Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sharifah Amani: Kekuatan seorang ibu, jiwa seorang seniman

Pelakon filem ‘Sepet’ temui kematangan baru selepas bergelar ibu kepada seorang cahaya mata lelaki
Dec 28, 2025 | 5:30 AM
sharifah amani, pelakon wanita Malaysia
Pelakon prolifik Malaysia, Sharifah Amani, akur menjadi seorang ibu tidak menghambat kelangsungan kerjaya seni. Baru-baru ini, beliau turut dijemput menjadi juri jemputan bagi program realiti Singapura, ‘Berani Lakon!’. - Foto MEDIACORP

Selepas bergelar ibu, pelakon prolifik Malaysia, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 39 tahun, akur status barunya tidak menghambat kerjaya seni.

“Alhamdulillah, di Malaysia, pelakon wanita yang sudah berkeluarga tetap meneruskan kerjaya lakonan. Ramai yang membuktikan ia bukan halangan. Namun, sebagai wanita yang membina keluarga, ada cabaran tersendiri. Cabaran setiap kami berbeza, dan saya masih mencari apa yang paling sesuai untuk diri,” katanya.

Sharifah Amani, yang merupakan juri jemputan bagi program realiti hiburan terbitan Oonik, Berani Lakon!, ditemui Berita Minggu (BM) di Kampus Mediacorp semasa rakaman.

Beliau melahirkan cahaya mata lelaki, Ahmed Mohsein Ahmed Faris, pada 26 Jun 2024, hasil perkongsian hidup bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Impact Integrated, Ahmed Faris.

Impact Integrated ialah agensi yang memacu impak sosial yang dipimpin golongan muda, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Pasangan ini bernikah dalam majlis tertutup di Kuala Lumpur pada 10 September 2022, dihadiri ahli keluarga dan rakan rapat.

Sebagai anak kedua daripada empat beradik dalam keluarga seni, Sharifah Amani mengakui dinamik mereka di luar skrin cukup ‘huru-hara’.

“Setiap daripada kami mempunyai pemahaman, perspektif, dan nilai yang berbeza, dan itulah yang membuatkan kehidupan keluarga kami begitu meriah dan penuh warna. 

“Saya rasa inilah cara ibu bapa saya mendidik kami dengan prinsip masing-masing, membiarkan kami belajar dan membentuk diri mengikut acuan sendiri. 

“Walaupun kadang-kadang ada perbezaan pendapat, saya tetap menikmati proses membesar bersama adik-beradik yang punya pendirian tersendiri,” ujar Sharifah Amani, yang merupakan anak kepada pelakon veteran serta jurulatih lakonan, Fatimah Abu Bakar.

Selain Sharifah Amani, kakaknya iaitu, Sharifah Aleya, 42 tahun, serta adiknya, Sharifah Aryana, 30 tahun, turut berkecimpung dalam dunia lakonan.

Mengimbas kembali kenangan dalam industri seni Singapura, Sharifah Amani menyifatkan penglibatan dalam persembahan teater Another Country bersama kumpulan Wild Rice pada 2015, sebagai detik yang memperluas dan memperkaya pengalaman seninya.

Naskhah ini meneroka hubungan kompleks antara Malaysia dan Singapura melalui pertukaran perspektif.

“Naskhah teater ini membuka ruang untuk saya menghayati pelbagai cabaran dan sudut pandang berbeza yang dilalui Malaysia dan Singapura selepas perpisahan pada 1965.

“Walaupun sudah lama berkecimpung dalam industri seni, pengalaman ini sangat berbeza berbanding apa yang pernah saya lakukan sebelum itu. 

“Malah, hubungan erat yang terjalin sepanjang pementasan tersebut masih kekal hingga ke hari ini,” ujar Sharifah Amani, yang turut terlibat dalam filem terbitan Papahan Films, La Luna, pada 2024.

Ditanya tentang rahsia menjayakan lakonan yang berkesan, Sharifah Amani menegaskan kejujuran hati dan niat yang betul menjadi asas utama.

“Jika seseorang berlakon dengan penuh kejujuran, niat yang tepat serta mempercayai apa yang disampaikan, itulah asas penting kepada lakonan yang memberi kesan.

“Sebagai pelakon, kita juga harus membina hubungan kemanusiaan agar mesej yang disampaikan dapat diterima dengan baik oleh penonton,” singkapnya yang terkenal melalui watak Orked dalam filem trilogi Allahyarhamha Yasmin Ahmad, iaitu Sepet, Gubra dan Mukhsin.

Dalam perkembangan lain, pelakon filem Cicakman 2: Planet Hitam itu, turut aktif memperjuangkan pendedahan dan pembangunan seni serta budaya di Malaysia.

Salah satu usaha beliau termasuk menyeru agar pendidikan seni di sekolah awam di negara itu dapat diperbaiki dan diperkasakan.

“Kita memerlukan pendidikan seni dari usia muda, sebuah kementerian yang khusus untuk memperjuangkan hak golongan seni, serta peruntukan bajet sekurang-kurangnya satu peratus bagi menyokong industri seni. 

“Sokongan yang serius amat penting kerana kita sedia maklum, seni dan budaya membentuk jati diri sesebuah negara. 

“Untuk mengukuhkan identiti itu, seni dan budaya memainkan peranan utama. Justeru itu, sokongan ini sangat diperlukan,” tegas Sharifah Amani.

Beralih kepada peranannya sebagai juri jemputan bagi program hiburan, Berani Lakon!, siaran Mediacorp Suria, Sharifah Amani menyifatkan pengalaman tersebut mengujakan kerana berpeluang menilai dan mencungkil bakat baru dalam kalangan peserta, meskipun mereka juga bergiat dalam industri yang sama.

Berani Lakon! telah memulakan tayangannya sejak 16 Disember (2025).

Ia kini boleh ditonton setiap Selasa, bermula 8.30 malam di Mediacorp Suria, serta melalui aplikasi mewatch dan laman YouTube Mediacorp Entertainment.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg