Topik diikuti
Pergi ke BHkuPementasan ‘Charged’ kembali selepas 15 tahun
Pementasan ‘Charged’ kembali selepas 15 tahun
Pementasan ‘Charged’ kembali selepas 15 tahun
Selepas hampir dua dekad, naskhah Charged, karya penulis dan pengarah teater Singapura, Chong Tze Chien, kembali dipentaskan untuk tatapan penonton.
Berlatarbelakangkan sebuah kem tentera pada malam Tahun Baharu Cina, naskhah itu menyingkap isu perkauman, prejudis dan hubungan sesama manusia yang akhirnya membawa kepada satu tragedi.
Dibawakan kumpulan teater mapan, Teater Ekamatra, pementasan kali ini diarahkan Mohd Fared Jainal.
Di ambang pementasan itu, Berita Harian (BH) menemu bual Pengarah Artistik Teater Ekamatra, Shaza Ishak, 36 tahun, mengenai pementasan Charged, yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos di Teater The Ngee Ann Kongsi, Wild Rice @ Funan.
Soalan (S): Mengapakah sekarang dianggap masa paling sesuai mengembalikan ‘Charged’ ke pentas?
Shaza: Teater Ekamatra sendiri sudah banyak berkembang dalam tempoh 15 hingga 16 tahun ini.
Ketika Charged dipentaskan pada 2010 dan 2011, kami hanya dapat menjangkau jumlah penonton yang lebih kecil.
Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk membawa Charged kembali ke pentas.
Pada saya, perbualan mengenai isu perkauman tidak pernah hilang kepentingannya di Singapura.
Malah, perbincangan mengenainya kini semakin terbuka, tetapi pada masa yang sama menjadi lebih rumit.
Saya juga percaya naskhah yang baik seperti Charged tidak sepatutnya dipentaskan sekali sahaja.
S: Adakah penerimaan kali ini akan berbeza memandangkan landskap media sosial banyak berubah?
Shaza: Ketika Charged dipentaskan sekitar 15 tahun lalu, ramai penonton mengakui berasa sangat tidak selesa.
Namun, di situlah kekuatannya. Pementasan ini memaksa penonton berdepan realiti yang sering berlaku dalam kehidupan harian dan membuka ruang berbincang tentang isu yang jarang dipersoalkan.
Walaupun media sosial mampu memperluas perbincangan tentang isu perkauman, saya percaya pengalaman menonton teater masih mempunyai kesan yang sukar digantikan.
Saya jangkakan respons penonton kali ini tidak banyak beza.
S: Apakah pengajaran yang diharapkan dapat meninggalkan kesan kepada penonton?
Shaza: Saya berharap penonton pulang dengan kesedaran menilai peranan masing-masing dalam membentuk cara bercakap dan berfikir tentang isu perkauman.
Sama ada secara sedar atau tidak, setiap daripada kita boleh menyumbang kepada masyarakat yang lebih adil atau sebaliknya, termasuk apabila kita mengulangi stereotaip atau membiarkan pandangan berbaur perkauman berterusan.
Nota: Tiket bagi pementasan Charged, yang berharga antara $45 dengan $75, boleh ditempah di laman web, Book My Show menerusi https://bookmyshow.sg/en/events/charged-by-teater-ekamatra/CHARGEDD
Tiket juga boleh didapatkan dengan menggunakan Pas Budaya SG.