Empat penyanyi yang dikenali ramai dengan jenama tersendiri, namun memiliki empat perjalanan seni yang dibentuk pada zaman berbeza.

Ada yang membina kerjaya ketika pemasaran muzik masih banyak bergantung kepada radio dan penjualan album fizikal, manakala ada yang membina kerjaya dalam era media sosial dan penstriman digital.

Perbezaan itulah yang memberi warna kepada konsert Empat Live in Singapore, apabila pasangan adik-beradik, Anuar Zain, 56 tahun, dan Ziana Zain, 58 tahun, bergabung dengan anak saudara mereka, Ernie Zakri, 34 tahun serta suaminya, Syamel, 32 tahun.

Lebih daripada sekadar berkongsi pentas, konsert anak-beranak itu menjadi ruang untuk mereka berkongsi perjalanan membina nama dalam dua zaman industri muzik yang berbeza.

Konsert yang diadakan selama kira-kira tiga jam itu, anjuran FriedRice Entertainment, bakal berlangsung pada 26 September di Teater The Star, bermula 8 malam.

Sebelum menghiburkan peminat di Singapura, konsert Empat terlebih dahulu mencatat sambutan memberangsangkan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, Malaysia apabila menghimpunkan 4,500 penonton.

Walaupun berkongsi minat yang sama terhadap muzik, perjalanan yang ditempuh untuk membina nama tidak serupa.

Dua generasi penyanyi tempuhi cabaran berlainan dalam industri muzik

Bagi Ziana, perbezaan antara dua generasi tersebut cukup ketara.

Jika beliau hanya memerlukan sekitar tiga hingga empat tahun untuk dikenali selepas bergelar penyanyi, perjalanan Ernie pula jauh lebih panjang sebelum akhirnya berjaya mencipta nama dalam industri muzik Malaysia.

“Sebelum bergelar penyanyi, saya menyaksikan sendiri bagaimana Anuar bekerja keras membina nama dalam industri muzik.

“Hanya selepas melalui pengalaman itu sendiri, barulah saya benar-benar memahami besarnya pengorbanan yang diperlukan.

“Ketika orang lain bercuti, kita pula sibuk bekerja. Untuk sampai ke tahap ini juga bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam masa singkat.

“Saya dan Anuar bersyukur kerana diberi rezeki apabila nama kami mula dikenali dalam tempoh sekitar tiga atau empat tahun.

“Ernie dan Syamel juga bertuah kerana kejayaan mereka bukan semata-mata kerana bakat.

“Cara mereka membawa diri, sikap profesional dan aura yang dimiliki turut memainkan peranan besar dalam membina nama dalam industri, meskipun perjalanan itu mengambil masa yang lebih panjang.

“Apa pun, saya bangga kerana mereka berhasil membina nama dengan usaha sendiri,” kata Ziana, dalam satu sesi wawancara bersama Berita Minggu (BM) melalui Zoom, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Anuar pula menyifatkan media sosial sebagai antara pemangkin yang memudahkan penyanyi era kini membina nama, berbanding ketika beliau dan Ziana memulakan langkah dalam industri.

“Generasi sekarang sangat bijak. Mereka mempunyai peluang yang kami tidak ada ketika mula-mula menceburi bidang seni.

“Dahulu, kami tiada jalan pintas untuk memperkenalkan diri dan ia mengambil masa yang lama.

“Saya (Anuar) masih ingat ketika mempromosikan album kedua, Keabadian Cinta, di pusat beli-belah sekitar Johor Bahru, hanya 15 orang sahaja yang datang menyaksikan persembahan saya.

“Itulah cabarannya untuk membuat orang kenal kita sebagai penyanyi. Kami harus turun padang untuk mempromosikan album dan lagu sendiri.

“Kini, dengan adanya teknologi dan wadah seperti TikTok dan Instagram, penyanyi muda lebih kreatif dalam mencari peluang serta mengatur langkah untuk membina kerjaya sendiri.

“Saya rasa mereka bertuah kerana lahir pada zaman yang menawarkan pelbagai kemudahan,” ujar Anuar dan Ziana sepakat.

Bakat boleh diwarisi, tetapi ilmu perlu dicari

Bak pepatah Melayu, ‘lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang’, artis juga perlu berkembang mengikut peredaran masa.

Ziana dan Anuar akur membina asas muzik menerusi didikan arwah bapa mereka, Allahyarham Zin Abdullah.

Ernie pula mengukuhkan pengetahuan dengan mengikuti pengajian formal sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muzik dari Universiti Malaya.

Bagi Ernie, akses kepada pendidikan dan ilmu muzik menjadi antara kelebihan yang wajar dimanfaatkan.

“Sekarang ini, terlalu ramai penyanyi dan bakat baharu yang muncul (dalam industri).

“Jadi, kita bukan sahaja memerlukan wadah yang betul, malah ilmu untuk terus berkembang dan menyerlah.

“Sebagai penyanyi, kita bukan sekadar menyampaikan lagu.

“Kita membawa pesanan kepada masyarakat dan sedikit sebanyak mampu mempengaruhi pendengar melalui nyanyian serta cara penyampaian kita.

“Sebab itu, akses kepada pendidikan dan ilmu muzik adalah satu kelebihan yang sangat positif dalam era ini,” jelas ibu seorang anak perempuan itu, yang akur tidak pernah berhenti menimba ilmu.

‘Perangai’ sebenar Empat atas pentas, tiada dibuat-buat

Selain berkongsi pandangan mengenai perubahan landskap industri muzik, Ziana turut menjanjikan suasana persembahan yang santai dan menghiburkan apabila bertemu peminat di Singapura nanti.

Penyanyi lagu terkenal, Madah Berhelah dan Anggapanmu itu, akur mereka tidak bercadang menyembunyikan sifat sebenar kerana sikap gemar bergurau dan berbual mesra dengan peminat sememangnya sudah menjadi kebiasaan setiap kali membuat persembahan.

“Bukan kami sengaja mahu menonjolkan kemesraan sebagai satu keluarga.

“Memang begitulah cara kami apabila berkumpul, sama ada di rumah, ketika bekerja atau berkongsi pentas.

“Tiada apa yang dibuat-buat. Apa yang peminat lihat di atas pentas itulah juga diri kami yang sebenar.

“Harapannya, peminat bukan sahaja dapat menikmati persembahan, malah merasai kemesraan itu hingga mereka berasa seperti sebahagian daripada keluarga kami,” kongsi Ziana.

Bagaimanapun, menurut Ernie, apabila sudah seronok bersembang dan melayan peminat, ‘Mak Long Ziana’ dan ‘Pak Ngah Anuar’ sukar dihentikan.

Disebabkan itu, beliau berseloroh tugasnya dalam konsert nanti bukan sekadar menyanyi, malah menjadi ‘timekeeper’ atau pengawal masa, supaya persembahan kekal ikut jadual.

“Kalau Mak Long atau Pak Ngah dah berada atas pentas dan mula bersembang dengan peminat, memang terus jadi macam satu keluarga. Memang boleh sampai lupa masa.

“Biasanya saya yang tunggu di tepi pentas akan mula kenyit-kenyit mata, bagi isyarat supaya mereka teruskan ke segmen seterusnya.

“Dalam konsert ini, selain penyanyi, saya juga bertanggungjawab sebagai pengawal masa.

“Kalau tak, memang boleh meleret persembahan! Syamel pun sama.

“Bila mereka bertiga dah berkumpul atas pentas, memang terus ‘shiok’ berborak sampai terlupa ada had masa,” katanya sambil berseloroh.

Penantian buah tangan terbaru daripada Empat

Apakah peminat boleh mengharapkan buah tangan baharu daripada Empat selepas lagu, Jangan Henti?

Syamel mengakui tiada perancangan khusus buat masa ini, namun tidak menolak kemungkinan Empat akan kembali dengan kerjasama baharu pada masa akan datang.

“Kini, bila orang sebut Empat, mereka sudah tahu siapa kami.

“Jadi kalau ada lagu yang sesuai dan semua orang ada masa, memang kami terbuka untuk merakamkan karya baharu, insya-Allah,” ujar Syamel.

Tiket bagi konsert Empat Live in Singapore, berharga antara $108 dengan $288, boleh didapati di laman Ticketmaster menerusi https://ticketmaster.sg/activity/detail/26sg_empat