Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyanyi rok, Nash stabil selepas jalani pembedahan jantung
Penyanyi rok, Nash stabil selepas jalani pembedahan jantung
Penyanyi rok, Nash stabil selepas jalani pembedahan jantung
Penyanyi rok legenda, Datuk Nash selamat menjalani pembedahan selepas dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Selangor, Malaysia akibat serangan jantung, pada 20 April.
Perkembangan itu dikongsikan Presiden Konsortium Industri Rakaman Music Malaysia (Irama), Ayob Abd Majid, yang menerima maklumat daripada anak penyanyi berkenaan, Shameer.
Ayob berkata, Nash atau nama sebenarnya Datuk Nashrudin Haji Elias, 66 tahun, segera dikejarkan ke hospital sebaik mengalami serangan jantung sebelum menjalani prosedur pembedahan.
“Saya dimaklumkan oleh anaknya bahawa Nash mengalami serangan jantung pagi (20 April) dan terus dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah.
“Alhamdulillah, beliau selamat menjalani pembedahan dan keadaannya kini stabil.
“Namun, buat masa ini beliau tidak dibenarkan menerima pelawat,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Menurut Ayob, pemeriksaan lanjut mendapati 80 peratus saluran jantung penyanyi itu tersumbat, sekali gus memerlukan tindakan segera.
“Shameer memaklumkan keadaan bapanya yang mengalami serangan jantung dengan 80 peratus saluran tersumbat.
“Beliau bagaimanapun selamat menjalani pembedahan petang ini (20 April),” katanya.
Dalam pada itu, Ayob mengajak orang ramai untuk mendoakan kesembuhan Nash agar kembali pulih seperti sediakala.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan segera, dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya.
Nash dikenali sebagai vokalis utama kumpulan rok, Lefthanded, yang terkenal sekitar 1980-an hingga lewat 1990-an.
Antara lagu popularnya termasuk Ku Di Halaman Rindu, Debunga Wangi dan Kenangan Bersamamu.
