Penyanyi rap muda Singapura, AbangSapau, atau nama sebenarnya, Muhammad Shazuan Shiraj Abdullah, 26 tahun, sangat sinonim dengan penampilannya berkain pelekat atau sarung.
Kecintaan terhadap kain pelekat mula berputik hasil pengaruh arwah datuknya.
Sejak zaman pengajian di Politeknik Nanyang lagi, beliau yang merupakan lulusan Diploma Sains Sosial (Kerja Sosial) itu telah menjadikan kain pelekat sebagai sebahagian identiti dan gaya ikonik dirinya hingga ke hari ini.
Walaupun pernah dileteri ibunya, Cik Farhana Ibrahim, 47 tahun, serta dianggap remeh oleh rakan-rakannya, AbangSapau tetap mengekalkan gayanya berkain pelekat.
“Apabila arwah datuk saya meninggal, beliau mewariskan koleksi kain pelekatnya. Beliau memang gemar memakai kain sarung ketika di rumah.
“Sewaktu berada di politeknik, saya pun cuba-cuba memakai kain sarung ke kelas. Ia rasa sangat selesa!
“Dan sudah tentu saya dipersoalkan tentang pilihan gaya ini! Setiap kali menaiki MRT, saya sering mendapat pandangan pelik daripada orang sekeliling.
“Di kelas, teman-teman saya sering berkata, ‘Shaz, apa yang kau pakai ini?’
“Sehingga kini, walau sudah menjadi seorang ‘rapper’, saya tetap mempertahankan penampilan sebegini.
“Malah, sejauh ini, saya hanya mempunyai dua pasang seluar sahaja!,” cerita AbangSapau.
Sewaktu ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini di kafe muzik Swee Lee Clarke Quay, beliau baru sahaja melancarkan album sulung berjudul, ABANGSAPAU The Album, di bawah label rakaman, Universal Music Singapore.
Ditanya lebih lanjut tentang kain pelekat yang paling digemarinya, anak ketiga dalam keluarga empat beradik itu menceritakan kain bercorak kotak-kotak berwarna biru tua dalam koleksinya amat bermakna, kerana itulah warisan terakhir daripada arwah datuk.
“Kain pelekat kegemaran saya yang paling ikonik adalah yang bercorak kotak-kotak berona biru tua.
“Itulah peninggalan terakhir arwah datuk.
“Dulu, saya selalu memakainya. Namun, kerana benang-benangnya kini juga sudah tidak lagi utuh, saya rasa sayang untuk pakai dan masih lagi menyimpan kain itu di rumah,” jelasnya.
Selain itu, apa yang menarik perhatian penulis ketika menghadiri majlis pelancaran album sulung AbangSapau pada 10 Oktober, setiap penjuru ruangan kafe Swee Lee Clarke Quay dihiasi dengan kain pelekat miliknya.
Bahkan, koleksi kain pelekat yang diwarisinya itu turut dijadikan sebagai inspirasi bagi kulit album pertamanya.
Ini sekali gus menjadi simbol yang memperkukuh jati diri AbangSapau sebagai penyanyi rap Kota Singa yang berani menongkah arus dengan 14 untaian lagu yang merakamkan perjalanan serta kisah peribadinya.
Di samping itu, antara dua lagu yang diterbitkan dalam album tersebut merupakan duet AbangSapau bersama penyanyi rap terulung Malaysia, Joe Flizzow, dan ikon seni tempatan, Alyph.
Lagu yang dinyanyikan bersama Joe berjudul, Mental Kena Kuat – dicipta bagi mengabadikan kata-kata hikmat yang diberikan penyanyi asal Johor Bahru itu kepada AbangSapau, dalam melayari liku-liku dunia seni.
Manakala lagu bersama Alyph pula bertajuk, Bom Bada Bada.
Sebelum ini, ketika menjalani pelbagai kerja sambilan dek ekonomi keluarga yang kurang mantap, AbangSapau melakukan pelbagai jenis pekerjaan, daripada mencuci pinggan, mengasuh sehingga menyediakan sandwic.
Keadaan hidup yang getir itu akhirnya membakar lagi semangat AbangSapau untuk bekerja lebih keras, sekali gus menjadi pencetus ilham menumpahkan segala jerih perihnya dalam bentuk lagu.
Penyanyi lagu Mama itu akan mengarang apa sahaja lagu yang terlintas di benak fikiran, sebaik pulang dari kerja.
Hasilnya, beliau berjaya menciptakan dan mengumpulkan 300 lagu, dalam tempoh enam hingga tujuh bulan.
Walaupun AbangSapau mengakui tiada satu pun daripada 300 lagu tersebut dimasukkan ke dalam album terkininya, namun pengalaman hidup yang membentuk kedewasaan itulah yang menjadi asas kukuh, yang membawanya ke tahap yang membolehkan beliau akhirnya mampu menghasilkan album sulung.
“Ia sebenarnya mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk menguasai kemahiran, di mana saya tahu lagu apa yang sesuai saya terbitkan buat santapan halwa telinga peminat.
“Saya sengaja bikin lagu baru bagi album sulung saya, bersama penerbit, Prodbydan.
“Alhamdulillah, kesemua 14 lagu yang diciptakan sesuai dan layak untuk diterbitkan dalam satu album,” ujarnya.
Bagaimanapun, bagi AbangSapau, lagu Smiling Anyway, dalam album perdananya kekal dekat di hati kerana ia mengungkap perjalanan hidupnya yang pernah dilanda kemelut kekerasan dalam keluarga.
Di sebalik peristiwa kelam itu, beliau tetap memilih untuk memaafkan kesalahan yang pernah dilakukan arwah bapanya.
“Dalam lagu itu, saya ceritakan secara rinci apa yang pernah saya lalui suatu ketika dulu.
“Dengan karya ini, ia turut mengajak saya untuk belajar memaafkan segala kesalahan (arwah bapa) dan pengalaman masa lalu yang pahit,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menambah kerentanan yang dicurahkan dalam setiap lagu ciptaannya membuka ruang bagi pendengar rasai, menghayati dan menemui kekuatan sendiri.
“Saya gembira apabila orang dapat rasai emosi yang saya curahkan dalam lagu-lagu saya.
“Ada peminat yang berkongsi lagu saya menemani mereka ketika melalui saat sukar, malah ada yang berkata ia menghentikan pemikiran gelap daripada terus menghantui mereka.
“Perkara inilah yang mendorong saya untuk terus menulis dan berkarya.
“Apabila muzik saya mampu menyentuh hati orang lain, itulah ganjaran paling memuaskan bagi saya,” kata AbangSapau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg