Kehilangan insan yang disayangi bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui, apatah lagi apabila perlu terus menjalankan tanggungjawab kerja demi memenuhi tuntutan yang harus ditunaikan.
Begitulah yang dirasakan penyiar radio Mediacorp Ria 897, Rarah Haermie, 26 tahun, yang kehilangan moyangnya ketika penggambaran rancangan realiti hiburan siaran Mediacorp Suria, Berani Lakon!.
Rarah atau nama sebenarnya, Sarah Mardyah Haermie, yang berhubungan rapat dengan moyangnya akur terpaksa mencekalkan hatinya dan meneruskan tanggungjawab dalam program tersebut.
“Pada hari penggambaran, Berani Lakon!, saya terlebih dahulu mengebumikan moyang saya pada paginya.
“Waktu itu, saya seperti kehilangan arah.
“Jauh di sudut hati, saya ingin bersama keluarga saya, namun disebabkan tanggungjawab saya dalam program itu, saya terpaksa cekalkan hati.
“Saya hampir tidak mempunyai masa untuk rasakan sepenuhnya kesedihan itu.
“Tahu-tahu sahaja, saya sudah berada di set penggambaran dan perlu bersikap profesional.
“Saya juga harus fokus menjiwai watak jenaka pada ketika itu – satu cabaran yang bukan mudah untuk dihadapi,” kata Rarah, yang mana bakatnya dicungkil melalui program realiti mencari deejay penyiaran radio, Suara Juara – The Star Voice 2023.
Beliau kini mengendalikan rancangan, Oh My Gurls! di udara bersama rakan penyiar, Dalina Jaapar.
Moyang Rarah yang dikenali dengan gelaran, ‘Nyai Tom’, 90-an tahun, menyahut panggilan Ilahi pada akhir 2025, dek sakit tua.
Bagi anak sulung dalam keluarga empat beradik itu, pesanan ringkas Allahyarhamha ‘Nyai Tom’ yang berbunyi, ‘biar orang buat kita, jangan kita buat orang’ – akan terus hidup dalam ingatan.
Biarpun kedengaran sederhana, namun kata-kata penuh hikmah itu menjadi sandaran bagi Rarah dalam melayari kehidupan penuh berliku.
Mengenang kembali detik awal kembaranya dalam dunia hiburan dan penyiaran, lulusan Sarjana Muda Pengajian Sukan dan Pemasaran (Kepujian) dari Universiti Stirling itu berkata, rancangan Suara Juara – The Star Voice 2023, membuka luas pintu rezeki bagi dirinya berjinak-jinak dalam bidang lain termasuk lakonan televisyen dan pengacaraan.
“Dahulu, cita-cita saya memang ingin berkecimpung dalam bidang komunikasi massa dan lakonan secara serius.
“Namun begitu, pemohonan saya tidak lulus.
“Maka itu, saya mengambil Diploma Pengurusan Sukan dan Riadah di Politeknik Republic, dan kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama di menara gading.
“Boleh dikatakan, program Suara Juara berhasil merealisasikan impian saya yang terkandas itu, sekali gus membuka peluang mencuba bidang lain seperti lakonan televisyen dan pengacaraan,” ujar Rarah, yang turut menjayakan drama Mediacorp Suria, Tai Tai Berkecai (2021).
Meskipun turut berpengalaman dalam bidang lakonan teater, Rarah akur ia bukanlah satu kelebihan yang boleh dipandang ringan.
Malah, penglibatannya dalam Berani Lakon! turut menuntut cabaran lain ketika mempersiapkan diri dalam setiap pusingan termasuk jadual yang padat, dan kemampuan menjiwai watak dengan lakonan yang mampu meyakinkan penonton.
“Acap kali, latihan diadakan pada hari minggu dan ada kalanya ia turut bertembung dengan jadual kerja saya.
“Jadi, saya harus berkorban masa demi latihan bersama rakan pelakon lain. Masa yang diberikan juga terhad.
“Selain itu, meskipun berpengalaman dalam bidang teater, ini tidak membuat saya rasa cepat puas hati dengan persembahan yang diberikan setiap minggu.
“Malah, saya bertuah diberikan peluang menyertai program ini kerana dapat mengasah lagi bakat lakonan dengan bimbingan mentor, serta rakan pelakon lain yang sudah lebih dahulu ‘makan garam’,” tambahnya.
Menyentuh tentang kenangan pahit manis mengendalikan program, Oh My Gurls! di stesen radio Ria 897 pula, beliau berkongsi banyak ilmu dan pengalaman yang diperoleh hasil kerjasama dengan rakan penyiar, Dalina.
“Dalina, yang berpengalaman luas dalam bidang lakonan, pengacaraan dan penyiaran, banyak memberikan tunjuk ajar serta bimbingan.
“Beliau juga seorang yang sangat santai, dan memberi saya peluang untuk meneroka gaya penyiaran tersendiri.
“Selain itu, Dalina banyak berkongsi petua dan perkara yang perlu dijaga setiap kali kami bersiaran langsung di udara,” ulas Rarah.
Bagi Rarah, pada masa sama, beliau juga tidak menolak sebarang peluang untuk berlakon, sama ada di pentas teater mahupun di kaca televisyen.
Berani Lakon! memulakan tayangannya sejak 16 Disember 2025.
Ia kini boleh ditonton setiap Selasa, mulai 8.30 malam di Mediacorp Suria, serta melalui aplikasi mewatch dan laman, YouTube Mediacorp Entertainment.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg