SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Rima Melati kembali beraksi di pentas selepas lama sepi

Rima Melati kembali beraksi di pentas selepas lama sepi

Sketsa dalam ‘Sinar Lebaran 2026’ peluang jurulatih kelas senaman ‘pound’ kembali berlakon dengan bawa watak jenaka
Mar 27, 2026 | 5:30 AM

Rima Melati kembali beraksi di pentas selepas lama sepi

rima melati adams, jurulatih pound, pelakon, pengacara
Artis asal Singapura, Rima Melati Adams, akur ramai kini lebih mengenali dirinya melalui kelas senaman ‘pound’, berbanding kerjaya seni lakon dan pengacaraan. - Foto INSTAGRAM RIMA MELATI ADAMS

Setelah lama menyepi daripada kaca televisyen, pengacara dan pelakon Singapura, Rima Melati Adams, berasa tanggungjawab yang dipikul bagi menghidupkan program, Sinar Lebaran 2026, siaran Mediacorp Suria, pada 20 Mac, bukanlah sesuatu yang mudah.

Apatah lagi, kali ini Rima, yang kini seorang jurulatih senaman ‘pound’ di Indonesia, tampil sebagai pelakon dalam sketsa Kelongsong, di samping barisan pelakon seperti Roslan Shah, Farhana M Noor, Zuhairi Idris dan Hafidz Rahman.

Senaman ‘pound’ merupakan rutin kecergasan berasaskan ritma, yang menggunakan kayu dram khas.

Dalam sketsa tersebut, Rima membawa watak seorang penumpang dalam penerbangan pulang ke kampung.

Namun begitu, penerbangan itu tidak seperti biasa apabila dipenuhi dengan kerenah anak kapal yang mencuit hati serta situasi yang di luar kebiasaan.

“Amanah yang diberikan untuk Sinar Lebaran kali ini amat berat, apatah lagi ketika perlu menggantikan peranan pelawak yang sering dinantikan penonton setiap kali program itu bersiaran pada malam Raya.

“Memang tidak mudah bagi saya untuk membuat kemunculan semula dalam industri hiburan selepas sekian lama.

“Sebelum ini, saya pernah terlibat dalam Sinar Lebaran 2015 sebagai pengacara bersama Najip Ali dan Maizurah Hamzah.

“Ketika di luar, alhamdulillah, ramai yang masih kenal saya.

“Tetapi, kini mereka lebih mengenali saya kerana kelas ‘pound’ yang saya lakukan berbanding sebagai pelakon, penyanyi atau pengacara,” ujar Rima, 45 tahun, kepada Berita Harian (BH) seraya tertawa.

Beliau ditemui bagi rakaman program pada malam Raya, Sinar Lebaran 2026, di Mediacorp Campus.

Mengimbau cabaran berhijrah ke Indonesia selepas mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Indonesia, Marcell Siahaan, 48 tahun, pada 2009, Rima mula memahami erti kesabaran tatkala kehidupannya berubah dari segi sistem bekerja, budaya dan persekitaran yang jauh berbeza daripada Kota Singa.

“Ketika saya baru berpindah ke Indonesia, saya tidak rasakan perbezaan yang ketara dari segi bahasa.

“Namun, cara bekerja di sana agak berbeza. Di Singapura, kita lebih teratur dan sistematik.

“Selepas hampir 17 tahun menetap di sana, saya melihat sudah ada banyak peningkatan.

“Dahulu, isu seperti ketepatan masa memang sering berlaku, terutamanya dalam urusan kerja.

“Antara perkara yang perlu saya biasakan diri ialah keadaan ‘macet’ atau kesesakan lalu lintas di Jakarta.

“Apa yang saya pelajari sepanjang menetap di sana adalah erti kesabaran.

“Ini kerana saya sudah terbiasa dengan sistem di Singapura... semuanya berjalan tepat pada waktunya, dan mudah berasa marah apabila perkara tidak menjadi seperti yang diharapkan.

“Pengalaman inilah yang akhirnya banyak mendidik saya untuk lebih bersabar,” katanya yang pernah berlakon dalam siri sinetron, Arti Sahabat, pada 2010.

Bagaimanapun, hal paling mencabar yang harus Rima lalui pada saat itu adalah ketika beliau perlu berjauhan dengan anak lelakinya, Edga Ian Cook, yang kini berusia 18 tahun.

Edga merupakan anak hasil perkahwinan Rima bersama lelaki berketurunan Cina-British, Davin James Cook.

Mereka bercerai pada Mac 2008.

Apabila ditanya lanjut mengenai keakraban Edga dengan anak Marcell, Keenan Avalokita Kirana, 20 tahun, daripada perkahwinan terdahulu bersama penyanyi dan pencipta lagu Indonesia, Dewi Lestari, Rima mengakui mereka sebenarnya sudah saling mengenali sejak kecil.

“Saya bersyukur Edga dan Keenan sudah saling mengenali serta rapat sejak kecil.

“Jadi, ia memudahkan saya dan Marcell untuk membesarkan mereka bersama.

“Cuma, cabaran yang ada adalah bagaimana untuk memberi perhatian yang seimbang, dan di situlah pentingnya komunikasi dengan mereka.

“Sebelum ini ‘kan, mereka masing-masing anak tunggal. Tiba-tiba, mereka mempunyai saudara.

“Namun, alhamdulillah, mereka sangat serasi, walaupun kededuanya mempunyai perwatakan yang berbeza.

“Adik mereka, Seth, pula sangat mengagumi abang-abangnya sehingga sering mengikut apa yang mereka lakukan.

“Adakalanya, perkara itu membuatkan Keenan dan Edga berasa sedikit jengkel, namun saya sering menjelaskan begitulah sifat mereka sendiri ketika kecil apabila mengagumi seseorang,” ujar Rima.

Menerusi perkahwinannya bersama Marcell, mereka dikurniakan seorang lagi anak lelaki, Seth Ananda Siahaan, yang kini berusia 11 tahun.

Memandangkan Edga kini menuntut di Politeknik Temasek (TP), Rima akur masa diluangkan bersamanya menjadi terhad dan hanya dapat bersama ketika cuti semester setiap Mac dan September.

Beliau juga tidak menghalang anaknya untuk bekerja sambilan sambil menuntut ilmu, kerana baginya, pengalaman itu penting untuk memahami erti kerja keras.

“Edga bekerja sambilan di salah satu restoran makanan dan minuman di Singapura kerana kebetulan kawannya juga bekerja di sana.

“Sebagai anak muda, beliau turut menerima wang saku daripada saya dan bapanya. Namun, jika beliau mahukan lebih, beliau perlu berusaha sendiri.

“Memandangkan jadual di politeknik tidak memerlukan dirinya berada di kampus setiap hari, beliau memanfaatkan masa terluang untuk bekerja.

“Beliau juga pernah berkongsi dengan saya betapa gembiranya beliau dapat membeli barang yang diingini menggunakan wang hasil titik peluhnya sendiri,” kongsi Rima.

Sebut tentang musim perayaan Aidilfitri, bekas finalis Ratu Universe (Singapura) 2001 itu biasanya menyambut Syawal secara sederhana di Indonesia.

Namun begitu, pada 2025, pengalaman meraikan Lebaran bersama ibu dan anak-anak tercinta meninggalkan kenangan yang sukar luput dalam ingatan.

“Saya masih mempunyai keluarga di Malaysia kerana abang saya, yang juga seorang pelakon, Haeriyanto Hassan, menetap di sana.

“Tetapi, saya jarang sekali ke Malaysia, kerana ibu berada di Singapura.

“Pada 2022, abang saya terkena serangan angin ahmar. Jadi, untuk melakukan perjalanan panjang, kami tidak sarankan.

“Sementara itu, ibu saya pula sudah berada pada tahap usia beliau tidak lagi larat untuk menyediakan pelbagai juadah sewaktu Lebaran, melainkan jika saya menawarkan diri untuk memasak.

“(Tahun) 2025 merupakan antara pengalaman Lebaran yang tidak dapat saya lupakan.

“Setelah sembilan tahun, saya akhirnya dapat sambut di Singapura dengan ibu dan anak-anak, dan semua dapat berkumpul bersama… ia suatu pemandangan yang jarang dapat disaksikan,” kata Rima, yang menyambut Aidilfitri di Jakarta, pada 2026.

Sebelum ini, beliau turut pernah bercerita di Instagram mengenai seorang lagi abangnya, Allahyarham Haediyanto Hassan, yang telah meninggal dunia sekitar 1996, akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang dari Port Dickson ke Kuala Lumpur.

Aidilfitri 2025 juga membawa makna tersendiri buat Rima apabila beliau dapat meluangkan masa, menziarahi pusara Allahyarham Haediyanto, di Seremban.

Sinar Lebaran 2026 boleh ditonton semula menerusi aplikasi mewatch.

Kenangan sambut Lebaran yang terpahat di hati

Setelah sembilan tahun, saya akhirnya dapat sambut di Singapura dengan ibu dan anak-anak, dan semua dapat berkumpul bersama… ia suatu pemandangan yang jarang dapat disaksikan.
Rilla Melati Adams.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg