” katanya.
Wanita itu turut mengakui tidak mempunyai sebarang harapan untuk menerima permohonan maaf kerana percaya ia tidak akan berlaku walau apa pun situasinya.
Terdahulu, Sufi memuat naik permohonan maaf terbuka di media sosial, mengakui dirinya dan isteri telah bertindak secara berlebihan sehingga menerima pelbagai kritikan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg